Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 233: HUKUM SUAMI ISTERI BERMESRAAN DAN BERCIUM KETIKA IKTIKAF

HUKUM SUAMI ISTERI BERMESRAAN DAN BERCIUM KETIKA IKTIKAF

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai iktikaf.  Apakah hukum suami isteri bermesraan dan bercium ketika menunaikan iktikaf di masjid? Adakah perbuatan ini membatalkan ibadah iktikaf tersebut?

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan suami isteri bermesraan atau bercumbuan ketika iktikaf boleh membatalkan ibadah iktikaf tersebut. Hal ini sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan syahwat sehingga menyebabkan inzal (keluar air mani). Sekiranya perbuatan bermesraan atau bercumbuan antara suami isteri dilakukan tanpa syahwat dan tidak menyebabkan inzal maka tidak membatalkan ibadah iktikaf tersebut. Selain itu, perbuatan bermesra dan ciuman tanpa syahwat atas tujuan kasih sayang dan memuliakan pasangan diharuskan ketika iktikaf. Ia tidak memudaratkan ibadah iktikaf tersebut.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Syeikh Dr. Musthafa al-Bugha mendefinisikan iktikaf sebagai: Menetap di dalam masjid yang dilakukan oleh individu tertentu dengan niat.

(Rujuk: Ifadah al-Raghibin Syarah Minhaj al-Thalibin, 1/697)

Terdapat perkara yang boleh menyebabkan ibadah iktikaf terbatal antaranya ialah berjimak. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ

Bermaksud: Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.

Surah al Baqarah (187)

Berdasarkan ayat suci di atas, para ulama menyatakan bahawa jimak membatalkan ibadah iktikaf. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Ramli:

(وَيَبْطُلُ) الِاعْتِكَافُ (بِالْجِمَاعِ) مِنْ عَامِدٍ عَالِمٍ بِتَحْرِيمِهِ وَاضِحٍ مُخْتَارٍ

Bermaksud: Ibadah iktikaf terbatal disebabkan berjimak dengan sengaja oleh orang yang mengetahui akan pengharamannya secara jelas tanpa paksaan.

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 3/220)

Sementara itu, perbuatan bermesraan atau berciuman dengan syahwat ketika iktikaf akan menyebabkan ibadah iktikaf itu terbatal sekiranya menyebabkan inzal (keluar air mani). Manakala sekiranya perbuatan bermesraan atau cumbuan itu tidak menyebabkan inzal maka ibadah iktikaf itu tidak batal. Hal ini menurut Imam al-Syarbini menyatakan bahawa:

‌ (أَنَّ ‌الْمُبَاشَرَةَ ‌بِشَهْوَةٍ) ‌فِيمَا ‌دُونَ ‌الْفَرْجِ (‌كَلَمْسٍ ‌وَقُبْلَةٍ ‌تُبْطِلُهُ) أَيْ الِاعْتِكَافَ (إنْ أَنْزَلَ، وَإِلَّا فَلَا) تُبْطِلُهُ

Bermaksud: Bermesraan dengan syahwat yang tidak menggunakan kemaluan seperti bersentuhan atau ciuman maka ia membatalkan iktikaf sekiranya terkeluar air mani dan jika tidak (inzal) maka iktikaf tidak terbatal.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 2/192)

Selain itu, perbuatan bermesra dan ciuman tanpa syahwat atas tujuan kasih sayang dan memuliakan pasangan diharuskan ketika iktikaf. Menurut Imam Al-Mahalli menyatakan bahawa:

وَلَا بَأْسَ بِاللَّمْسِ بِغَيْرِ شَهْوَةٍ وَلَا بِالتَّقْبِيلِ عَلَى سَبِيلِ الشَّفَقَةِ وَالْإِكْرَامِ

Bermaksud: Tidak mengapa dengan bersentuhan tanpa syahwat dan ciuman disebabkan kemurahan hati atau memuliakan.

(Rujuk: Kanzu al-Raghibin, 2/98)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa perbuatan suami isteri bermesraan atau bercumbuan ketika iktikaf boleh membatalkan ibadah iktikaf tersebut. Hal ini sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan syahwat sehingga menyebabkan inzal (keluar air mani). Sekiranya perbuatan bermesraan atau bercumbuan antara suami isteri dilakukan tanpa syahwat dan tidak menyebabkan inzal maka tidak membatalkan ibadah iktikaf tersebut. Selain itu, perbuatan bermesra dan ciuman tanpa syahwat atas tujuan kasih sayang dan memuliakan pasangan diharuskan ketika iktikaf. Ia tidak memudaratkan ibadah iktikaf tersebut.

Wallahu A'lam