Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-170 : PERSOALAN BERKENAAN UBER DAN UBEREATS

Soalan: 

Apakah hukum menjadi pemandu Uber yang membawa penumpang ke tempat maksiat? Selain itu, terdapat pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang membuat perkhidmatan UberEATS. Adakah pendapatan ini dikira sah di sisi syarak?

Apa Itu Uber & Bagaimana Ia Berfungsi?

Uber adalah satu aplikasi yang boleh didapati di platform IOS ataupun Android. Konsep Uber adalah seperti teksi in Malaysia. Uber dan GrabCar berfungsi sebagai perantara dengan “Rider” dan “Driver” , dimana Rider adalah penumpang dan Driver adalah Pemandu untuk pergi ke satu destinasi.

Bagi menggunakan Uber dan GrabCar, seorang penumpang mesti memuatturun aplikasinya di telefon pintar dan mendaftar akaun. Setelah pengguna mendaftar masuk, pengguna boleh terus menaip destinasi yang hendak dituju di ruangan Where to? Setelah mengisi ruangan Pickup Location, destinasi, pengguna akan diberi pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan uberX, uberXL atau BLACK dengan harga yang berbeza berdasarkan jenis kereta. Dengan menekan salah satu ikon uberX, uberXL atau BLACK, pengguna dikira bersetuju untuk mendapatkan khidmat berkenaan dengan harga yang telah dipaparkan. Pembayaran boleh dilakukan melalui cara tunai atau melalui kad kredit.

Pemandu Uber akan menerima permintaan penumpang melalui aplikasi berkenaan dan akan mengambil penumpang di Pickup Location. Destinasi penumpang hanya akan diketahui sejurus selepas pemandu tiba di Pickup Location dan menekan ikon start.

Apakah UberEATS?

Menurut web UBER Help, UberEATS gets you the food you want from the restaurants you love, faster than anyone else. Just open the app, find what you’re craving, and have it delivered right to you.[1]

Maksudnya: “UberEATS mendapatkan makanan yang anda inginkan daripada restoran-restoran yang anda suka, lebih cepat daripada yang lain. Cuma buka aplikasi tersebut, cari apa yang ada idamkan, dan nantikan ia disampaikan terus kepada anda.”

Secara ringkasnya, ia adalah sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna menempah makanan

Penggunaan Uber dan UberEATS Bagi Perkara Yang Diharamkan?

Hukum asal bagi jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran adalah haram sekiranya diketahui dan ada sangkaan yang kuat akan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram. Dilampirkan pandangan beberapa ulama’ mazhab Syafie dalam hal ini:

  1. Menurut al-Khatib al-Syarbini, haram jual beli rutab dan anggur serta selain daripada keduanya seperti tamar dan kismis untuk diperah menjadi arak dan nabiz atau diambil keduanya dalam keadaan dia mengetahui tentangnya atau dia menyangka dengan sangkaan pada kebiasaannya. Begitu juga jual beli hamba yang diketahui akan dilakukan sesuatu yang keji kepadanya (jika dibeli) dan jual beli senjata kepada pemberontak dan perompak serta selainnya. Semua ini termasuk dalam urusan yang termasuk kepada maksiat.[2]
  2. Menurut al-Imam al-Faqih al-Muqaddam Muhammad Bin Ali Ba’alawi, setiap transaksi seperti jual beli, pemberian, sesuatu yang diberikan sebagai nazar, menyedekahkan sesuatu untuk dipergunakan dalam hal yang diperbolehkan, jika dengan sangkaan yang kuat bahawa orang yang menerimanya akan mempergunakan dalam hal yang dibolehkan seperti sutera bagi wanita, anggur untuk dimakan, hamba sahaya sebagai pelayan, pedang untuk digunakan bagi tujuan berperang, ganja untuk perubatan, maka transaksi yang semacam itu adalah halal tanpa hukum makruh. Namun jika sebaliknya, maka hukum transaksinya adalah haram. Jika timbul keraguan tetapi tidak ada bukti ia digunakan untuk tujuan yang diharamkan, maka hukum transaksinya adalah makruh dan tetapi sah jual beli tersebut.[3]
  3. Menurut Imam al-Nawawi, sepakat para ashab al-Syafie akan sah jual beli besi kepada orang yang berperang kerana dia tidak menentukan penggunaannya sebagai senjata. Boleh sahaja dia menggunakannya sebagai alat-alat bagi tujuan pekerjaan seperti lembing.[4]

Berhubung dengan Uber dan UberEATS, secara umumnya kami melihat UBer adalah dalam kategori akad al-ijarah dan UberEATS adalah dalam kategori akad wakalah bi al-ujrah (perwakilan yang dibayar upah) yang mana hukumnya adalah harus berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, kami dapat menyimpulkan dua noktah utama:

  1. Uber

Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa pendapatan daripada Uber adalah sah di sisi syarak jika tidak ada sangkaan yang kuat bahawa penumpang tersebut sememangnya menuju ke destinasi yang diminta untuk berbuat maksiat. Boleh jadi penumpang ke tempat berkenaan atau ke tempat yang berhampiran atas tujuan yang dibenarkan syarak. Dalam masa yang sama, ia juga agak merumitkan bagi pemandu untuk membatalkan permintaan kerana destinasi yang dituju hanya dapat diketahui setelah tiba di Pickup Location. Sekiranya dibatalkan ketika pemandu tiba di Pickup Location, pemandu akan menanggung kerugian dan mungkin dikenakan tindakan penalti oleh pihak Uber.

Jika penumpang pergi ke tempat-tempat yang disebutkan dalam soalan di atas dengan tujuan yang bertentangan dengan syarak tanpa pengetahuan dan sangkaan yang kuat daripada pemandu, pendapatan yang diperoleh tetap halal kerana pemandu sudah terlepas daripada bahagiannya.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: “Seseorang tidak akan menanggung dosa orang yang lain.”

  (Surah al-Zumar: 7)

Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks transaksi melibatkan dengan tujuan yang haram dan tidak diketahui, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang berurusan dengannya.

Seorang lelaki datang kepada Ibn Mas’ud dan bertanya:

إِنَّ لِي جَارًا يَأْكُلُ الرِّبَا، وَإِنَّهُ لَا يَزَالُ يَدْعُونِي، فَقَالَ: مَهْنَؤُهُ لَكَ وَإِثْمُهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Aku ada seorang jiran yang memakan riba. Dia asyik menjemputku menjamu hidangannya. Kata Ibn Mas’ud: ‘Hidangan itu harus untuk kamu, dan dosanya ditanggung oleh dia.”

(Musannaf ‘Abd al-Razzaq, no. 14675, 8/150)

  1. UberEATS

Perkhidmatan ini masih belum ada di Malaysia tetapi sudah berkembang di 63 buah negara di seluruh dunia dan terdapat sebahagian pelajar Malaysia di luar negara yang menggunakan perkhidmatan UberEATS sebagai mencari pendapatan sambilan. Pemandu perlu meneliti makanan/minuman yang dipesan samada ianya halal, haram atau bercampur antara halal dan haram. Sekiranya ia adalah makanan/minuman yang haram, maka haram juga untuk terlibat dalam urusan penghantaran berkenaan.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Janganlah kamu bertolongan dalam urusan dosa dan persengketaan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Sabda Nabi SAW:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sekiranya Allah mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga hasil jual belinya.”

(Riwayat Ibn Hibban, no. 4938) Isnadnya sahih menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaout.

Berdasarkan dalil-dalil di atas, sebarang jenis urusan jual beli yang melibatkan perkara yang diharamkan adalah haram kerana ia termasuk dalam larangan membantu dalam dosa dan persengketaan. Jika dilihat dalam konteks UberEATS, perkhidmatan penghantaran arak misalnya adalah diharamkan kerana arak adalah haram di sisi syarak. Perbuatan untuk terlibat dalam penghantarannya dikira bertolongan dalam urusan dosa. Pendapatan daripadanya juga dikira sebagai haram. Sabda Nabi SAW:

وإن الخمر حرام وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya arak itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya arak itu haram dan hasil jualannya juga haram.”

 Hadis riwayat Ahmad (17995) dalam Musnad. Syuaib al-Arnaut berkata hadis ini sahih li ghairih

Justeru seorang Mukmin hendaklah menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

Adapun jika pesanannya bercampur aduk antara yang halal dan haram, ada 3 kondisi yang perlu diambil perhatian:

  1. Jika diketahui makanan/minuman yang halal melebihi yang haram, kami cenderung untuk menyatakan pendapatan itu halal kerana Nabi SAW juga pernah berjual beli dengan orang musyrik dan ahli kitab dan harta mereka diketahui bercampur halal dan haram.
  2. Jika diketahui makanan/minuman yang haram melebihi yang halal, maka pendapatan yang diperoleh itu menurut Imam Ahmad lebih baik dielakkan kecuali jika ianya sedikit atau sukar untuk diketahui.[5]
  3. Jika makanan/minuman yang halal dan haram tidak dapat dibezakan, pendapatannya tidak haram namun makruh mengambilnya. Imam Ibn Hajar al-Haithami menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menukilkan daripada Syeikh Abi Hamid dan beliau mengesahkannya bahawa makruh mengambil dari orang yang ditangannya ada harta halal dan harta haram seperti pemimpin yang zalim dan berbeza tingkatan makruh sebagaimana kadar syubhah yang banyak. Sekiranya sedikit, tidak diharamkan kecuali jika diyakini bahawa yang diberikan itu adalah harta haram yang diketahui pemiliknya.”[6]

Imam Jalaludin al-Suyuti ketika membincangkan perihal harta yang bercampur baur antara haram dan yang halal, maka menerima harta tersebut adalah tidak haram kerana tidak yakin pemberian itu bersumberkan yang haram. Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan

Beliau memasukkan sebagai faedah, huraian Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni  tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya,

“Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”.[7]

Menurut ulama’ Syafi’iyyah seumpama Imam al-Qalyubi,

“Tidak haram memakannya juga berurusan jual beli, menerima sedekah, hadiah daripada sesiapa yang kebanyakan hartanya haram, kecuali harta yang diketahui haramnya dan tidak tersembunyilah wara’ di sini.[8]

Adapun jalan yang terbaik adalah keluar daripada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Hadis Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)

Beberapa Cadangan dan Garis Panduan Umum

  • Pemandu Uber boleh menelefon penumpang terlebih dahulu sebelum menuju ke Pickup Location bagi mengesahkan destinasi. Sekiranya ia adalah tempat yang dikhuatiri membawa kepada fitnah dan maksiat, tolak permintaan tersebut dengan baik.
  • Memandangkan menu tempahan hanya akan keluar selepas pemandu UberEATS menekan ikon confirm order, jika menu yang dipamerkan adalah makanan/minuman yang jelas haram, pemandu dinasihatkan membatalkan penghantaran seawal mungkin bagi mengelakkan dikenakan penalti.
  • Bagi penumpang Uber wanita, keselamatan diri perlu lebih diutamakan.

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

7 Februari 2018 bersamaan 10 Jamadil Awwal 1438H

 

Rujukan:

[1] https://help.uber.com/h/ae2864a5-a730-464f-b83e-33c9b11f60e0

[2] Mughni al-Muhtaj, 2/392.

[3] Bughyah al-Mustarsyidin, 1/260.

[4] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/354.

[5] Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200.

[6] Nihayat al-Muhtaj, 6/174; Tuhfat al-Muhtaj, 7/180

[7] Al-Asybah wa al-Nazair, 1/74-75.

[8] Hasyiyah al-Qulyubi, 4/262