Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-92: HUKUM BACAAN LAFAZ NIAT IHRAM KETIKA KURSUS HAJI ATAU UMRAH

HUKUM_BACAAN_LAFAZ_NIAT_IHRAM_KETIKA_KURSUS_HAJI_ATAU_UMRAH.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum kita melafazkan niat ihram secara jelas ketika kita mengikuti kursus haji dan umrah sedangkan kita tidak betul-betul berihram lagi pada waktu tersebut? Adakah ia dibolehkan?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum melafazkan niat ihram dalam kursus haji atau umrah hanyalah salah satu bentuk pembelajaran dan latihan praktikal. Oleh yang demikian, seseorang yang melafazkan niat ihram dengan niat dan tujuan tersebut maka tidak terkait dengan larangan-larangan semasa berihram.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Setiap sesuatu ibadah memerlukan kepada niat berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.

(Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sesuatu ibadat hendaklah diniatkan bagi membezakannya dengan satu perbuatan yang dianggap sebagai adat kebiasaan. Manakala dalam perkara hal berkaitan ihram, sesiapa yang telah memakai pakaian ihram kemudian berniat ihram, maka haram baginya melakukan perkara larangan ihram. Antara larangan-larangan setelah berihram tersebut adalah seperti yang disebutkan Habib Hasan Ibn Ahmad al-Kaff seperti berikut:

محرمات الإحرام هي : سَتْرُ الرأس ولُبْسُ المُحيط للرَّجُل، وستْرُ الوَجْهِ ولُبْسُ القُفَازَيْنِ للمرأة، وإزالة الشعر والظُّفْر، والطيب، والجماع، ودهن الرأس واللحية، والصَّيْدُ، وقطْعُ نَبَاتِ الحَرمِ الرَّطْب .

Maksudnya: Larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi wanita, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak pada rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram.[1] (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, 503)

Walau bagaimanapun, dalam situasi melafazkan niat ihram ketika kursus sebagai satu latihan praktikal maka ia diniatkan hanya bertujuan untuk pembelajaran. Ini kerana sesuatu perbuatan itu ditentukan hukumnya berdasarkan niat. Hal ini boleh diqiaskan dengan perbahasan di mana jika seorang suami melafazkan talak untuk tujuan penceritaan, pengajaran dan seumpamanya, maka talak tersebut tidak jatuh ke atas isterinya itu. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam Zakaria al-Ansari, kata beliau:

‌وَاعْتُبِرَ ‌قَصْدُ ‌الْمَعْنَى لِيَخْرُجَ حِكَايَةُ طَلَاقِ الْغَيْرِ وَتَصْوِيرُ الْفَقِيهِ وَالنِّدَاءُ بِطَالِقٍ لِمُسَمَّاةٍ بِهِ

Maksudnya: Diambil kira juga niat dari sudut maknanya supaya terkeluar daripada lafaz talak sebenar beberapa keadaan seperti seseorang menceritakan talak bagi orang lain, seorang faqih menggambarkan permasalahan dan panggilan dengan nama taliq bagi seseorang wanita yang bernama dengannya.[2] (Rujuk Asna al-Matalib, 3:280)

Ini juga berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

‌الْأُمُور ‌بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dikira berdasarkan niat.

Oleh itu, jika diniatkan hanya untuk pembelajaran dan bukan untuk berihram sebenar, maka tidak berlaku larangan-larangan ihram bagi orang yang melafazkan niat tersebut. Di samping itu, ia juga seperti yang diputuskan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bahawa: ‘Bacaan atau lafaz niat ihram yang dibaca ketika kursus haji atau umrah hanya sebagai pembelajaran dan latihan amali. Peserta tidak dianggap telah berniat haji atau umrah dan tidak terikat dengan larangan ihram’. (Rujuk Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-29 1434H: 2)

Kesimpulan

Hukum melafazkan niat ihram dalam kursus haji atau umrah hanyalah salah satu bentuk pembelajaran dan latihan praktikal.

Seseorang yang melafazkan niat ihram dengan niat dan tujuan tersebut maka tidak terkait dengan larangan-larangan semasa berihram.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Hasan Ibn Ahmad al-Kaff, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, (Hadramawt, Dar al-Mirath al-Nabawiyyah, 2003), hlm. 503.

[2] Al-Ansari, Zakariyya Ibn Muhammad, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, (Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, t.t), jld. 3, hlm. 280.