Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 599: WAJAH TERTAWA GEMBIRA DI HARI KIAMAT JIKA MEMBACA SURAH ABASA?

WAJAH_TERTAWA_GEMBIRA_DI_HARI_KIAMAT_JIKA_MEMBACA_SURAH_ABASA.jpg

Soalan

Assalamualaikum wrth SS Datuk, Adakah betul ada hadis yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka'ab tentang kelebihan baca surah 'Abasa. Dari Ubay bin Ka'ab, dia berkata; Nabi Muhammad (SAW) berkata kepadaku, 'Barangsiapa membaca surah 'Abasa, maka wajahnya di hari kiamat tertawa bahagia.

Ringkasan Jawapan

Sanad hadis ini adalah daif jiddan kerana dalam sanadnya terdapat empat perawi yang dikritik sebagai matruk(hadisnya perlu ditinggalkan), munkar(hadisnya tersangat daif) dan juga majhul(tidak dikenali biografinya). Maka ia tidak boleh dijadikan hujah dan dalil apatah lagi untuk disebarkan. Tetapi membaca surah ‘Abasa ataupun mana-mana ayat al-Quran diganjari pahala oleh Allah SWT iaitu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Sunan al-Tarmizi bahawa satu huruf dalam al-Quran jika dibaca bersamaan satu pahala/kebaikan bagi orang yang membacanya.

Huraian Jawapan

Membaca satu huruf daripada ayat al-Quran adalah satu kebaikan dan pahalanya berlipat kali ganda. Perkara ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, Abdullah Bin Masʻud meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”[1]

(Riwayat al-Tirmizi)

Persoalannya, adakah riwayat yang menceritakan berkenaan orang yang membaca surah ʻAbasa di masa hidupnya akan dibangunkan pada hari kiamat dengan wajah tertawa gembira?

Setelah diteliti terhadap karya-karya muktabar para ulama maka dijumpai riwayat ini dalam al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Qur’an, lafaznya seperti berikut:

مَنْ قَرَأ سُورَة {عَبَسَ وتولى} جاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ ووجْههُ ‌ضَاحِكٌ ‌مُسْتَبْشِرٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah ‘Abasa, dia akan datang pada hari kiamat dengan wajah yang tertawa gembira.”[2]

Di dalam sanad riwayat ini terdapat beberapa perawi yang bermasalah antaranya Salam al-Tawil yang dikritik sebagai matruk dan beliau sering meriwayatkan hadis-hadis yang munkar.[3] Seterusnya, Harun bin Kathir dikritik oleh Ibn ‘Adi sebagai majhul (tidak dikenali biografinya).[4] Kemudian, Zaid bin Salim yang turut dikritik dalam sanad riwayat ini kerana tidak dikenali (jahhalahu)[5] dan Zaid mengambil hadis ini daripada ayahnya. Al-Zahabi menyebutkan bahawa Zaid bin Salim jika meriwayatkan hadis daripada ayahnya maka hadisnya adalah munkar.[6]

Kesimpulan

Hadis ini sanadnya adalah daif jiddan kerana dalam sanadnya terdapat empat perawi yang dikritik sebagai matruk(hadisnya perlu ditinggalkan), munkar(hadisnya tersangat daif) dan juga majhul(tidak dikenali biografinya).

Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah dan dalil apatah lagi untuk disebarkan. Tetapi membaca surah ‘Abasa ataupun mana-mana ayat al-Quran diganjari pahala oleh Allah SWT iaitu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Sunan al-Tarmizi bahawa satu huruf dalam al-Quran jika dibaca bersamaan satu pahala/kebaikan bagi orang yang membacanya.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, Sunan al-Tarmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), hadis no. 2910, jld. 5: hlm. 175.

[2] Abu Ishaq Ahmad Ibrahim al-Thaʻlabi, al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Qur’an (Jeddah: Dar al-Tafsir, 2015), jld. 28: hlm. 414.

[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Tahzib al-Tahzib (al-Hind: Matbaʻah Da’irah al-Maʻarif al-Nizamiyyah, 1326), jld. 4: hlm. 281.

قال أحمد روى أحاديث منكرة وقال ابن أبي مريم عن ابن معين له أحاديث منكرة وقال الدوري وغيره عن ابن معين ليس بشيء وقال ابن المديني ضعيف وقال ابن عمار ليس بحجة وقال الجوزجاني ليس بثقة وقال البخاري تركوه وقال مرة يتكلمون فيه وقال أبو حاتم ضعيف الحديث تركوه

[4] Ibn ‘Adi, al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Sinah (Beirut: al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 8: hlm. 440.

هارون ‌بْن ‌كثير شيخ ليس بمعروف

[5] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (t.tp.: Dar al-Basya’ir, 2002), jld. 3: hlm. 555.

جهله أبي حاتم

[6] Al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal, ed. ‘Ali Muhammad al-Bijawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah li al-Tabʻah wa al-Nasyr, 1963), jld. 4: hlm. 286.

وزيد عن أبيه نكرة