Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 268: BOLEHKAH BERBUKA PUASA BAGI MUSAFIR YANG BERPUASA SETELAH TIBA DI DESTINASI

PP_poster_2BOLEHKAH_BERBUKA_PUASA_BAGI_MUSAFIR_YANG_BERPUASA_SETELAH_TIBA_DI_DESTINASI.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya seorang pemandu bas dan kerap bermusafir dari Kuala Lumpur ke Utara tanah air. Pada bulan Ramadan, kebiasaannya saya akan berpuasa kerana tidak terlalu penat dan letih kerana boleh bergilir-gilir dengan pemandu yang lain. Suatu hari setelah pulang daripada musafir dan tiba di rumah pada waktu tengah hari, ketika itu saya masih berpuasa. Bolehkah saya berbuka di rumah setelah tiba daripada musafir.

Ringkasan Jawapan

Mereka yang bermusafir tidak dibenarkan berbuka puasa dengan tujuan mengambil rukhsah berbuka setelah tiba di destinasi pemukiman, kerana rukhsah tersebut gugur sebaik sahaja mereka sampai ke destinasi itu.

Huraian Jawapan

Berbuka puasa merupakan salah satu rukhsah dan keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain

(Surah al-Baqarah, 184)

Dalam hal ini, keutamaan dan yang lebih afdal bagi mereka yang bermusafir adalah tidak mengambil rukhsah berbuka puasa, kecuali jika berpuasa mendatangkan kemudaratan, maka berbuka adalah lebih afdal. Syeikh Ibrahim Bajuri menyatakan:

(وَالْمُسَافِرُ) لكن الصوم أفضل له إن لم يتضرر به لما فيه من تعجيل براءة الذمة وعدم‎ ‎إخلاء الوقت عن العبادة، أما إذا تضرر به فالفطر أفضل

Maksudnya: “Orang yang bermusafir berpuasa adalah lebih afdal sekiranya ia tidak mendatangkan kemudaratan, kerana terdapat padanya keutamaan menyegerakan pembebasan diri daripada tanggungan (barā’atu al-zimmah) dan tidak membiarkan waktu berlalu tanpa diisi dengan ibadah. Namun sekiranya (berpuasa) boleh memudaratkan diri, maka berbuka puasa lebih afdal.[1]

Bagi mereka yang bermusafir dan setelah tiba di destinasi pemukimannya dalam keadaan berpuasa maka tidak boleh berbuka untuk mengambil rukhsah musafir. Hal ini kerana rukhsah dan keringanan tersebut telah gugur setelah tiba di tempat pemukimannya. Berikut kenyataan imam al-Nawawi:

إذا قدم المسافر وهو صائم هل له الفطر فيه وجهان مشهوران ذكرهما المصنف بدليلهما (أحدهما) نعم وبه قال ابن أبي هريرة ونقله الماوردي عن نصه في حرملة (وأصحهما) عند القاضي أبي الطيب وجمهور الأصحاب لا يجوز وهو قول ابى اسحق وهكذا الحكم لو نوى المسافر الإقامة في بلد بحيث تنقطع رخصه

Maksudnya: “Apabila seorang musafir tiba di suatu tempat dan dia dalam keadaan berpuasa, adakah dia diberikan keringanan untuk berbuka? Dalam hal ini terdapat dua pandangan yang masyhur. Pengarang menyatakannya berserta dalil, (Pandangan yang pertama) dibenarkannya sebagaimana pandangan Ibn Abu Hurairah dan dinukilkan oleh al-Mawardi dengan nas yang diriwayatkan oleh Harmalah. Pandangan yang lebih sahih (muktamad) di sisi Qadi Abu Tayyib dan Jumhur ulama al-Syafi’i bahawa tidak dibenarkan, dan ini merupakan pandangan Abu Ishaq. Begitu juga hukum sekiranya seseorang yang bermusafir berniat untuk bermukim di sesuatu tempat, maka gugur rukhsah yang diberikan”.[2]

Oleh itu,Mereka yang bermusafir tidak dibenarkan berpuasa dengan tujuan mengambil rukhsah berbuka puasa setelah tiba di destinasi pemukiman, kerana rukhsah tersebut gugur sebaik sahaja mereka sampai ke destinasi itu.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri ala Fath al-Qarib al-Mujib. (Indonesia: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 1428H) Jld. 1 Hlm. 578

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 6 Hlm. 262