Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-198: AL-DABBAH (الدابة)

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan al-Dabbah?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, keluarnya al-Dabbah merupakan salah satu daripada tanda besar kiamat. Tanda ini disebut dan terdapat di dalam al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Firman Allah SWT:

 

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِّنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan apabila tiba masa berlakunya hukuman ke atas manusia, Kami keluarkan bagi mereka Dabbah (sejenis binatang) dari bumi yang akan menyatakan kepada mereka bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat (keterangan dan pengajaran) Kami”. [al-Naml:82]

 

Ini merupakan ayat atau firman Allah SWT yang menceritakan akan kewujudan al-Dabbah sepertimana yang disebutkan. Menurut ahli tafsir, ayat ini menunjukkan bahawa akan keluarnya al-Dabbah ini di akhir zaman ketika manusia berada dalam kerosakan iaitu dengan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT dan mereka juga menukar agama mereka yang haq (benar). Dengan itu, Allah SWT akan keluarkan al-Dabbah dari bumi yang akan berkata-kata kepada manusia. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 210/6]

 

Definisi al-Dabbah

Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. [Lihat: Mukhtar al-Sihah, 101/1] Manakala, menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak. [Lihat: Tafsir al-Sa’di, 610/1]

 

Hadith-Hadith Berkaitan al-Dabbah

Antara hadith-hadith berkaitan al-Dabbah adalah seperti berikut sebagaimana yang kami nyatakan pada Irsyad al-Hadith sebelum ini iaitu yang bertajuk Tanda-Tanda Besar Kiamat:

 

  • Daripada Huzaifah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ".

Maksudnya: ““Sesungguhnya al-Sa’ah (hari Kiamat) tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana bulan di Timur, gerhana bulan di Barat, gerhana bulan di jazirah Arab, Asap, Dajjal, Dabbah yang melata di bumi (sejenis haiwan),Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia ”. [Riwayat Muslim (2901)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat)”. [Riwayat Muslim (2947)]

 

Berdasarkan hadith-hadith di atas, keluarnya al-Dabbah merupakan salah satu daripada tanda-tanda besar atau hampirnya hari Kiamat.

 

Pendapat Ulama’ Berkaitan al-Dabbah

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan maksud atau makna al-Dabbah ini, maka kami ringkaskannya dalam bentuk nokhtah:

 

  • Pertama: Imam al-Qurthubi menyatakan al-Dabbah adalah seekor anak unta daripada unta Nabi Soleh AS yang dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam batu dan unta tersebut akan keluar pada bila-bila masa dengan izin Allah SWT.  

 

  • Kedua: Al-Dabbah yang dimaksudkan adalah al-Jassasah yang disebut atau diceritakan di dalam hadith Tamim al-Dari.

 

  • Ketiga: Al-Dabbah adalah ular yang menjaga dinding Ka’bah.

 

  • Keempat: Al-Dabbah adalah manusia yang bercakap bagi menentang orang yang melakukan bid’ah dan kekufuran.

 

  • Kelima: Perkataan al-Dabbah adalah isim (kata nama) bagi setiap binatang yang melata dan ia bukanla haiwan tertentu yang memiliki berbagai keajaiban dan keanehan. Berkemungkinan yang dimaksud dengannya adalah bakteria yang berbahaya yang telah membuat manusia menderita dari sudut badan dan kesihatannya.

 

Untuk itu, kami nukilkan sebagai kesimpulan daripada pendapat-pendapat di atas daripada pengarang kitab Mausu’ah al-Akhirat bahawa al-Dabbah mempunyai ciri-ciri khas yang berbeza dari sudut kekuatan, keluasan, keilmuan dan juga kecantikan yang mana ia diutuskan oleh Allah SWT bagi tujuan tertentu untuk diselesaikan. Tambahan pula, tidak sesiapa yang mampu untuk lari daripadanya atau daripada tujuannya dan jika seseorang itu ingin mencari atau menghendakinya nescaya dia tidak mampu untuk melakukan hal sedemikian. Ia juga akan datang kepada sekalian manusia di atas muka bumi ini seakan-akan nama-nama mereka (manusia) ada dengannya iaitu al-Dabbah. [Lihat: Mausu’ah al-Akhirat Ashrath al-Sa’ah, 173, 174]

 

Tempat Keluar al-Dabbah

Para ulama’ juga berbeza dalam menentukan tempat keluarnya al-Dabbah ini:

 

  • Pertama: Al-Dabbah akan keluar dari Makkah al-Mukarramah iaitu dari masjid yang paling mulia.

 

  • Kedua: Al-Dabbah ini akan keluar melalui tiga tempat. Ia akan keluar di sebahagian lembah dan kemudiannya bersembunyi. Kemudian ia keluar lagi di sebahagian kampung, lalu ia muncul di Masjid al-Haram.

 

Terdapat beberapa lagi pendapat-pendapat lain yang menceritakan berkaitan tempat keluarnya al-Dabbah ini. Akan tetapi, sebahagian besar daripada pendapat-pendapat dalam masalah ini menyatakan bahawa tempat keluarnya al-Dabbah ini adalah dari tanah haram Makkah.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang yang beriman wajib beriman dengan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya. Ini kerana, hal ini termasuk di dalam beriman dengan perkara-perkara yang ghaib. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita semua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam