Soalan
Assalamualaikum wrth SS Mufti, saya ada agak kurang mahir dalam bidang hadis, jadi saya ada terbaca satu posting di sosial media yang menyebutkan bahawa hadis ini telah bercampur antara sahih dan palsu alasannya kerana hadis ini direka oleh sahabat dan ulama hadis, mohon penjelasan berkenaan perkara ini. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Dakwaan yang menyebutkan bahawa hadis telah bercampur antara sahih dan palsu merupakan suatu dakwaan yang tidak berpaksikan hujah yang kukuh. Hal ini kerana, mereka mengatakan hadis ini ada sahih dan palsu, kemudian mereka diam sekadar itu sahaja tanpa membuat penerangan lanjut sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sedangkan jika diungkapkan dengan sempurna dan jelas, sudah pasti akan jelas bahawa hadis sahih itu satu perkara dan hadis palsu pula satu perkara yang lain. Walaupun hadis itu ada yang sahih dan ada yang palsu tetapi ia dapat dibezakan kerana ulama hadis telah menyusun satu disiplin ilmu bagi mengetahui keabsahan dan kepalsuan sesuatu hadis yang disebut sebagai ‘ulum al-hadith.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Antara golongan awal yang mendakwa bahawa status sesuatu hadis merupakan takwilan ulama ialah kelompok Rafidah dan Muktazilah. Bahkan, pada zaman moden yang mengikuti ideologi seperti ini ialah al-Sayyid Ahmad Khan dan Mahmud Abu Rayyah. Mereka mendakwa bahawa ulama tidak memberikan perhatian terhadap hadis dan mengkritiknya sehinggakan wujudnya hadis yang sahih dan yang palsu.[1]
Selain itu, Mahmud Abu Rayyah juga menyebut bahawa ulama hadis telah mengehadkan kaedah penelitian status hadis ini kepada kajian sanad semata-mata iaitu hanya mengkaji perawi sahaja dan mereka tidak kisah sama ada dapatan tersebut tepat mahupun tidak.[2]
Sebenarnya, pemikiran dan pandangan Mahmud Abu Rayyah ini adalah hasil terpengaruh dengan kajian-kajian yang dilakukan oleh orientalis. Sedangkan, mereka ini mengkaji hanya menurut hawa nafsu dan ketaksuban terhadap kajian mereka sahaja sehingga sampai ke tahap keterlaluan dan keliru dalam menilai sesuatu hadis.[3]
Ignaz Goldziher seorang orientalis menyebutkan bahawa orang Islam pada kurun kedua hanya mengiktiraf kesahihan hadis Nabi SAW pada aspek sanadnya sahaja dan banyak hadis-hadis yang mempunyai sanad yang baik dianggap sahih oleh ulama hadis, namun sebenarnya hadis itu adalah palsu.[4] Ini kerana mereka mendakwa ulama hadis hanya memfokuskan kepada aspek sanad dan mengabaikan aspek keabsahan matan sesuatu hadis.
Ramai lagi dalam kalangan anti hadis yang terpengaruh dengan dakwaan Goldziher ini seperti Rasyad Khalifah dan lain-lain. Menurut Syeikh Mustafa Abu Sulaiman al-Nadwi, Rasyad Khalifah memperolokkan sanad hadis dan ia hanya rekaan semata-mata oleh para sahabat Nabi SAW.[5] Dakwaan sebegini menzahirkan kejahilan mereka terhadap hadis Nabi SAW. Dalam setiap ilmu ada pakar bidangnya dan kitab-kitab yang menjadi rujukan utama sesuatu bidang tersebut, begitu juga bidang hadis.
Oleh itu kelompok ini sering dilihat mempertikaikan sesuatu hadis dengan menyatakan hadis ini adalah rekaan setelah Nabi SAW wafat, hadis ini berlaku percampuran antara sahih dan palsu kerana ulama mengabaikan aspek matan dan sebagainya. Sebenarnya, perkataan mereka ini saling tak tumpah seperti orang yang membacakan firman Allah SWT:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ
Maksudnya: “maka kecelakaan besar bagi orang yang melaksanakan solat.”
Surah al-Maʻun (4)
Kemudian, didiamkan dan tidak disempurnakan ayat seterusnya, kerana jika dia meneruskan bacaan ayat seterusnya maka maknanya akan berubah kerana ayat seterusnya menyebut “(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya”. Jika hanya ayat 4 itu sahaja dibaca maka menunjukkan orang yang solat ini akan diancam kecelakaan oleh Allah SWT. Justeru, ia menampakkan perbezaan yang jelas dan ketara jika dibaca ayat tersebut dengan sempurna. [6]
Begitu juga bagi mereka yang mengatakan hadis ini ada sahih dan palsu kemudian diam sekadar itu sahaja tanpa membuat penerangan lanjut. Ini suatu ungkapan yang tidak wajar kerana telah menyebabkan orang awam beranggapan bahawa hadis ini seolah-olah bercampur antara sahih dan palsu sehingga tidak dapat dibezakan antara kedua-duanya.[7]
Sedangkan jika diungkapkan dengan sempurna dan jelas, sudah pasti akan jelas bahawa hadis sahih itu satu perkara dan hadis palsu pula satu perkara yang lain. Walaupun hadis itu ada yang sahih dan ada yang palsu tetapi ia dapat dibezakan kerana ulama hadis telah menyusun satu disiplin ilmu bagi mengetahui keabsahan dan kepalsuan sesuatu hadis yang disebut sebagai ‘ulum al-hadith. Hal ini kerana, terdapat ulama hadis yang dapat membezakan antara hadis sahih dengan hadis yang bermasalah atas kesungguhan mereka menjaga sunnah Nabi SAW daripada penyelewengan.[8]
Dalam kalangan ulama hadis, ada yang mengarang dan menghimpunkan hadis-hadis sahih seperti al-Bukhari, Muslim, al-Hakim dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga ulama hadis yang membukukan hadis-hadis yang bermasalah dan terdapat kecacatan (‘illah) seperti al-‘Ilal al-Mutanahiyah oleh Ibn al-Jauzi, al-‘Ilal oleh al-Daraqutni dan sebagainya. Bahkan, ada yang menghimpunkan hadis-hadis palsu dalam satu kitab bagi memudahkan umat Islam mengetahui tentang hadis-hadis yang palsu seperti Tanzih al-Syariʻah oleh Ibn ‘Araq, al-Lali’ al-Masnuʻah oleh al-Suyuti dan al-Mauduʻat oleh Ibn al-Jauzi. Begitu juga, ulama-ulama yang membukukan ilmu-ilmu alat yang diperlukan bagi mengenal pasti status sesuatu hadis seperti Maʻrifah ‘Ulum al-Hadith oleh Ibn al-Salah, Nuzhah al-Nazar oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Muqizah oleh al-Zahabi dan lain-lain.
Dalam isu ini, sanad merupakan satu anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan ia tidak ada pada agama lain. Tidak ada umat yang bersambung keautentikan agamanya semenjak zaman awal sehingga ke hari ini seperti agama Islam. Bahkan, kitab-kitab yang menjadi pegangan mereka dalam agama pun telah bercampur aduk dan ditokok tambah oleh pendakyah agama mereka seperti Taurat dan Injil. Justeru, umat Islam adalah umat yang dimuliakan oleh Allah SWT sehingga setiap hadis atau ilmu yang diterima itu dapat dipastikan keabsahannya daripada zaman Nabi SAW sehingga ke hari ini.[9]
Kesimpulan
Dakwaan yang menyebutkan bahawa hadis telah bercampur antara sahih dan palsu ini suatu dakwaan yang tidak berpaksikan hujah yang kukuh. Hal ini kerana, mereka mengatakan hadis ini ada sahih dan palsu, kemudian diam sekadar itu sahaja tanpa membuat penerangan lanjut sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Sedangkan jika diungkapkan dengan sempurna dan jelas, sudah pasti akan jelas bahawa hadis sahih itu satu perkara dan hadis palsu pula satu perkara yang lain. Walaupun hadis itu ada yang sahih dan ada yang palsu tetapi ia dapat dibezakan kerana ulama hadis telah menyusun satu disiplin ilmu bagi mengetahui keabsahan dan kepalsuan sesuatu hadis yang disebut sebagai ‘ulum al-hadith.
Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Mahmud Abu Rayyah, Adwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah (Kaherah: Dar al-Maʻarif, t.t.), hlm. 7.
إن للحديث المحمدى من جلال الشأن وعلو القدر ما يدعو إلى العناية الكاملة به ، والبحث الدقيق عنه . ولكن العلماء والأدباء لم يولوه ما يستحق من العناية والدرس ، وتركوا أمره لمن وقفوا بعلمهم عندما يتصل بالسند فحسب ، أما المعنى فلا يعنيهم من أمره شيء، وعلى أنهم قد بذلوا أقصى جهدهم فى دراسة علم الحديث من حيث العناية بسنده فإنهم قد أهملوا جميعا أمراً خطيراً هو البحث عن حقيقة النص الصحيح لما تحدث به النبي صلوات الله عليه .
[2] Mustafa Abu Sulaiman al-Nadwi, al-Sunnah al-Nabawiyyah Bayna Ahliha wa Munkiriha (Mansurah: Dar Nadwah al-‘Ulama, 2021), hlm. 191.
وضعوا هذه القواعد قد حصروا عنايتهم في معرفة رواة الحديث والبحث على قدر الوسع في تاريخهم، ولا عليهم إن كان ما يصدر من هؤلاء صحيحا في نفسه أو غير صحيح معقول أوغير معقول
[3] Ibid.
[4] Ibid., 192.
وقال أيضا المستشرق جولد تسيهر (Goldziher): وقد شعر المسلمون في القرن الثاني بأن الاعتراف بصحة الحديث يجب أن يرجع إلى الشكل فقط، وأنه يوجد بين الأحاديث الجيدة الإسناد كثير من الأحاديث الموضوعة
[5] Ibid.
ومنهم أيضا رشاد خليفة ذلك الذي يهزأ بالإسناد ويسوق أسانيد مفتراة للأحاديث بها بعض الكذابين بدعوى أنهم من الصحابة
[6] Ibid., 193.
هذه الشبهة من منكري السنة هم أدرى الناس ببطلانها، وقائلها شبيه بمن قرأ قوله تعالى : فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ ثم سكت ولم يكمل، ولو أكمل فقرأ : الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ) لتغير المعنى ، فما قرأه أولا يثبت أنّ من صلّى توعده الله بالويل، وما قرأه ثانيا تماما يثبت أن الويل لمن سها عن الصلاة، والفرق بين المعنيين كبير.
[7] Ibid.
كذلك من قال إن السنة فيها الصحيح والموضوع وسكت، أفاد أن صحيح السنة مختلط بموضوعها، ولا يميز بين الغث والثمين
[8] Ibid.
فلو أن قائله أنصف لأكمل الكلام فقال: السنة فيها الصحيح وفيها الموضوع، والصحيح معلوم والموضوع معلوم، وإلا ما عرف لقب الصحيح ولقب الموضوع. والا إن السنة لها رجالها، وعلماؤها فحول الرجال الذين نخلوا الأحاديث نخلا، وعرفوا كل حديث، وميزوا الصحيح من السقيم
[9] Ahmad bin Muhammad al-Qastalani, al-Mawahib al-Laduniyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah (Kaherah: al-Maktabah al-Taufiqiyyah, t.t.), jld. 2: hlm. 415.
ومنها: أنهم أوتوا الإسناد،
وهو خصيصة فاضلة من خصائص هذه الأمة، وسنة بالغة من السنن المؤكدة. وقد روينا من طريق أبى العباس الدغولى قال: سمعت محمد بن حاتم بن المظفر يقول: إن الله قد أكرم هذه الأمة وشرفها وفضلها بالإسناد، وليس لأحد من الأمم كلها قديمها وحديثها إسناد موصول، إنما هو صحف فى أيديهم، وقد خلطوا بكتبهم أخبارهم، فليس عندهم تمييز بين ما نزل من التوراة والإنجيل وبين ما ألحقوه بكتبهم من الأخبار التى اتخذوها عن غير الثقات.
وهذه الأمة الشريفة- زادها الله شرفا بنبيها- إنما تنص الحديث عن الثقة المعروف فى زمانه بالصدق والأمانة عن مثله حتى تتناهى أخبارهم، ثم يبحثون أشد البحث حتى يعرفوا الأحفظ فالأحفظ، والأضبط فالأضبط، والأطول مجالسة لمن فوقه ممن كان أقصر مجالسة، ثم يكتبون الحديث من عشرين وجها وأكثر، حتى يهذبوه من الغلط والزلل، ويضبطوا حروفه ويعدوه عدّا، فهذا من فضل الله على هذه الأمة، فنستودع الله تعالى شكر هذه النعمة وغيرها من نعمه