
SOALAN
Assalamualaikum. Adakah wanita yang menyusukan anak yang sudah menerima makanan lain selain susu ibu dibenarkan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan? Mohon pencerahan.
RINGKASAN JAWAPAN
Wanita yang menyusukan anak dibolehkan mengambil rukhsah berbuka puasa walaupun anaknya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu. Rukhsah ini terikat kepada keadaan jika penyusuan boleh mendatangkan mudarat yang jelas dan diiktiraf syarak kepada diri atau anak yang disusukan. Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pada asasnya, hukum berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib ke atas setiap muslim yang memenuhi syarat wajib puasa termasuk wanita yang menyusukan anak. Namun, syarak memberikan keringanan (rukhsah) kepada wanita hamil dan menyusukan anak sekiranya terdapat kebimbangan yang munasabah terhadap diri atau anak yang disusukan. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan puasa dan separuh solat bagi orang yang musafir serta meringankan puasa bagi wanita yang hamil atau menyusukan anak.”
Riwayat al-Tirmizi
Walau bagaimanapun, wanita yang diberikan keringanan untuk berbuka puasa perlu menggantikan puasa dan membayar fidyah sekali atau mengganti puasa sahaja bergantung kepada situasi yang menyebabkan dia perlu berbuka puasa. Menurut Qadhi Abu Syuja’:
والحامل والمرضع: إن خافتا على أنفسهما أفطرتا وعليهما القضاء وإن خافتا على أولادهما أفطرتا وعليهما القضاء والكفارة، عن كل يوم مد[1]
Maksudnya: “Bagi wanita yang hamil dan menyusukan anak, sekiranya mereka bimbang terhadap diri sendiri, mereka dibenarkan berbuka puasa dan diwajibkan menggantikan puasa tersebut. Namun, sekiranya mereka bimbang terhadap keselamatan anak yang disusukan, mereka dibenarkan berbuka puasa dan diwajibkan mengganti puasa serta membayar kaffarah (fidyah) sebanyak satu cupak bagi setiap hari.”
Justeru, jika wanita hamil atau menyusukan anak bimbang terhadap keselamatan atau kesihatan dirinya, mereka dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa sahaja. Begitu juga, sekiranya kebimbangan itu melibatkan diri sendiri serta anak mereka, mereka tetap dibolehkan berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa sahaja. Namun, jika kebimbangan hanya berkaitan anak yang disusukan, maka mereka dibolehkan berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa serta membayar fidyah bagi setiap hari yang tidak berpuasa.
Dalam keadaan wanita yang menyusukan anak yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sebagai sumber makanan, dia tetap diberikan rukhsah untuk berbuka puasa sekiranya wujud kebimbangan terhadap keadaan diri sendiri atau anak yang disusukannya.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami seperti berikut:
(أَوْ) خَافَتَا (عَلَى الْوَلَدِ) وَحْدَهُ أَنْ تُجْهَضَ أَوْ يَقِلَّ اللَّبَنُ فَيَتَضَرَّرَ بِمُبِيحِ تَيَمُّمٍ وَلَوْ مَنْ تَبَرَّعَتْ بِإِرْضَاعِهِ أَوْ اُسْتُؤْجِرَتْ لَهُ وَإِنْ لَمْ تَتَعَيَّنْ بِأَنْ تَعَدَّدَتْ الْمَرَاضِعُ
Maksudnya: “Sekiranya mereka berbuka puasa kerana bimbang terhadap anak sahaja, seperti dikhuatiri berlaku keguguran atau susu menjadi berkurangan sehingga anak mengalami mudarat yang sebagaimana mudarat yang membolehkan tayammum (menggantikan wuduk). Hukum ini terpakai sama ada wanita tersebut menyusukan anak secara sukarela atau diupah untuk menyusukan anak itu, walaupun penyusuan tersebut tidak terhad kepadanya sahaja kerana terdapat beberapa orang wanita lain yang boleh menyusukan anak tersebut.”[2]
Namun begitu, berdasarkan penggunaan istilah مُبِيحُ تَيَمُّمٍ sebagai contoh keadaan ini terikat sekiranya penyusuan tersebut akan memberi mudarat yang jelas kepada diri atau anak yang disusukan apabila wanita tersebut berpuasa. Istilah ini bermaksud keadaan mudarat atau kesukaran yang membolehkan seseorang bertayammum, iaitu tahap kesukaran yang setara dengan sakit atau bahaya sehingga penggunaan air boleh mendatangkan kemudaratan yang diiktiraf syarak. Maka dalam konteks ini, meneruskan puasa mestilah berada pada tahap mudarat yang munasabah dan diiktiraf syarak untuk mengharuskan rukhsah berbuka puasa seperti pandangan daripada seorang doktor muslim yang adil.[3]
Begitu juga, diterangkan dalam kitab al-Majmu’ seperti berikut:
وَلَوْ كَانَ هُنَاكَ نِسْوَةٌ مَرَاضِعُ فَأَرَادَتْ واحدة ان تأخذ سبيا تُرْضِعُهُ تَقَرُّبًا إلَى اللَّهِ تَعَالَى جَازَ لَهَا الْفِطْرُ لِلْخَوْفِ عَلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ مُتَعَيَّنًا عليها[4]
Maksudnya: “Sekiranya terdapat beberapa wanita penyusu, lalu salah seorang daripada mereka ingin mengambil seorang bayi tawanan untuk disusukannya sebagai pendekatan diri kepada Allah Ta‘ala, maka dibolehkan baginya berbuka puasa kerana takut mudarat ke atas bayi tersebut, walaupun penyusuan itu tidak diwajibkan ke atasnya secara khusus.”
Ini menunjukkan keharusan berbuka puasa tidak bergantung kepada kewajipan khusus, iaitu walaupun wanita itu bukan satu-satunya penyusu dan terdapat wanita lain yang boleh menyusukan. Demikian juga keadaan apabila anak tersebut bukan lagi hanya bergantung kepada susu ibunya sahaja sebagai sumber makanan.
Kesimpulan
Daripada penjelasan ini, dapat difahami bahawa ibu yang menyusukan anak dibenarkan mengambil rukhsah berbuka puasa apabila penyusuan berpotensi memudaratkannya tanpa mengira sama ada anak tersebut masih bergantung sepenuhnya kepada susu ibu atau tidak. Bahkan, dalam keadaan tertentu berbuka puasa boleh menjadi satu kewajipan bagi wanita yang menyusukan anak sekiranya terdapat kebimbangan yang serius dan berasas sama ada berdasarkan pengalaman sendiri, nasihat perubatan atau tanda-tanda yang jelas bahawa puasa boleh menjejaskan kesihatan dirinya atau kualiti penyusuan sehingga membawa mudarat kepada anak.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Abi Syuja’, Ahmad bin al-Husain. Al-Ghayah wa al-Taqrib. (T.tp: Alam al-Kutub, T.t.). Hlm 19.
[2] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983). Jld 3 hlm 441.
[3] Ibid.
(قَوْلُهُ أَنْ يَحْصُلَ لَهُمَا مِنْ الصَّوْمِ إلَخْ) وَيَنْبَغِي فِي اعْتِمَادِ الْخَوْفِ الْمَذْكُورِ أَنَّهُ لَا بُدَّ مِنْ إخْبَارِ طَبِيبٍ مُسْلِمٍ عَدْلٍ وَلَوْ رِوَايَةً أُخِذَ مِمَّا قِيلَ فِي التَّيَمُّمِ
[4] Al-Nawawi, Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1347H). Jld 6 hlm 268.