Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-179: ULAMA’ UMATKU UMPAMA NABI BANI ISRAIL

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

عُلَمَاءُ أُمَّتِي كَأَنْبِيَاءِ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Maksudnya: “Ulama’ umatku seperti nabi-nabi Bani Israil”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ulama’ merupakan insan yang mulia kerana mereka meneruskan kerja nabi-nabi iaitu dakwah dan mengajak manusia kembali ke jalan Allah SWT. Untuk itu, Allah SWT membezakan antara orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu sebagaimana firman-Nya di dalam al-Qur’an:

 

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

 

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa makna daripada ayat tersebut adalah Allah SWT akan meninggikan orang-orang yang diberikan ilmu mengikut imannya kepada Allah SWT dari sudut ketaatannya kepada perintah Allah dan Rasul-Nya atau meninggikan orang-orang yang berilmu daripada kalangan mereka (orang-orang beriman) secara khusus dengan banyak tingkatan ganjaran serta martabat-martabat terpuji. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 17/28]

 

Melihat kepada soalan di atas, hadith tersebut telah dinilai dan dihukum oleh beberapa orang ulama’ dan ia ada dinyatakan di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya:

  • Imam al-Sakhawi mengatakan hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 459]
  • Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 148]
  • Imam al-Zarkasyi menghukum hadith ini sebagai tidak diketahui akan asalnya. [Lihat: al-La’aali al-Manthurah, 167]
  • Imam Ibn Muflih mengatakan bahawa hadith ini aku tidak temui asalnya dan ia tidak disebutkan di dalam kitab-kitab masyhur yang dikenali. [Lihat: al-Adab al-Syar’iyyah, 38/2]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari berkata bahawa hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: Al-Asrar al-Marfu’ah, 247]

 

Setelah kami melihat dan menekuni beberapa pendapat di atas, maka kami mengatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih kerana tidak diketahui akan asalnya. Tambahan pula, Syeikh Mulla Ali al-Qari mengatakan Syeikh al-Damiri dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga mengatakan bahawa hadith tersebut tidak mempunyai asal baginya. [Lihat: Al-Asrar al-Marfu’ah, 247]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith ini tidak sahih kerana tidak ditemui asalnya. Walaupun begitu, ulama’ merupakan pewaris Nabi SAW sebagaimana di dalam hadith:

 

  • Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”. [Riwayat Abu Daud (3641)][Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya]

 

Akhirnya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan di atas nama Baginda SAW dan juga ucapannya.

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka”. [Riwayat al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

 

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyandarkan sesebuah hadith kepada Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’alam