Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-40: HUKUM MENGGABUNGKAN NIAT KORBAN DAN AKIKAH UNTUK SATU SEMBELIHAN

ifhk40

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Sekiranya saya ingin melakukan korban seekor kambing, adakah boleh saya menggabungkan sekali niat korban dan akikah anak perempuan saya yang baru lahir?

Ringkasan Jawapan:

Menurut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafie, tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban dalam satu masa. Meskipun korban dan akikah adalah dalam jenis yang sama iaitu sembelihan, namun kedua-duanya adalah ibadah sunat yang membawa maksud tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Huraian Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap satu umat kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur atas kurniaan kepada mereka daripada haiwan-haiwan ternakan yang disembelih”.

Surah al-Hajj (34)

Mengenai isu menghimpunkan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan, para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Ibadah korban tidak boleh digabungkan dengan akikah. Sekiranya dilakukan maka tidak terhasil (mendapat pahala) semua ibadah tersebut. Pendapat ini adalah pendapat ulama Syafi’iyah, Malikiyah dan salah satu pendapat daripada Imam Ahmad.  (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 9/370; al-Zakhirah, 4/166).

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Seandainya seseorang berniat satu kambing untuk korban dan ‘aqiqah sekaligus maka tidak berhasil (diterima) sesuatu daripada keduanya dan ia adalah jelas, kerana setiap satunya (korban dan akikah) itu adalah sunat yang dimaksudkan. Dan tujuan korban adalah untuk penyantunan tetamu yang umum sementara tujuan akikah adalah untuk penyantunan tetamu yang khusus, dan adalah kedua-duanya berlainan antara satu sama lain (dalam masalah-masalah tertentu)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 9/370).

Ibnu Hajar al-Haitami dalam Fatawa al-Kubra ketika ditanya mengenai kambing yang disembelih pada hari raya korban dan hari-hari tasyriq dengan niat korban dan akikah, adakah mendapat pahala kedua-duanya ataupun tidak? Lalu beliau menjawab:

“Sebagaimana pendapat ulama mazhab kami sejak beberapa tahun silam, tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban (dalam satu masa). Hal ini kerana yang kedua-keduanya (korban dan akikah) adalah ibadah sunat yang dimaksudkan secara zatnya (sehingga tidak boleh digabungkan dengan lainnya). Begitu pula keduanya memiliki sebab dan maksud tersendiri. Korban adalah sebagai tebusan untuk diri sendiri, manakala akikah adalah sebagai tebusan untuk anak yang diharap dapat tumbuh membesar menjadi anak soleh dan berbakti (kepada orang tua), dan (pendapat) yang mengatakan boleh digabungkan (niat) antara keduanya boleh membatalkan maksud kedua-dua ibadah tersebut”. (Rujuk: Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/256).

Pendapat ini mengatakan hujah tidak boleh digabungkan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan adalah kerana kedua-duanya adalah ibadah sunat yang mempunyai maksud dan tujuan tersendiri dalam menumpahkan darah dan ianya tidak boleh menggantikan satu sama lain seperti dalam isu tidak boleh menghimpunkan ganti rugi kerana melaksanakan haji tamattu’ (dam al-tamattu’) dan ganti rugi kerana fidayah puasa (dam al-fidyah) Rujuk: (Tuhfah al-Maudud, hlm.68; al-Mufassal fi Ahkam al-Udhiyah, 1/107).

Disebut di dalam Mau’suah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah:

“Akikah adalah sembelihan yang dilaksanakan untuk mensyukuri nikmat yang telah dikurnakan dan nikmat kelahiran seorang anak sama ada lelaki atau perempuan, dan semestinya ia (akikah) berlainan dengan korban kerana tujuan korban adalah untuk mensyukuri nikmat kehidupan dan bukannya nikmat kelahiran”. (Rujuk: Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 5/75).

Justeru, jelaslah bahawa tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban dalam satu sembelihan kerana kedua-duanya mempunyai sebab tersendiri iaitu akikah untuk meraikan kesyukuran atas kelahiran anak manakala korban adalah untuk menzahirkan kesyukuran atas nikmat (lebihan harta) yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Pendapat kedua: Boleh menggabungkan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan. Menurut pendapat ini, boleh melaksanakan korban sekaligus dengan niat akikah atau sebaliknya serta terhasil (mendapat pahala) kedua-duanya. Inilah pandangan Imam al-Ramli dari mazhab al-Syafie, salah satu pendapat dari Imam Ahmad dan pendapat ulama Hanafiyah. (Rujuk: Fath al-Bari, 12/13; Nihayah al-Muhtaj, 8/145; Kasysyaf al-Qina’, 3/29; Hasyiyah Ibn Abidin, 6/326).

Imam al-Ramli berkata: “Jika seseorang berniat korban serta akikah untuk seekor kambing yang disembelihnya maka terhasillah kedua-duanya, berbeza dengan pendapat yang mengatakan sebaliknya”. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 8/145-146).

Imam al-Hajawi berkata: “Sekiranya berhimpun akikah dan korban (dalam masa yang sama), dan diniatkan sembelihan untuk keduanya, iaitu akikah dan korban maka terhasil dan mendapat pahala kedua-duanya, sebagaimana yang didapati daripada Imam Ahmad”. (Rujuk: Kasysyaf al-Qina’, 3/30).

Mereka (pendapat kedua) berhujah bahawa ibadah korban dan akikah boleh digabungkan niat dalam satu sembelihan serta terhasil (mendapat pahala) kedua-duanya. Hal ini adalah diqiyaskan dengan masalah menghimpunkan dua ibadah dalam suatu masa seperti menunaikan solat dengan menghimpunkan niat solat sunat tahiyyatul masjid dan solat sunat rawatib atau solat fardhu, maka akan diperoleh pahala keduanya. (Rujuk: Tuhfah al-Maudud, hlm. 87, Tashih al-Furu’, 3/564).

Disebut di dalam kitab Tuhfah al-Maudud:

“Dan hujah bagi pandangan yang mengatakan boleh (menghimpunkan niat korban dan akikah) dan sampai maksud keduanya dengan melaksanakan satu sembelihan, kerana melakukan ibadah korban untuk anak adalah dianjurkan sebagaimana melaksanakan akikah untuknya, sekiranya seseorang melakukan korban (untuk anaknya) dengan niat akikah dan korban maka terhasillah (mendapat pahala) kedua-duanya sebagaimana halnya orang yang melaksanakan solat dengan menghimpunkan niat solat sunat tahiyyatul masjid dan solat sunat rawatib. (Rujuk: Tuhfah al-Maudud, hlm. 87).

TARJIH PANDANGAN

Setelah meneliti perbahasan di atas, pendapat yang dipilih ialah membenarkan penggabungan niat akikah dan korban dalam satu masa, kerana walaupun kedua-duanya adalah dalam bentuk sembelihan, namun akikah dan korban adalah ibadah sunat yang membawa maksud tersendiri yang berbeza antara satu sama lain.

Adapun pandangan yang mengatakan boleh menghimpukan niat antara keduanya boleh membatalkan maksud setiap satu daripadanya. Dan masalah ini tidak boleh diqiaskan dengan masalah solat sunat tahiyyatul masjid dan solat sunat rawatib atau seumpamanya kerana ianya (solat tersebut) bukanlah dimaksudkan (tujuan dilaksanakan) secara zatnya tersendiri tetapi sebab pelaksanaannya adalah supaya tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Selain itu pahala solat sunat tahiyyatul masjid tetap akan diperolehi dengan menunaikan solat sunat rawatib sekalipun tidak bermaksud untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid tersebut. (Rujuk: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/256; al-Mufassal fi Ahkam al-‘Aqiqah, 1/129).

Kesimpulan

Justeru, kami berpendapat tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban dalam satu masa. Meskipun korban dan akikah adalah dalam jenis yang sama iaitu sembelihan, namun kedua-duanya adalah ibadah sunat yang membawa maksud tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Pendapat ini juga lebih bersifat ihtiyat (hati-hati) dan keluar dari perselisihan yang ada.

Sekiranya akikah bertepatan dengan korban pada hari raya aidiladha atau hari-hari tasyriq, maka sebaiknya dipisahkan antara keduanya. Iaitu dilaksanakan kedua-duanya (sembelihan korban dan akikah) sekiranya mampu. Namun sekiranya tidak mampu melaksanakan kedua-duanya sekaligus, maka hendaklah didahulukan ibadah korban dahulu kerana ia bertepatan dengan hari raya korban dan waktunya agak singkat.

Adapun sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan sangat tidak berkemampuan pada waktu tersebut serta wujud kebimbangan tidak dapat melaksanakannya pada tahun-tahun seterusnya, maka bolehlah ia bertaqlid kepada pendapat Imam al-Ramli dan sebahagian ulama’ lain yang mengharuskan menghimpunkan niat dalam ibadah korban dan akikah untuk mendapatkan kelebihan dan pahala kedua-duanya. Namun sekiranya dia berkemampuan maka hendaklah diasingkan sembelihan keduanya (berbalik kepada pandangan pertama).  Dalam hal ini, para ulama’ mengatakan bahawasanya lebih banyak seseorang melaksanakan amalan maka lebih banyak pahala yang akan diperoleh. Justeru marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan lebih-lebih lagi ibadah yang sangat dituntut ini dalam kehidupan.

Wallahu a’lam.