Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADAN SIRI KE-195: HUKUM MELEWATKAN BERBUKA PUASA RAMADHAN

IF Khas Ramadhan 195

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seseorang itu melewatkan berbuka puasa dengan alasan lebih lama kita berpuasa, lebih banyak pahala kita dapat? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum seseorang itu melewatkan berbuka puasa adalah makruh. Hal ini kerana, ia berlawanan dengan sunnah Nabi SAW dan juga amalan para sahabat yang menyegerakan berbuka sebaik sahaja telah pasti terbenamnya matahari. Adapun sekiranya, seseorang itu tidak berasa yakin atau hanya menyangka bahawa matahari sudah terbenam, maka dia tidak disunatkan segera berbuka, sehinggalah sudah pasti baginya matahari sudah terbenam. Begitu juga sekiranya dia sengaja melewatkan berbuka kerana merasakan bahawa perbuatan tersebut mengandungi fadilat tertentu, walhal tidak ada sebarang fadilat terhadap perbuatan tersebut, maka makruh hukumnya. Namun begitu, sekiranya dia melewatkan berbuka atas sebab sebarang keuzuran, maka ia tidak mengapa.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Nabi SAW pernah bersabda:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)

Berdasarkan kepada hadis ini, Syeikh Mustafa al-Bugha ada menyertakan komentarnya terhadap hadis ini, beliau menyatakan bahawa lafaz ‘لاَ يَزَالُ’ memberi makna bahawa mereka kekal dalam keluasan dan kerehatan sekiranya mereka berbuka setelah pasti terbenamnya matahari. Hal ini kerana, ia lebih memudahkan mereka dan menguatkan mereka untuk mengerjakan ibadah, begitu juga membolehkan mereka memperoleh ganjaran pahala tambahan oleh kerana pegangan mereka terhadap sunnah Rasulullah SAW.[1]

Al-Bujairimi mengulas hadis ini bahawa manusia atau umat Islam berada dalam kebaikan atas sebab perbuatan menyegerakan berbuka puasa adalah kerana sekiranya mereka melewatkan berbuka, maka mereka sebenarnya telah menyalahi sunnah, dan kebaikan tidak akan ada melainkan hanya dengan menuruti sunnah.[2]

Seterusnya, al-Syirbini menukilkan bahawa sunat menyegerakan berbuka apabila telah pasti matahari sudah terbenam berdasarkan kepada hadis sahih ini. Ia juga berlawanan dengan amalan penganut-penganut agama Yahudi dan Nasrani yang melewatkan berbuka puasa.[3] Oleh yang demikian, makruh hukumnya jika seseorang itu melewatkan berbuka puasa.[4] Begitu juga sekiranya dia sengaja melewatkan berbuka kerana merasakan bahawa perbuatan tersebut mengandungi fadilat tertentu, walhal tidak ada sebarang fadilat terhadap perbuatan tersebut, maka makruh juga hukumnya.[5] Namun begitu, sekiranya dia melewatkan berbuka atas sebab sebarang keuzuran, maka ia tidak mengapa[6].

Begitu juga, sekiranya tidak diyakini bahawa matahari sudah terbenam, yakni hanya menyangkanya secara zhan sahaja setelah dia berusaha ke arahnya, maka tidak disunatkan untuk menyegerakan berbuka, namun sekiranya tiada sebarang usaha untuk mengetahui sudah terbenam matahari dan bergantung kepada sangkaan semata-mata, maka diharamkan baginya untuk berbuka.[7]

Kesimpulannya, jelaslah bahawa makruh hukumnya seseorang itu melewatkan berbuka puasa. Hal ini kerana, ia berlawanan dengan sunnah Nabi SAW dan juga amalan para sahabat yang menyegerakan berbuka sebaik sahaja telah pasti terbenamnya matahari. Adapun sekiranya, seseorang itu tidak berasa yakin atau hanya menyangka bahawa matahari sudah terbenam, maka dia tidak disunatkan segera berbuka, sehinggalah sudah pasti baginya matahari sudah terbenam. Begitu juga sekiranya dia sengaja melewatkan berbuka kerana merasakan bahawa perbuatan tersebut mengandungi fadilat tertentu, walhal tidak ada sebarang fadilat terhadap perbuatan tersebut, maka makruh hukumnya. Namun begitu, sekiranya dia melewatkan berbuka atas sebab sebarang keuzuran, maka ia tidak mengapa.

Akhir kalam, semoga Allah SWT merahmati kita di bulan yang mulia ini dengan memberikan kita kekuatan dan keikhlasan dalam diri untuk mengerjakan dan menambah baik amal ibadat kita. Wallahu A‘lam.

[1] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, Sahih al-Bukhari, Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir, (t.tp: Dar Tuq al-Najah, cetakan pertama, 1422H), Bab: Menyegerakan Berbuka, No.Hadith: 1957, 3/36.

[2] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad bin Umar, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, tanpa cetakan, 1415H), 2/382.

قَوْلُهُ: «لَا تَزَالُ» أَيْ تَسْتَمِرُّ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مُدَّةَ تَعْجِيلِهِمْ الْفِطْرَ إلَخْ، وَلِخَبَرِ التِّرْمِذِيِّ وَحَسَّنَهُ: «قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: أَحَبُّ عِبَادِي إلَيَّ أَعْجَلُهُمْ فِطْرًا» وَلِمَا صَحَّ أَنَّ الصَّحَابَةَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ - كَانُوا أَعْجَلَ النَّاسِ إفْطَارًا وَأَبْطَأَهُمْ سُحُورًا، وَإِنَّمَا كَانَ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوهُ لِأَنَّهُمْ لَوْ أَخَّرُوهُ لَكَانُوا مُخَالِفِينَ السُّنَّةَ، وَالْخَيْرُ لَيْسَ إلَّا فِي اتِّبَاعِهَا. وَكُلُّ خَيْرٍ فِي اتِّبَاعِ مَنْ سَلَفَ وَكُلُّ شَرٍّ فِي ابْتِدَاعِ مَنْ خَلَفَ.

[3] Termasuklah juga perbuatan syiah. Hal ini kerana, mereka melewatkan berbuka puasa sehingga bintang-bintang muncul, bermakna malam sudah gelap. Lihat: Al-Bujairimi, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/382.

قَوْلُهُ: (مِنْ مُخَالَفَةِ الْيَهُودِ) أَيْ وَكَثِيرٌ مِنْ الْمُبْتَدِعَةِ كَالشِّيعَةِ، فَإِنَّهُمْ يُؤَخِّرُونَ الْفِطْرَ إلَى ظُهُورِ النَّجْمِ. اهـ. م ر.

[4] Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 2/91.

 مكروهات الصيام:

مكروهات الصيام تتمثل في مخالفة الآداب المذكورة، فبعضها يدخل في المكروه التنزيهي: كتأخير الإفطار، وتعجيل السحور، وبعضها يدخل في المحرمات، كالغيبة والنميمة، وقول الزور.

[5] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/165.

(وَيُسَنُّ تَعْجِيلُ الْفِطْرِ) إذَا تَحَقَّقَ غُرُوبُ الشَّمْسِ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ «لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ» (1) زَادَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ " وَأَخَّرُوا السُّحُورَ " وَلِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ مُخَالَفَةِ الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى، وَيُكْرَهُ أَنْ يُؤَخِّرَهُ إنْ قَصَدَ ذَلِكَ وَرَأَى أَنَّ فِيهِ فَضِيلَةً وَإِلَّا فَلَا بَأْسَ بِهِ.

[6] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 2/187.

تعجيل الفطر: يستحب للصائم أن يعجل الفطر إذا تحقق غروب الشمس، لما روى سهل بن سعد رضي الله عنه: أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر"، وروى أبو هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "لا يزال هذا الدين ظاهرًا ما عجّل الناس الفطْرَ"، لما في ذلك من مخالفة اليهود والنصارى الذين يؤخّرون، فإن أخّره لعذر فلا بأس به، وإن رأى الفضل في التأخير كره ذلك لمخالفة الأحاديث.

[7] Al-Bujairimi, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/382.

قَوْلُهُ: (إذَا تَحَقَّقَ غُرُوبُ الشَّمْسِ) خَرَجَ بِتَحَقُّقِ الْغُرُوبِ ظَنُّهُ بِاجْتِهَادِهِ فَلَا يُسَنُّ تَعْجِيلُ الْفِطْرِ، وَظَنُّهُ بِلَا اجْتِهَادٍ وَشَكُّهُ فَيَحْرُمُ بِهِمَا. اهـ. مَرْحُومِيٌّ.