Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 241: ADAKAH BAYI YANG DILAHIRKAN PADA PAGI RAYA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT KE ATASNYA?

ADAKAH BAYI YANG DILAHIRKAN PADA PAGI RAYA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT KE ATASNYA

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, isteri saya tengah sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak pada awal bulan Syawal, soalan saya, sekiranya anak saya lahir pada pagi raya Syawal ini, adakah saya wajib mengeluarkan zakat fitrah ke atasnya? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Bayi yang lahir pada ketika matahari sedang tenggelam diwajibkan zakat oleh kerana matahari masih belum tenggelam sepenuhnya dan dia telah mendapat sejuzuk waktu Ramadan dan Syawal. Adapun sekiranya seseorang bayi itu lahir pada malam hari raya yakni sesudah terbenam keseluruhan matahari, maka tidaklah diwajibkan zakat fitrah ke atasnya. Hal ini kerana, antara syarat diwajibkan zakat fitrah ialah seseorang itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Nabi SAW bersabda:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas setiap manusia sebanyak segantang tamar atau segantang gandum (makanan asasi) iaitu ke atas setiap Muslim yang merdeka atau hamba sama ada lelaki mahupun perempuan.”

Riwayat Muslim (984)

Berdasarkan kepada hadis ini, setiap individu Muslim sama ada merdeka mahupun hamba sahaya dalam kalangan lelaki ataupun perempuan adalah wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah pada bulan Ramadan. Hal ini termasuklah juga bayi[1].  

Berbalik kepada persoalan yang diutarakan berkenaan bayi yang lahir pada pagi hari raya, adakah turut wajib dikeluarkan zakat ke atasnya? Bagi menjawab permasalahan ini, pada dasarnya, seseorang yang diwajibkan zakat fitrah itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya[2].

Imam al-Nawawi ada menyebut sekiranya seorang bayi itu lahir selepas tenggelamnya matahari, maka tidak diwajibkan zakat fitrah ke atasnya[3].

Syeikh al-Bujairami turut menyebut di dalam Hasyiahnya[4], beliau menyebut:

قَوْلُهُ: (كُلِّ الشَّمْسِ) قَضِيَّتُهُ أَنَّهُ لَوْ وُلِدَ بَعْدَ غُرُوبِ جُزْءٍ مِنْهَا لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ الْوُجُوبُ وَإِنْ أَدْرَكَ جُزْءًا مِنْ شَوَّالٍ لِعَدَمِ إدْرَاكِهِ كُلَّ الْغُرُوبِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ، بَلْ تَجِبُ فِي هَذَا لِإِدْرَاكِهِ الْجُزْأَيْنِ.

Maksudnya: Permasalahannya adalah sekiranya bayi itu dilahirkan selepas terbenam sebahagian matahari, tidaklah diwajibkan zakat sekalipun dia mendapat sebahagian bulan Syawal oleh kerana dia tidak mendapat keseluruhan tempoh matahari yang terbenam. Namun, ia bukanlah begitu sebenarnya, bahkan dia wajib dikeluarkan zakat oleh kerana dia sebenarnya telah mendapat kedua-dua juzuk (bahagian) waktu tersebut.

Begitu juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh al-Dimyati, sekiranya isteri melahirkan anak selepas terbenamnya matahari atau ketika itu, maka tidak diwajibkan ke atas bapanya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut. Hal ini kerana, bayi tersebut tidak mendapati dua bahagian waktu iaitu akhir bulan Ramadan dan awal bulan Syawal[5].

Imam al-Ramli ada menyebut, sekiranya syak akan kelahiran tersebut sama ada berlaku sebelum tenggelam atau sesudah terbenamnya matahari, maka tidak wajib zakat fitrah ke atanya atas sebab rasa syaknya itu. Begitu juga sekiranya janin itu keluar sebahagiannya sebelum matahari terbenam dan keluar pula sebahagian lagi sesudahnya, maka tidak wajib zakat ke atasnya atas sebab ia masih lagi janin yang tidak sempurna pemisahannya daripada rahim ibu[6]

Kesimpulannya, bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari(masuk 1 syawal) diwajibkan zakat ke atasnya. Adapun sekiranya seseorang bayi itu lahir pada malam hari raya yakni sesudah terbenam keseluruhan matahari, maka tidaklah diwajibkan zakat fitrah ke atasnya. Hal ini kerana, antara syarat diwajibkan zakat fitrah ialah seseorang itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya. Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dan keikhlasan dalam beragama.

Wallahu A‘lam

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 7/57-59.

 وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ أَيْضًا فِي إِخْرَاجِهَا عَنِ الصَّبِيِّ فَقَالَ الْجُمْهُورُ يَجِبُ إِخْرَاجُهَا لِلْحَدِيثِ الْمَذْكُورِ بَعْدَ هَذَا صَغِيرٍ أَوْ كبير

[2] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 3/305-306.

(تَجِبُ بِأَوَّلِ لَيْلَةِ الْعِيدِ) أَيْ بِإِدْرَاكِ هَذَا الْجُزْءِ مَعَ إدْرَاكِ آخِرِ جَزْءٍ مِنْ رَمَضَانَ

Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/228-229.

الثاني- غروب شمس آخر يوم من رمضان:

فمن مات بعد غروب ذلك اليوم، وجبت زكاة الفطر عنه، سواء مات بعد أن تمكن من إخراجها، أم مات قبله، بخلاف من ولد بعده. ومن مات قبل غروب شمسه لم تجب في حقه، بخلاف من ولد قبله.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftiin fi al-Fiqh, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H), hlm.70.

فتخرج عمن مات بعد الغروب دون من ولد

Lihat juga: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/58.

قَوْلُهُ (مِنْ رَمَضَانَ) إِشَارَةٌ إِلَى وَقْتِ وُجُوبِهَا وَفِيهِ خِلَافٌ لِلْعُلَمَاءِ فَالصَّحِيحُ مِنْ قَوْلِ الشَّافِعِيِّ أَنَّهَا تَجِبُ بِغُرُوبِ الشَّمْسِ وَدُخُولِ أَوَّلِ جُزْءٍ مِنْ لَيْلَةِ عِيدِ الْفِطْرِ وَالثَّانِي تَجِبُ لِطُلُوعِ الْفَجْرِ لَيْلَةَ الْعِيدِ وَقَالَ أَصْحَابُنَا تَجِبُ بِالْغُرُوبِ وَالطُّلُوعِ مَعًا فَإِنْ وُلِدَ بَعْدَ الْغُرُوبِ أَوْ مَاتَ قَبْلَ الطُّلُوعِ لَمْ تَجِبْ

[4] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/350.

[5] ‘Uthman bin Muhammad Syato al-Dimyati, I‘anah al-Tolibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu‘in, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1418H), 2/191.

(قوله: من ولد الخ) بيان لما، وذلك بأن وضعت زوجته بعد الغروب أو معه، فلا زكاة على أبيه، لعدم إدراك الابن الجزأين.

[6] Syams al-Din Muhammad bin Abu al-‘Abbas al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj¸(Beirut: Dar al-Fikr, cetakan akhir, 1404H), 3/111.

(دُونَ مَنْ وُلِدَ) بَعْدَهُ وَلَوْ شَكَّ فِي الْحُدُوثِ قَبْلَ الْغُرُوبِ أَوْ بَعْدَهُ فَلَا وُجُوبَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ لِلشَّكِّ. وَيُؤْخَذُ مِنْ كَلَامِهِ أَنَّهُ لَوْ خَرَجَ بَعْضُ الْجَنِينِ قَبْلَ الْغُرُوبِ وَبَاقِيهِ بَعْدَهُ لَمْ تَجِبْ؛ لِأَنَّهُ جَنِينٌ مَا لَمْ يَتِمَّ انْفِصَالُهُ وَيَلْحَقُ بِهِ كُلُّ مَا حَدَثَ بَعْدَهُ بِنِكَاحٍ أَوْ إسْلَامٍ أَوْ مِلْكِ قِنٍّ