Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-53: HUKUM PENYUSUAN ANAK ANGKAT OLEH GADIS

 

 

 

 

IRSYAD PENYUSAN 53

SOALAN:

Apakah hukum penyusuan anak angkat oleh gadis?

 

JAWAPAN:

Setelah kita membincangkan secara terperinci berkaitan faktor-faktor dan kesan-kesan sampingan daripada gejala ini dan disebabkan fenomena ini bertambah popular mutakhir ini, kami akan mengemukakan pendapat berkenaan dengan permasalahan ini berdasarkan kepada nas-nas yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis serta dalil-dalil yang muktabar disamping pandangan ulama terhadapnya.

Oleh kerana masalah ini juga berkait rapat denga perubatan moden, justeru merujuk kepada pakar dalam bidang tersebut amatlah wajar sebelum sesuatu keputusan hukum dikemukankan. Ini selaras dengan kaedah yang bermaksud: “Menghukum atas sesuatu berdasarkan jelas gambaran masalah tersebut”.

Mengikut persidangan Antarabangsa Perubatan islam kali pertama bertempat di Kuwait pada 1401H yang mengesahkan dokumen ini, dikenali sebagai “Kod Islam bagi Etika Perubatan” (Islamic Code of Medical Ethica) antara lain menyatakan bahawa doktor mempunyai hak dan tugas yang perlu diselesaikan dalam merumuskan dan mengeluarkan fatwa (verdict) agama yang berkesan di atas tindakan yang menyalahi undang-undang atau di atas penghasilan baru yang ditemui hasil daripada kemajuan sains bio perubatan hari ini untuk masa hadapan.

Fatwa ini hendaklah dicapai dengan kedua-dua golongan yang pakar dalam bidang keagamaan dan satu lagi golongan yang pakar dalam bidang sains bio perubatan bersatu hati dalam mengeluarkan fatwa tersebut. Di dalam Islam dinyatakan denga rasminya “Apa juga kebajikan yang ditemui, maka di situ wujudlah peraturan tuhan”.

Berdasarkan kepada kaedah di atas, maka permasalahan ini akan dibincangkan daripada dua sudut yang utama, sudut syariah dan sudut perubatan. Kami akan menjelaskan permasalah ini dari sudut perubatan dahulu kemudian disusuli dengan perbincangan dari sudut syarak.

Pengambilan anak angkat kerap dilakukan oleh pasangan suami isteri yang tidak mampu memiliki zuriat dan juga wanita-wanita bujang yang masih belum berkahwin. Beberapa usaha dilakukan oleh sebahagian pasangan dalam menitikberatkan perihal batas pergaulan syara’ antara ibu bapa angkat dan anak angkat, iaitu dengan menyusukan anak angkat tersebut. Penyusuan tersebut perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’ untuk menjadikan ibu bapa sebagai mahram kepada anak angkat tersebut.

Penyusuan Anak Mengikut Perubatan (Penghasilan Susu)

Dalam pengeluaran susu ibu, terdapat dua proses iaitu proses penghasilan dan proses pengaliran.

  • Proses Penghasilan

Apabila bayi menyusu, saraf di puting akan dirangsangkan dan isyarat akan dihantar ke otak untuk penghasilan dan pengaliran susu ibu. Dua hormon yang memainkan peranan penting dalam proses penghasilan dan pengeluaran susu ibu iaitu hormon prolaktin dan hormon oksitosin.

Hormon prolaktin akan dirembeskan ke dalam aliran darah dari bahagian hadapan kelenjar pituitari. Hormon prolaktin akan menyebabkan sel alveoli mengembang dan menghasilkan susu. Semakin kerap bayi menyusu, semakin banyak hormon dirembeskan dan lebih banyak susu terhasil.

  • Proses Pengaliran

Setelah susu dihasilkan, proses pengaliran bermula. hormon oksitosin dirembeskan ke dalam aliran darah dari bahagian belakang kelenjar pituitari. Hormon oksitosin menyebabkan sel-sel otot di sekeliling alveoli mengecut dan membolehkan susus mengalir melalui salur susu dan dihisap keluar oleh bayi. [Rujuk: Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/proses-pengeluaran-susu-ibu/ ]

Sebarang penggunaan ubat atau suntikan hormon untuk merangsang pengeluaran susu badan perlulah terlebih dahulu mendapat nasihat daripada doktor perubatan.

Penyusuan Anak Mengikut Syarak

Definisi Penyusuan

Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui. [Rujuk: Kamus Dewan hal. 1553]

Penyusuan dikenali dengan ridha’ atau radha’ dan dimaksudkan dengan radh’an, ridha’an, dan radha’an iaitu menghisap susu, ardha’ah dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.

Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga. [Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 22/238]

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 233)

Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” [Lihat: Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 3/160]

  • Firman Allah SWT

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani idahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya, kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya, dan berundinglah di antara (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq: 6)

Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” [Lihat Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 18/168]

Daripada ayat ini menunjukkan kewajaran ibu untuk menyusukan anaknya, kecuali ulama’ khilaf dari segi siapa yang sepatutnya ditaklifkan sama ada bapa atau ibu.

Rukun-Rukun Penyusuan

Bagi menyebabkan anak susuan dan ibu susuan mengambil hukum mahram terdapat tiga rukun:

  1. Penyusu
  2. Anak yang menyusu
  3. Susu

Maka, berdasarkan soalan, kami fokuskan perbahasan ini kepada syarat ke atas penyusu. Penyusu mestilah seorang manusia, sama ada dia sudah berkahwin atau belum, janda atau dara, muslim atau kafir, berakal waras ataupun gila.

Dan syarat bagi seorang penyusu ialah:

  • Seorang wanita – Justeru susu haiwan tidak menharamkan kanak-kanak tersebut contohnya dua kanak-kanak yang diberi susu daripada lembu yang sama tidaklah dianggap saudara susu kerana kaedah “Pengharaman saudara adalah cabang daripada pengharaman ibu. Sekiranya tidak tersabit pengharaman ibu dengan penyusuan maka begitu juga tidak tersabit persaudaraan”. Selain itu, susu seorang lelaki – sekiranya ada – juga tidak termasuk dalam susu yang mengharamkan.
  • Berkebolehan untuk melahirkan anak (baligh) – Mazhab Hanafiyah dan Shafi’eyah berpendapat seorang penyusu hendaklah mencapai umur baligh (iaitu berumur sembilan tahun). Sekiranya susu keluar pada umur kurang sembilan tahun, susuan tersebut tidak dikira, kecuali pada ketika itu penyusu tersebut sudah didatangi haid. Namun, sekiranya wanita tersebut mempunyai susu dan menyusukan anak ketika berumur sembilan tahun tetapi belum didatangi haid, anak susuannya merupakan mahram kepadanya.

Mazhab Maliki pula tidak mensyaratkan penyusu seorang yang baligh, dan sah (hukum pengharaman antara penyusu dan anak susuan) sekiranya penyusu masih lagi kecil. [Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 10/7283]

Susu dari Penyusu yang Sudah Meninggal Dunia

Mazhab Syafi’eyah berpendapat bahawa tidak berlaku pengharaman antara penyusu dan anak yang disusu apabila anak tersebut disusukan atau diambil susunya selepas wanita tersebut meninggal dunia. Oleh itu, sekiranya seorang perempuan yang menyusukan seorang anak kemudian meninggal dunia dalam keadaan masih tidak cukup bilangan susu (lima kali susu yang berasingan), tidak dianggap anak itu sebagai mahram kepadanya. Namun, sekiranya susu diambil semasa hidup penyusu dan diberikan kepada anak susuan ketika penyusu telah meninggal dunia, maka berlaku pengharaman (mahram) antara ibu susuan dan anak tersebut. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie 4/321]

Kesan kepada Penyusuan

Oleh itu, apabila seorang wanita menyusukan seorang anak bertepatan dengan segala rukun dan syarat yang ditetapkan, maka dari penyusuan tersebut memberi beberapa kesan dalam hukum nasab seperti berikut:

  • Anak tersebut haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri.
  • Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kerana keturunan, halal juga dilakukan kepada keluarga kerana susuan seperti melihat perkara yang diharamkan kepada ajnabi, tinggal bersama dan bermusafir dengannya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Apa yang diharamkan disebabkan keturunan turut diharamkan
disebabkan penyusuan”

(Sahih al-Bukhari no. 2645)

Namun begitu, hukum-hukum nasab selain pengharaman nikah dan hukum mahram seperti pewarisan harta, kewajipan nafkah, wali dan sebagainya tidak memberi kesan dengan sebab penyusuan. [Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 22/241]

Pemilik Susu (لبن الفحل)

Sekiranya susu yang terhasil disebabkan oleh suami, maka suami yang merupakan pemilik susu tersebut menjadi mahram kepada anak yang disusukan oleh isterinya. Sebagai contoh, jika anak susuan tersebut perempuan, maka haram bagi suami untuk menikahi anak susuan tersebut. Haram juga dinikahi oleh ayah, saudara lelaki, anak lelaki kepada pemilik susu tersebut kerana mereka merupakan datuk, pakcik dan abang kepada anak susuan tersebut.

Jika keadaan yang mana seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang menyusukan anak angkatnya sama ada sebelum atau selepas berkahwin dengannya, maka anak-anak susuan isteri yang perempuan menjadi mahram kepada lelaki tersebut kerana mereka merupakan antara golongan perempuan yang haram dikahwini disebabkan susuan dan perkahwinan (musoharah). [[Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie 4/329 dan 4/35]. Hal ini berdasarkan kaedah:

العقد على البنات يحرم الأمهات والدخول بالأمهات يحرم البنات

Maksudnya: “Akad (nikah) dengan anak-anak perempuan mengharamkan ibu-ibu. Dan bersetubuh dengan ibu-ibu mengharamkan anak-anak perempuan.”

Anak-anak perempuan tersebut dimaksudkan anak-anak perempuan kandung atau susuan.

Kesimpulan

Secara asasnya, harus bagi seorang wanita yang mempunyai susu sama ada disebabkan oleh kehamilannya atau dengan pengambilan bantuan perubatan seperti terapi hormon penggalak susu, untuk menyusu seorang anak yang bukan anaknya sendiri. Perkara ini tidak terikat dengan keadaan penyusu yang sudah berkahwin atau belum, gadis atau tidak, muslim atau kafir, berakal waras ataupun gila.

Pengambilan suntikan hormon atau ubat untuk menggalakkan susu adalah harus sekiranya wanita tersebut telah mencapai umur baligh dan proses tersebut dilakukan dengan pemantauan pakar perubatan.

Akhir kalam, semoga Allah SWT faqihkan kita dalam agama ini. Wallahua’lam.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

11 Syawal 1436H