Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-32 : NIAT BERSYARAT KETIKA MENGERJAKAN IBADAH UMRAH

IF HAJI 32

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Saya telah sampai di Mekah pada November 2018 bagi menunaikan umrah. Walau bagaimanapun, saya kedatangan haid di KLIA semasa ingin berlepas. Semasa kapal terbang hampir sampai di Miqat Qarnul Manazil, saya terus niat bersyarat untuk mengerjakan umrah. Adakah tindakan saya itu betul, kerana mengikut kiraan saya, haid saya akan berhenti sebelum saya meninggalkan Mekah. Oleh itu, sempatlah saya untuk selesaikan rukun-rukun umrah yang bertangguh. Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya : Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

(Surah al-Baqarah : 196)

Ayat tersebut turun di Hudaibiyah ketika orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Sabda Nabi SAW kepada sahabat : “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)

Berniat ihram ketika dalam haid

Haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji , Umrah dan Ziarah, Terbitan Tabung Haji, hlm. 43) Selain daripada itu, tidak disyaratkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf.

Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ

Maksudnya : “Tidak diterima solat seseorang itu sekiranya dia dalam keadaan tidak suci (daripada hadas).” Riwayat Muslim (224)

Manakala mengenai tawaf, Syeikh Daud al-Fatani menyebutkan bahawa antara syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas kecil dan besar dan daripada najis yang tidak dimaafkan. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/282-283) Begitu juga, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan bahawa bagi syarat sah tawah hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/140-141)

Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

الطَّوَافُ صَلاَةٌ إِلاَّ أَنَّ اللهَ تَعَالَى أَحَلَّ فِيْهِ الكَلاَمَ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فَلاَ يَتَكَلَّمَ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya : “Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik.” Riwayat al-Tirmizi (975)

Oleh itu, seseorang yang hendak melaksanakan dua ibadah ini (solat dan tawaf) hendaklah memastikan dirinya suci daripada sebarang hadas, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.

Sekatan atau menghadapi halangan

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebut orang yang disekat (المحصر) ialah orang yang dihalang atau tersekat daripada menyempurnakan rukun-rukun haji atau umrah dengan sebab daripada sebab-sebab yang berikut seperti adanya musuh atau sakit atau terpisah daripada rombongan atau lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 510) Dalam bahasa mudahnya, halangan yang menyekat seseorang masuk ke Makkah untuk melakukan ibadah haji (atau umrah) seperti seseorang yang telah berihram, kemudian dihalang oleh musuh daripada masuk Makkah atau disekat serta ditutup semua laluan untuk ke sana (Mekah). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)

Mereka yang tersekat atau terhalang daripada menyempurnakan rukun-rukun Haji dan Umrah hendaklah bertahallul dengan menyembelih kambing (atau berkongsi 1/7 bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting dengan sekurang-kurangnya 3 helai rambut), bersama niat tahallul dengan kedua-duanya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 511) Jika ketiadaan binatang untuk membayar dam , nilaikanlah harga seekor kambing, dan sedekahkanlah makanan yang sama dengan nilai tersebut. Jika tidak mampu bersedekah makanan, hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan. Kemudian, bolehlah bertahallul pada ketika itu juga tanpa menunggu puasanya berakhir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)

Niat bersyarat

Niat bersyarat ini adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha :

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ لَهَا: أَرَدْتِ الْحَجَّ؟ فَقَالَتْ : وَاللَّهِ لاَ أَجِدُنِى إِلاَّ وَجِعَةً. فَقَالَ : حُجِّي وَاشْتَرِطِي، وَقَولِي : اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya : “Rasulullah SAW menemui Dhuba’ah binti al-Zubair. Baginda bertanya : Adakah engkau hendak mengerjakan haji? Jawab Dhuba’ah : Demi Allah, aku tiada masalah kecuali berasa sakit. Sabda Baginda : Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah : Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendakMu.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul. Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul. Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan tidak dikenakan dam kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/176)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa contoh lafaz niat bersyarat bagi orang yang tersekat atau terhalang disebabkan oleh sakit dan lain-lain. Antaranya :

  • Seorang yang sedang niat berihram meletakkan syarat dengan mengatakan :

اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya : “Ya Allah, tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang atas kehendakMu.”

Maka, telah gugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

  • Seseorang itu mensyaratkan dengan mengatakan :

إن مرضت فإني أتحلل

Maksudnya : “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul.”

Dalam hal ini, dia hanya perlu bertahallul sama ada bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

  • Atau dia mengatakan :

إن مرضت فإني أتحلل بالهدي

Maksudnya : “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul dengan binatang korban.”

Sekiranya dia berniat syarat begini, maka dia wajib menyembelih terlebih dahulu binatang korban. Kemudiannya, barulah bercukur atau bergunting bersama dengan niat bagi kedua-duanya.

  • Atau dia mengatakan :

إن مرضت فصرت حلالا

Maksudnya : Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku menjadi halal.”

Sekiranya dia telah berniat syarat begini, maka dia tidak perlu lagi melakukan apa-apa bagi bertahallul untuk keluar daripada ihram (kerana dia telah menjadi halal secara sendirinya).

Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengingatkan bahawa adalah lebih baik dan utama bagi mereka yang menghadapi halangan untuk bersabar pada awalnya dengan mengharapkan halangan tersebut dapat dihilangkan sebelum berakhir tempoh dia berada di Mekah. Bahkan, sekiranya menurut sangkaannya halangan tersebut dapat hilang sebelum berakhir tempoh haji atau sebelum berakhir 3 hari bagi umrah, maka dia tidak boleh untuk bertahallul. (Dan dia mesti menyelesaikan baki rukun yang belum dilaksanakan selepas halangan tersebut tiada).

(Lihat al-Taqirat al-Sadidah, hlm. 511-512)

Oleh itu, perempuan yang kedatangan haid dan diyakini bahawa haidnya akan berakhir sebelum dia meninggalkan Mekah, maka dia tidak boleh bertahallul dan perlu menunggu sehingga haidnya berhenti. Kemudian, barulah melaksanakan rukun yang berbaki itu.

Resolusi Muzakarah Haji mengenai niat bersyarat

Di dalam Resolusi Muzakarah Haji kali ke-34 ada menyatakan bahawa[1] :

  1. Niat bersyarat bukanlah satu keharusan yang diberikan secara mutlak malah ia adalah pengecualian terhadap keadaan yang sangat mendesak yang menghalang Jemaah menyempurnakan ibadat haji atau umrah.
  2. Niat bersyarat yang dibolehkan ialah kerana kesempitan waktu untuk pulang ke tanah air dan Jemaah masih terikat dengan ihram umrah. Niat bersyarat di kalangan Jemaah wanita adalah diutamakan ketika mengerjakan umrah dan dilarang semasa mengerjakan Ibadat haji.

Begitu juga, di dalam Resolusi Muzakarah Haji kali ke-26 ada menyebutkan berkenaan keadaan niat ihram bersyarat yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan.[2] Terdapat tiga keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita :

Yang dibolehkan :

  • Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
  • Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Yang tidak dibolehkan :

  • Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram, kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. Walau bagaimanapun, dia hendaklah berniat ihram dengan menyertakan syarat seperti, “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” Maka, dia tidak akan dikenakan dam sekiranya tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah tersebut sebelum tarikh dia pulang disebabkan oleh halangan yang dihadapi.
  • Niat bersyarat bukanlah satu keharusan yang diberikan secara mutlak malah ia adalah pengecualian terhadap keadaan yang sangat mendesak yang menghalang Jemaah menyempurnakan ibadat haji atau umrah.
  • Kami mengesyorkan kepada wanita yang sedang haid semasa melaksanakan ibadah umrah agar tidak tergesa-gesa untuk bertahallul dan menunggu kepada satu tempoh sehinggalah diyakini bahawa dia tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah tersebut. Harus diingat, sepanjang tempoh menunggu tersebut (sebelum tahallul) dia masih terikat dengan pantang larang ihram.
  • Sekiranya diyakini bahawa dia tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah sebelum tarikh pulang, maka dia boleh bertahallul dengan bergunting atau bercukur bersama niat. Selepas bertahallul, secara automatiknya dia telah bebas daripada pantang larang ihram.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat Resolusi Muzakarah Haji kali ke-34, Kertas kerja keempat bertajuk Niat Bersyarat Satu Kajian Semula Dari Segi Pelaksanaan, pada 19-22 November 2017 bertempat di TH Hotel Penang, hlm. 4.

[2] Lihat Resolusi Muzakarah Haji kali ke-26, Kertas kerja kelima bertajuk Permasalahan Pilihan Musim Haji, pada 4 – 7 Mac 2010 bertempat di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre).