Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-379: MENGAPA MAZHAB HANAFI MEWAJIBKAN SOLAT WITIR?

HANAFI WITIR.JPG

 

Soalan:

Saya pernah mendengar seorang ustaz yang menyatakan bahawa solat witir adalah wajib menurut mazhab Hanafi, namun hanya sunat mu’akkad menurut jumhur ulama. Adakah hal ini benar, dan jika benar apakah dalil dan hujah mereka? Apa pula hujah mazhab-mazhab lain yang menghukumnya sebagai sunat mu’akkad?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kelebihan solat witir tsabit melalui banyak hadith-hadith sahih daripada Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah hadith daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal”.

Sahih Muslim (755)

Tambahan pula, Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA akan melazimi solat sunat witir ini sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah R.A:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasihku (iaitu Muhammad SAW) mengingatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur”.

Sahih al-Bukhari (1981)

Begitu juga dengan anjuran Rasulullah SAW untuk menjadikan solat witir sebagai solat terakhir pada waktu malam:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikan akhir solat (sunat) kalian pada waktu malam dengan melakukan solat sunat witir.

Sahih al-Bukhari (998) dan Sahih Muslim (751)

Bahkan diriwayatkan bahawa Imam Ahmad pernah menyatakan: barangsiapa yang meninggalkan solat witir, maka dia merupakan seorang yang buruk, dan tidak boleh diterima kesaksiannya. Namun menurut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, kata-kata tersebut bukanlah bermaksud ianya wajib disisi Imam Ahmad, namun ia sekadar penegasan dengan sighah al-mubalaghah (berlebihan), dan tsabit juga daripada Imam Ahmad bahawa solat sunat witir hukumnya bukan fardhu. (Rujuk Al-Syarh al-Kabir ‘ala Matn Muqni’ 1/706)

 

Perbezaan antara fardhu dan wajib menurut mazhab Hanafi

Sebelum dibahaskan lebih lanjut dalam isu ini, perlu diperhatikan bahawa mazhab Hanafi membezakan antara hukum fardhu dan wajib, manakala menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, wajib dan fardu adalah sama kecuali pada bab haji. Wajib dalam bab tersebut ialah perkara yang tidak menjadi syarat sah ibadat haji. Dengan kata lain, meninggalkan perkara wajib haji tidak menyebabkan ibadat haji batal.

Contohnya: Melontar anak-anak batu di ketiga-tiga jamrah, berihram di miqat dan perkara wajib haji yang lain. Oleh itu sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara wajib dalam ibadat haji, hajinya tetap sah tetapi dia dianggap telah melakukan kesalahan. Justeru dia wajib menggantikannya dengan fidyah, iaitu menyembelih binatang ternakan.

Sementara fardu dalam bab haji ialah perkara yang apabikla ditinggalkan akan menyebabkan ibadat haji luput dan tidak sah. Contohnya: Wuquf di Arafah, tawaf ifadhah dan fardu-fardu yang lain. Sesiapa yang meninggalkannya ketika menunaikan haji, batallah ibadat haji.

 

Pandangan mazhab Hanafi tentang solat witir

Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit mempunyai tiga pendapat dalam isu hukum solat witir:

Pertama: Hukumnya wajib, dan ini merupakan pandangan terakhir beliau, dan inilah pandangan yang paling sahih menurutku (Imam al-‘Aini) dan Qadhi Khan.

Kedua: Hukumnya fardhu, dan ini merupakan pandangan Zufar, Ibn al-Arabiy, serta dua ulama mazhab Maliki iaitu Sahnun dan al-Asbagh.

Ketiga: Hukumnya sunat mu’akkad, dan inilah juga pandangan dua anak murid utama Imam Abu Hanifah, iaitu Qadhi Abu Yusof dan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Mereka berdua berpandangan demikian kerana zahir pada solat witir ciri-ciri solat sunat, iaitu tidak dikafirkan mereka yang tidak mewajibkannya, dan tiada azan bagi solat witir. (Rujuk Al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/473-474)

Antara hadith yang dijadikan sandaran dalam mewajibkan solat witir ialah hadith riwayat Abu Ayyub al-Ansari R.A, dimana Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلَاثِ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: Solat witir merupakan satu kewajipan keatas setiap Muslim, siapa yang mahu solat witir secara lima rakaat, maka dia boleh lakukannya, siapa yang mahu melakukannya secara tiga rakaat maka lakukanlah, jika dia mahu secara satu rakaat maka lakukanlah.

Sunan Abi Dawud (1419) dan Sunan al-Nasa’ie (1710)

Menurut Imam al-Son’ani, hadith ini menjadi dalil akan kewajipan solat witir oleh mazhab Hanafi. Namun demikian, terdapat keadaan di mana lafaz wajib digunakan sebagai penekanan atau ta’kid terhadap perkara-perkara sunat, contohnya seperti mandi pada hari Jumaat. Hal yang sama juga dinyatakan sebelumnya oleh Imam Abu al-Walid al-Baji al-Maliki (Rujuk Subul al-Salam 1/342 dan Al-Muntaqaa Syarh al-Muwatto’ 1/221)

Begitu juga dengan hadith riwayat Abu Hurairah R.A dan Aisyah R.’Anha:

مَنْ لَمْ يُوتِرْ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak melaksanakan witir, maka dia bukan dari kalangan kami.

Namun hadith ini dikritik oleh ramai ulama hadith, dimana Ibn Mulaqqin menghukumnya sebagai dhaif dan munqati’ (terpotong), begitu dengan al-Zaila’ie, Ibn Hajar al-Haithami dan lain-lain. (Rujuk Al-Badr al-Munir 4/349, Nasb al-Rayah 2/113 dan Majma’ al-Zawa’id 2/243)

Jumhur ulama menegaskan bahawa solat witir hukumnya adalah sunnah mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut, dan hukumnya bukan fardhu, dan bukan juga wajib. Antara dalil mereka ialah hadith daripada Tolhah bin ‘Ubaidillah R.A:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ، ثَائِرُ الرَّأْسِ، يُسْمَعُ دَوِيُّ صَوْتِهِ، وَلاَ يُفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى دَنَا، فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنِ الإِسْلاَمِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ ‏"‏‏.‏ فَقَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا قَالَ ‏"‏ لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ

Maksudnya: Seorang lelaki daripada Najd yang rambutnya kusut-masai datang kepada Rasulullah SAW, kami mendengar suaranya yang kuat tapi tidak memahami apa yang diucapkannya, sehinggalah dia menghampiri kami barulah kami tahu dia bertanya mengenai Islam. Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu solat lima waktu sehari semalam”. Lelaki tersebut bertanya: “Adakah aku perlu lagi solat yang lain?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, melainkan jika kamu mahu, kamu boleh mendirikan solat-solat sunat”.

Sahih al-Bukhari (46) dan Sahih Muslim (11)

Jelas dalam hadith di atas bahawa yang wajib hanyalah lima solat yang telah difardhukan, iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya; maka solat-solat lain termasuk di bawah kategori sunat.

Imam Badruddin cuba memberikan takwilan, di mana berkemungkinan hadith di atas berlaku sebelum solat witir diwajibkan. (Rujuk Al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/473-474) Namun demikian tidak ada dalil atau petunjuk jelas yang menunjukkan hal demikian.

Ubadah bin Somit R.A pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ افْتَرَضَهُنَّ اللَّهُ عَلَى عِبَادِهِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يَنْتَقِصْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ فَإِنَّ اللَّهَ جَاعِلٌ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَهْدًا أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ قَدِ انْتَقَصَ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ لَمْ يَكُنْ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُ

Maksudnya: Lima waktu solat yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya; barangsiapa yang mendirikannya dan tidak meninggalkannya kerana kecuaian, maka Allah SWT akan mengadakan perjanjian dengannya pada hari akhirat untuk memasukkannya ke dalam syurga. Namun barangsiapa yang meninggalkan sebahagian daripadanya kerana kecuaian, tidak akan ada baginya dengan Allah SWT perjanjian yang demikian; jika Allah SWT Mahu, Dia akan mengazabnya, dan jika Dia Mahu, dia Mengampunkannya.

Sunan Abi Dawud (1420), Sunan Ibn Majah (1401) dan al-Muwatto’ (268)

Hadith ini diriwayatkan oleh Ubadah R.A sebagai sanggahan terhadap riwayat seorang sahabat lain yang bernama Abu Muhammad Mas’ud bin Zaid al-Ansari yang menyatakan bahawa solat witir hukumnya ialah wajib.

Namun Imam Badruddin al-‘Aini menjawab bahawa hadith ini merujuk kepada solat-solat yang fardhu, adapun Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa solat witir sebagai wajib, bukannya fardhu. (Rujuk Al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/473-474)

Begitu juga dengan satu athar daripada Saidina Ali bin Abi Tolib R.A yang berkata:

إِنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ وَلاَ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ أَوْتَرَ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya: Sesungguhnya solat witir tidak diwajibkan ke atas kalian sebagaimana solat-solat fardhu, namun Rasulullah SAW sentiasa melazimi solat witir, maka wahai Ahlu al-Qur’an, dirikanlah solat witir, kerana sesungguhnya Allah SWT itu witr (ganjil) dan suka akan keganjilan.

Jami’ al-Tirmizi (453), Sunan Ibn Majah (1169) dan Sunan al-Nasa’ie (1676)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan pandangan yang lebih rajih ialah pandangan jumhur ulama, bahawa solat witir hukumnya ialah sunnah mu’akkadah yang sangat dituntut oleh Syarak. Hal ini berdasarkan keumuman hadith-hadith yang jelas menyatakan solat yang fardhu atau wajib hanya lima, dan witir bukan sebahagian daripadanya. Begitu juga dengan penjelasan daripada Imam al-Baji dan Imam al-Son’ani bahawa lafaz wajib kadangkala digunakan untuk menguatkan hukum yang sunat.

Namun tidak dinafikan bahawa mazhab Hanafi juga mempunyai sandaran dan dalil dalam isu ini, dengan menggunakan kaedah usul fiqh yang berlainan dengan jumhur ulama.

Adapun mazhab Hanafi menghukumnya sebagai wajib, dimana hukum meninggalkannya adalah berdosa, namun perlu diperhatikan bahawa mazhab Hanafi membezakan antara fardhu dan wajib; fardhu ialah hukum yang tsabit melalui dalil yang qath’ie, manakala wajib ialah yang tsabit melalui dalil zhanni. Maka disisi mazhab Hanafi, kewajipan solat witir adalah tidak sama darjatnya dengan kefardhuan solat lima waktu yang dinaskan secara qath’ie melalui dalil-dalil al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.

Wallahu alam.