SOALAN :
Apakah hukum rawatan bekam berlainan jantina?
JAWAPAN :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berbekam menurut kalam fuqaha ialah mengeluarkan darah daripada bahagian tengkuk dengan cara hisap (menyedut) menggunakan alat bekam. Sementara, al-Zurqani menyatakan bahawa berbekam tidak khusus pada bahagian tengkuk bahkan seluruh badan [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (17:14 )]. Berbekam merupakan sebaik-baik perubatan, Nabi SAW bersabda:
إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.
Hadith Riwayat al-Tirmizi, (1199)
Informasi lanjut berkaitan hukum bekam sila rujuk artikel kami pada ruangan
Irsyad al-Hadith siri ke 36 : Berbekam
Irsyad al Fatwa khas Ramadan # : Hukum berbekam dan menderma darah ketika berpuasa
Berdasarkan soalan yang diajukan, kami akan membahagikan kepada dua perbahasan iaitu batasan aurat dalam rawatan bekam serta keutamaan sesama jantina dalam rawatan bekam.
Batasan aurat dalam rawatan bekam
Islam sangat menitikberatkan penjagaan aurat ketikat melibatkan pergaulan sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT :
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
(Surah al-Nur: 30)
Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka [Lihat: al-Tafsir al-Muyassar, (353)]
Nabi SAW bersabda :
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain”
Hadith Riwayat Muslim (338)
Oleh itu, tidak dibenarkan wanita melihat kepada aurat lelaki ajnabi mahupun sebaliknya. Namun, terdapat pengecualian melihat aurat berlainan jantina apabila terdapat keperluan dan ḍarurah (keperluan mendesak). Antara bentuk pengecualian tersebut ialah rawatan bekam mahupun dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. [Lihat : al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]
Bekam merupakan wasilah rawatan untuk menyembuhkan penyakit. Alasan rawatan membolehkan pesakit membuka bahagian auratnya. Titik kawasan bekam pada anggota badan yang termasuk bahagian aurat bagi pesakit. Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selagi ada keperluan. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:
أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ
Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”
Hadith riwayat Muslim (2206)
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)
Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan perawat melihat aurat pesakitnya ketika merawat. Walaubagaimana, syarat-syarat yang perlu dipatuhi semasa melakukan rawatan bekam seperti berikut :
- Juru bekam melihat aurat pesakit sekadar yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan bahagian yang ingin dibekam sahaja, maka tidak boleh membuka selain kawasan bekam,
- Juru bekam hanya boleh memegang anggota aurat secara berlapik atau sekiranya terdapat keperluan mendesak dibenarkan tanpa berlapik.
Keutamaan sesama jantina dalam rawatan bekam
Realiti pusat-pusat rawatan bekam di Malaysia menyediakan perkhidmatan bagi kaum wanita dan lelaki. Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya pusat-pusat bekam menyediakan perkhidmatan bekam terbuka bagi lelaki dan perempuan dengan syarat pusat tersebut terdapat juru bekam daripada kalangan lelaki dan wanita bagi tujuan membekam pesakit sesama jantina. Oleh itu, pusat rawatan bekam sewajarnya memberi latihan mahupun kursus menjadi juru bekam terbuka kepada lelaki dan wanita. Selain itu, terdapat juga pusat bekam khusus muslimah sahaja mahupun pusat bekam khusus lelaki sahaja. Hal tersebut jelas masyarakat mempunyai pilihan untuk memilih perawat sesama jantina. Setelah melihat realiti tersebut, pesakit mahupun masyarakat yang ingin mendapatkan rawatan berkam belum sampai ke peringkat mendesak (darurah) untuk memilih juru bekam berlainan jantina bahkan mempunyai pilihan juru bekam sesama jantina di mana-mana pusat bekam.
Walaubagaimanapun, rawatan bekam berlainan jantina hanya pada situasi mendesak (darurah) disebabkan tiada pilihan. Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:
قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي - رحمه الله - : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة
Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” [Rujuk Marqah al-Mafatih (3103)]
Rawatan bekam berlainan jantina dengan syarat ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (dipercayai) dan tidak boleh berdua-duaan antara pesakit dan perawat. Walaubagaimanapun, selagi terdapat plihan, maka keutamaan melaksanakan rawatan bekam mestilah diutamakan perawat dan pesakit yang sesama jantina. Hal tersebut lebih selamat daripada fitnah serta dapat menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i).
Penutup
Tuntasnya, kami berpendapat bahawa rawatan bekam berlainan jantina adalah tidak dibenarkan selagi mempunyai pilihan selain berhujah berdasarkan sadd al-zarai’ (menutup pintu kerosakan). Bahkan, realiti pusat-pusat rawatan di Malaysia mempunyai banyak pilihan dengan menyediakan pusat rawatan bekam muslimah mahupun pusat rawatan bekam khusus lelaki sahaja. Hal tersebut membolehkan rawatan bekam sesama jantina. Namun, rawatan bekam berlainan jantina hanya dibolehkan pada situasi keperluan yang mendesak ketika tiada pilihan disamping mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Akhir kalam, rawatan bekam merupakan sunnah dan amatlah wajar jalan menuju melaksanakan bekam dengan cara yang diredhai Allah SWT iaitu patuh syariah. Bahkan, juru bekam yang berautoriti tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW.
Semoga kita dapat melaksanakan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Rasullullah SAW.