Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya seorang suri rumah dan mengalami masalah bibir kusam dan hitam. Ada seorang kawan mencadangkan kepada saya supaya menjalani rawatan laser bagi mengembalikan semula warnanya kepada warna bibir kemerahan. Dan katanya lagi supaya nampak lebih cantik di depan mata suami. Persoalan saya, apakah hukum merawat bibir kusam dan hitam dengan menggunakan rawatan laser, supaya ia kembali menjadi warna bibir kemerahan? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A’raf : 32)
Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak (pendapat) sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng (rosak) lagi bid’ah. Dan firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu (perhiasan tersebut) adalah merupakan sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah buat sesiapa yang beriman kepadaNya atau hamba-hambaNya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka (orang-orang yang beriman) dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)
Begitu juga, di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya. Para ulama telah menyatakan Ijma’ mengenai hukum haramnya bagi wanita mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya serta disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, kecuali kepada suaminya sahaja. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)
Rawatan menggunakan laser
Perkataan LASER berasal dari singkatan Bahasa Inggeris iaitu “Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation”.[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, laser ialah alat untuk menerbitkan dan memperkuat gelombang-gelombang cahaya menjadi pancaran cahaya yang amat kuat dan tertumpu pada satu hala.[2]
Laser adalah merupakan sinaran cahaya yang mempunyai jarak gelombang yang tertentu dan akan menghasilkan tenaga. Apabila dipancarkan ke kulit atau tisu, tenaga tersebut akan diserap oleh sel-sel tertentu di bawah lapisan kulit. Tenaga yang diserap akan bertukar menjadi haba dan seterusnya memusnahkan sel-sel sasaran. Setiap peralatan laser adalah berbeza mengikut jenis rawatan. Sebagai contoh peralatan laser untuk rawatan pigmentasi tidak boleh digunakan untuk masalah lain seperti membuang tatu atau bulu roma. Ini adalah kerana tenaga dari jarak gelombang yang dihasilkan akan bertindak ke atas sel sasaran sahaja, manakala sel-sel lain yang bukan sasaran tidak menyerap tenaga tersebut.[3]
Selain itu, laser boleh digunakan dalam pelbagai masalah kulit seperti pigmentasi kulit, jerawat, saluran darah kecil di bawah kulit, membuang tatu, membuang bulu roma, menegangkan kulit, merawat parut dan sebagainya. Rawatan laser boleh diberi kepada sesiapa sahaja bergantung kepada keperluan perubatan atau kosmetik. Walau bagaimanapun pakar akan membuat pemeriksaan sebelum menyarankan samada rawatan laser dan peralatan yang ada sesuai atau tidak. Ada beberapa komplikasi boleh berlaku, antaranya permukaan kulit boleh bertukar menjadi kemerah-merahan untuk beberapa hari. Begitu juga, lebam dan kelecuran boleh berlaku selepas rawatan. Hasil kelecuran akan meninggalkan parut. Kulit akan menjadi sensitif kepada sinaran cahaya dan boleh menyebabkan pigmentasi.[4] Ini adalah merupakan komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku bagi rawatan laser secara umumnya.
Menurut pakar aestetik, Dr. Abdul Jamil Jamal Buhari ada menyatakan bahawa masalah bibir yang sering terjadi ialah kering dan menggelupas. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan. Ini biasanya disebabkan oleh alahan terhadap gincu atau losen tertentu. Maka, antara rawatan yang boleh dicadangkan ialah menggunakan laser untuk membantu menjadikan bibir lebih merah, anjal, mengurangkan rekahan dan garisan kerutan halus pada bibir. Laser yang menggunakan gelombang 1,046nm akan dipancarkan pada bibir dalam lingkungan tiga hingga lima minit. Pancaran tersebut akan merangsang kolagen dan tisu elastin yang ada pada bibir. Tiada kesan bengkak, kemerahan atau terbakar dapat dirasai. Apabila kolagen dan elastin dirangsang, ia akan menjadikan warna bibir kemerahan, mengurangkan garisan halus dan melembutkan lagi tekstur bibir.[5]
Menggunakan laser bagi merawat bibir kusam dan hitam
Kami berpendapat rawatan bibir menggunakan laser sebagaimana yang telah dinyatakan di atas adalah harus dan tidak mengapa. Rawatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT sebagaimana yang telah diharamkan oleh syarak kerana ia tidak mengubah apa-apa ciptaan yang asal. Akan tetapi rawatan tersebut adalah bertujuan bagi merawat bibir yang kusam dan merekah serta mengembalikan semula ia kepada warnanya yang asal. Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan juga menyatakan bahawa apa-apa pembedahan bagi mengembalikannya kepada kejadian yang asal (normal), tidak termasuk dalam perkara mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74)
Daripada Abdullah bin Mas’ud, katanya :
لَعَنَ اللَّهُ الواشِماتِ والْمُسْتَوْشِماتِ، والنّامِصاتِ والْمُتَنَمِّصاتِ، والْمُتَفَلِّجاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّراتِ خَلْقَ اللهِ
Maksudnya : “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah SWT.” Riwayat Muslim (2125)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan lafaz (الْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ) di dalam riwayat tersebut, ada menyatakan bahawa sekiranya perbuatan itu dilakukan atas dasar memenuhi suatu hajat atau keperluan atau untuk menghilangkan aib pada gigi atau seumpamanya, maka perbuatan tersebut diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107)
Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah yang disebut oleh Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan ketika membahaskan hadis Abdullah bin Mas’ud, bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau (menghilangkan) aib maka harus hukumnya. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Maka, dikecualikan daripada larangan itu apa-apa perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73)
Lebih-lebih lagi, sekiranya rawatan tersebut dilakukan bagi menambahkan lagi seri dan cantik di mata suaminya. Firman Allah SWT :
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ
Maksudnya : “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka.”
(Surah al-Nur : 31)
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat rawatan bibir dengan menggunakan laser bagi merawat bibir hitam dan kusam serta mengembalikan ia kepada warna asalnya adalah harus dan tidak mengapa. Rawatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT sebagaimana yang telah diharamkan oleh syarak kerana ia tidak mengubah apa-apa ciptaan yang asal. Akan tetapi rawatan tersebut adalah bertujuan bagi merawat dan memulihkannya.
Walau bagaimanapun, dia hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada pakar bagi membuat pemeriksaan sebelum disarankan (rawatan berkenaan), sama ada rawatan laser dan peralatan yang ada sesuai atau tidak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/laser-dalam-pembedahan-plastik/. Telah diakses pada 3 Februari 2020.
[2] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=laser. Telah diakses pada 3 Februari 2020.
[3] Op. cit.
[4] Ibid
[5] Lihat Berita Harian Online, bertajuk ‘Rawatan Untuk Bibir Menawan’, bertarikh 10 April 2015(https://www.bharian.com.my/node/46662). Telah diakses pada 3 Februari 2020.