
Soalan
Assalamualaikum Tuan, Apakah hukum menggunakan ubat titis telinga ketika sedang berpuasa. Saya ada masalah gegendang telinga koyak melebihi 80% dan alami masalah telinga bernanah. Jika saya tidak titiskan ubat titis pada telinga akan menyebabkan jangkitan kuman. Jadual titis ubat berkala yang disarankan doktor adalah pada siang hari. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Memasukkan sesuatu ke bahagian dalam telinga boleh membatalkan puasa apabila melepasi had tulang tengkorak kepala iaitu melepasi lubang telinga. Namun, perbuatan menitiskan ubat titis telinga bagi pesakit hendaklah dilihat pada dua keadaan:
- Sekiranya pesakit mengalami sakit yang sederhana dan mampu menahannya maka perbuatan menitiskan ubat telinga membatalkan puasanya. Disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor dan mengambil ubat titis di telinga pada masa selain di siang Ramadan.
- Sekiranya pesakit tidak mampu menahan sakit melainkan hanya dengan meletakkan ubat pada telinga sahaja boleh menghilang kesakitan yang ditanggung, maka pengambilan ubat titis secara berkala pada siang Ramadan tidak membatalkan puasa atas dasar darurat untuk mengelakkan risiko yang lagi besar.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Salah satu perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu (ain) ke dalam jauf secara sengaja melalui saluran terbuka. Ain bermaksud suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Manakala, jauf ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga ke perut dan usus-usus. Saluran terbuka bermaksud mulut ,telinga, kemaluan hadapan dan belakang samada bagi lelaki dan perempuan [1]
Dalam menjawab persoalan ini, hukum menitiskan ubat ke dalam telinga ketika berpuasa adalah perkara yang diperselisihkan dalam kalangan ulama. Perbezaan pandangan ini berpunca daripada penentuan sama ada telinga mempunyai ruang atau laluan terbuka yang akan sampai ke bahagian otak atau kerongkong iaitu ke yang boleh menyebabkan batal terbatal atau tidak.
Pandangan Pertama : Penggunaan Ubat Titis Membatalkan Puasa.
Majoriti fuqaha mazhab Maliki[2], Hanafi[3] Hanbali[4] dan mazhab syafi’i berpandangan bahawa penggunaan ubat titis telinga membatalkan puasa[5] dan seseorang yang menggunakan ubat titis telinga hendaklah mengantikan puasa. Hal ini berdasarkan kepada hujah bahawa telinga merupakan salah satu daripada saluran yang terbuka. Sesuatu yang dimasukkan ke dalam saluran dalam telinga dan boleh meresap sampai ke otak laluan ini juga disebut rongga (jauf).[6]
Dalam hal ini, fuqaha mazhab al-Syafi’i menjelaskan jika seseorang menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam (batin) melalui saluran terbuka telinga, maka ia membatalkan puasa menurut pandangan muktamad. Imam Nawawi[7] menyatakan bahawa:
التقطير في باطن الأذن وإلا حليل مفطر في الأصح
Maksudnya: Menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam (batin) telinga membatalkan puasa menurut pendapat yang paling sahih
Manakala, had batin bagi telinga ini dikenalpasti sebagai kawasan yang melepasi had tulang tengkorak kepala iaitu melepasi lubang telinga.Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan lagi tentang had batin bagi telinga :
(والتقطير في باطن الأذن والإحليل مفطر في الأصح) وإن لم يصل إلى الدماغ بل جاوز القحف
Maksudnya : “Dan menitiskan sesuatu ke dalam bahagian telinga dan saluran qubul membatalkan puasa menurut pendapat muktamad sekalipun titisan dalam telinga itu tidak sampai ke otak, bahkan ia telah melebihi had tengkorak kepala”. [8]
Oleh itu, dapat difahami menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam telinga sama ada ia tidak sampai atau sampai ke bahagian otak tersebut membatalkan puasa. Hal ini kerana perbuatan menitiskan ubat telinga itu telah melebihi had tengkorak kepala (had batin) iaitu melepasi lubang telinga.
Pandangan kedua : Penggunaan Ubat Titis Tidak Membatalkan Puasa.
Pandangan ini dipegang oleh sebahagian ulama antara mazhab Hanafi[9] dan juga pandangan kedua dalam mazhab Syafie yang merupakan pandangan Abu Ali al-Sinji, al-Qadhi Husain dan al-Furani, serta pendapat ini juga telah disahihkan oleh Imam al-Ghazali.[10] Pandangan ini juga merupakan pandangan ulama kontemporari seperti Muhammad Haitham al-Khayyat[11] Syeikh Ibn Uthaimin[12], Syeikh Ibn Baz[13] dan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Khalil[14] dan sebagainya
Hal ini berdasarkan hujah, telinga bukan rongga yang sampai terus ke otak atau kerongkong melainkan ia diserap dan sampai melalui liang roma sama seperti bercelak dan perbuatan menyapu minyak pada perut[15] oleh kerana ini penggunaan ubat titis ini tidak membatalkan puasa seseorang,
Selain itu, Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) menjelaskan terdapat perbezaan pandangan dalam hukum menggunakan ubat titis telinga ketika berpuasa. Pandangan yang terpilih sebagai fatwa adalah menitiskan ubat telinga tidak membatalkan puasa selagi keadaan gegendang telinga masih ada (tidak pecah atau tidak berlubang) dapat menghalang kandungan daripada titisan ubat telinga sampai ke kerongkong secara langsung, dan puasanya ketika itu sah. Namun, sekiranya doktor mengesahkan bahawa keadaan gegendang telinganya berlubang yang membolehkan apa-apa kandungan ubat telinga sampai terus ke kerongkong, maka puasanya batal. [16]
Tambahan pula, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (Majma’ Fiqh Islami Dauli) yang bersidang di Jeddah pada tahun 1997 ini juga memutuskan bahawa ubat titis telinga atau cuci telinga adalah perkara yang tidak membatalkan puasa. [17]
Hal ini juga selari dengan garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang telah dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2009:
Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga)[18]
Berdasarkan kepada dua pandangan di atas, dapat difahami para ulama berbeza pandangan dalam menetapkan telinga sama ada ia saluran terbuka atau tidak yang boleh membatalkan puasa seseorang. Namun, dalam keadaan gegendang telinga bermasalah seperti terdapat lubang atau terkoyak pada bahagian gegendang maka sebahagian para ulama bersepakat ubat titis tersebut boleh membatalkan puasa seseorang. Perkara ini memerlukan kepada pemeriksaan rapi oleh doktor untuk kepastian.
Pengecualian bagi kes darurat di sisi mazhab Syafi’
Berdasarkan pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, menitiskan ubat ke dalam saluran terbuka melalui lubang telinga yang boleh sampai ke rongga otak atau kerongkong membatalkan puasa. Namun, terdapat pengecualian bagi kes darurat seperti pesakit yakin bahawa hanya dengan meletakkan ubat ke dalam telinga boleh menyembuhkan dan menghilang kesakitan yang ditanggung disamping saranan doktor, maka puasanya sah kerana darurat untuk mendapatkan ubat :
(فَائِدَةٌ) اُبْتُلِيَ بِوَجَعٍ فِيْ أُذُنِهِ لاَ يُحْتَمَلُ مَعَهُ السُّكُوْنُ إِلاَّ بِوَضْعِ دَوَاءٍ يُسْتَعْمَلُ فِيْ دُهْنٍ أَوْ قُطْنٍ وَتَحَقَّقَ التَّخْفِيْفُ أَوْ زَوَالُ اْلأَلَمِ بِهِ بِأَنْ عَرَفَ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ أَخْبَرَهُ طَبِيْبٌ جَازَ ذَلِكَ وَصَحَّ صَوْمُهُ لِلضَّرُوْرَةِ ـ
Maksudnya: Dia diuji dengan rasa sakit dalam telinganya, rasa sakit yang tidak dapat mampu ditanggung melainkan dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit atau kapas, dan terbukti bahawa ubat tersebut dapat mengurangkan atau menghilangkan kesakitan, sama ada dia mengetahui sendiri atau diberitahu oleh doktor, maka hal itu dibenarkan dan puasanya sah kerana keperluan (darurat).” [19]
Merujuk kepada soalan yang diajukan bahawa pesakit menghadapi masalah telinga bernanah akibat gegendang telinga koyak melebihi 80%. Keadaan gegendang telinganya yang berlubang membolehkan apa-apa bahan atau titisan ubat sampai terus ke kerongkong yang boleh menyebabkan puasanya terbatal. Sekiranya pesakit masih boleh bertahan, maka dia perlu menunggu waktu malam untuk menitiskan ubat. Sebaliknya, sekiranya pesakit tidak mampu lagi menanggung penderitaan dan dikhuatiri jangkitan kuman, maka titisan ubat telinga secara berkala pada siang Ramadan tidak membatalkan puasa atas dasar darurat untuk mengelakkan risiko yang lagi besar.
Kesimpulan
Memasukkan sesuatu ke bahagian dalam telinga boleh membatalkan puasa apabila melepasi had tulang tengkorak kepala iaitu melepasi lubang telinga. Namun, perbuatan menitiskan ubat titis telinga bagi pesakit hendaklah dilihat pada dua keadaan:
(i)Sekiranya pesakit mengalami sakit yang tidak terlalu teruk dan mampu menahannya maka perbuatan menitiskan ubat telinga membatalkan puasanya. Disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor dan mengambil ubat titis di telinga pada waktu malam Ramadan.
(ii) Sekiranya pesakit tidak mampu menahan sakit melainkan hanya dengan meletakkan ubat pada telinga sahaja boleh menghilang kesakitan yang ditanggung, maka pengambilan ubat titis secara berkala pada siang Ramadan tidak membatalkan puasa atas dasar darurat untuk mengelakkan risiko yang lagi besar.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 451.
وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح: والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى.
[2] Mansur Bin Yunus al-Bahuti al-Hanbali, Kisyaf al-Qina’ ‘an Matn wa al-Iqna’ (Wizarah al-‘adl fi al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Saudiyyah: Arab Saudi, 2008), Jil. 5, hal. 251.
أو قَطَر في أذنه ما يَصِلُ إلى دِماغه) لأن الدِّماغ أحد الجَوفين، فالواصل إليه يُغذِّيه، فأفسدَ الصَّومَ كالآخر
[3] Hasan Bin ‘Amār Bin ‘Alī al-Sharanbalālī al-Hanafī, Marāqī al-Falāḥ Sharḥ Matn Nūr al-Iḍāh, (Kaherah: Maktabah al-Miṣriyyah, 2005), hlm. 252.
قوله أو أقطر في أذنه ماء في الأصح الحاصل أنه لا خلاف في إفطاره بإقطار الدهن وأما الماء فاختار في الهداية وشروحها والولوالجي عدم الإفطار مطلقا دخل بنفسه أو أدخله
[4] Mansur Bin Yunus Al-Buhuti al-Hanbali, KishAf al-Qina’ ‘an al-Iqna’, (Wizaratu al-‘Adl Fi Al-Mamlakatu al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah,2008), Jil. 5, hlm. 251
قَطَر في أذنه ما يَصِلُ إلى دِماغه لأن الدِّماغ أحد الجَوفين، فالواصل إليه يُغذِّيه، فأفسدَ الصَّومَ كالآخر
[5] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928), Jil. 6, hlm. 314
[6] Abu Bakr Uthman Bin Muhammad Syaṭā al-Dimyāti, I’ānah al-Ṭalibin ‘ala Hil alfaz Fath al-Mu’in (Ḍār al-Fikr: Beirut, 1997), Jil. 2, Hal. 258
(قوله: كباطن أذن) تمثيل للجوف قال ع ش: قال في شرح البهجة: لأنه نافذ إلى داخل قحف الرأس، وهو جوف.
[7] al-Nawawi. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fī al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 2005), hlm. 75.
[8] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, Tahkik: Lajnah ‘Ilmiyyah (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 3/297.
قال: (والتقطير في باطن الأذن والإحليل مفطر في الأصح) وإن لم يصل إلى الدماغ بل جاوز القحف،
[9] Ali bin Abi Bakr Bin Abd al-Jalil al-Farghinani al-Marghīnanī, Al-Hidāyah fi Sharh Bidayah al-Mubtadi, (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan,t.t), Jil. 1, hal. 123.
ولو أقطر في أذنيه الماء أو دخلهما لا يفسد صومه " لانعدام المعنى والصورة
[10] al-Nawawi, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, Jil. 6, hlm. 314-315
(والثانى)
لا يفطر قاله أَبُو عَلِيٍّ السِّنْجِيِّ بِالسِّينِ الْمُهْمَلَةِ الْمَكْسُورَةِ وَبِالْجِيمِ وَالْقَاضِي حُسَيْنٌ وَالْفُورَانِيُّ وَصَحَّحَهُ الْغَزَالِيُّ كلا كتحال وَادَّعَوْا أَنَّهُ لَا مَنْفَذَ مِنْ الْأُذُنِ إلَى الدِّمَاغِ وَإِنَّمَا يَصِلُهُ بِالْمَسَامِّ كَالْكُحْلِ وَكَمَا لَوْ دَهَنَ بَطْنَهُ فَإِنَّ الْمَسَامَّ تَتَشَرَّبُهُ وَلَا يُفْطِرُ بِخِلَافِ الْأَنْفِ فَإِنَّ السُّعُوطَ يَصِلُ مِنْهُ إلَى الدِّمَاغِ فِي مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ وَنَقَلَ صَاحِبُ الْبَيَانِ عَنْ أَبِي عَلِيٍّ
[11] Muhammad Haitham al-Khayyat, Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, al-Muftirat fi Dhau’ al-Tibb al-Hadis, jld. 10, hlm. 775.
فلا مسوغ طبيا لمن يقول بتفطير ما يدخل الشرج من حقنة شرجية أو تحاميل (لبوس أو شياف) أو منظار أو إصبع طبيب فاحص أو ما يدخل المهبل من فرازج أو بيوض دوائية مهبلية، أو منظار مهبلي أو إصبع طبيبة أو قابلة فاحصة، أو ما يدخل الإحليل - إحليل الذكر أو الأنثى - من قثطرة أو منظار أو مادة ظليلة على الأشعة، أو دواء أو محلول لغسل المثانة، أو ما يدخل الأذن من قطرة أوغسول … فكل أولئك لا يبلغ جوف المعدة بيقين
[12] Muhammad Bin Salih Bin Muhammad al-‘Uthaimin, Fatawa arkan al-Islam (Riyadh: Dar al-Thurayya, 2002), hlm. 480
القطرة في الأذن فإنها لا تفطر الصائم؛ لأنها ليست منصوصاً عليها، ولا هي بمعنى المنصوص عليه، والعين ليست منفذاً للأكل والشرب وكذلك الأذن فهي كغيرها من مسام الجلد
[13] ‘Abd al-Aziz Bin ‘Abdullah Bin Abdul Rahman Bin Baz, Majmuk al-Fatawa wa Maqalat mutanawwi’ah, (Riasah Idarah al-Buhuth al-‘ilmiyyah wa al-Ifta Mamlakah al-‘Arabiah al-Sa’udiyyah: Saudi, t.t ), Jil. 15, 261.
وهكذا قطرة العين والأذن لا يفطر بهما الصائم في أصح قولي العلماء. فإن وجد طعم القطور في حلقه، فالقضاء أحوط ولا يجب؛ لأنهما ليسا منفذين للطعام والشراب
[14] Ahmad Bin Muhammad Khalil, Muftirat al-Siyam al-Muasirah, (t.p:Saudi, t.t), 29-30
وقد بين الطب الحديث أنه ليس بين الأذن وبين الجوف ولا الدماغ قناة ينفذ منها المائع إلا في حالة وجود خرق في طبلة الأذن
[15] al-Nawawi, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, Jil. 6, hlm. 314-315
[16]Dar Ifta’al-Misriyyah, Hukum menggunakan ubat titis telinga, sila rujuk pautan: https://rb.gy/fmoyhz
حكم استخدام قطرة الأذن للصائم
الجواب: استعمال قطرة الأُذُن أثناء الصيام من المسائل المختلف فيها، والمختار للفتوى أنها لا تفطر ما دامت طبلةُ الأذن سليمةً تمنع وصول مكوناتها إلى الحلق مباشرةً، والصوم حينئذٍ صحيحٌ؛ سواء ظَهَرَ أثرُ النقط في الحلق أو لم يَظْهَر، فإن قرر الطبيب أن فيها ثقبًا بحيث يَسمَحُ بوصول تلك المكونات إلى الحلق مباشرةً فإنها حينئذٍ تُفطر.
[17]Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali, Perkara-perkara yang Membatalkan puasa, sila rujuk pautan: https://iifa-aifi.org/ar/2009.html#_ftn1
أولًا: الأمور الآتية لا تعتبر من المفطرات:
1- قطرة العين، أو قطرة الأذن، أو غسول الأذن، أو قطرة الأنف، أو بخاخ الأنف، إذا اجتنب ابتلاع ما نفذ إلى الحلق.
[18] JAKIM, Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, (OMR Press Sdn Bhd: Subang Jaya, 2009), hlm. 6
[19] Abdul Rahman al-Ba’lawi, Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa Ba’d al-A’immah min Ulama al-Mutakhirin, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2016), 139.
waktu malam Ramadan