Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-424: HUKUM MENJUAL BARANGAN LAMA DAN ROSAK TANPA MEMINTA IZIN TUANNYA TERLEBIH DAHULU

 

IF424_-_Copy.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Kami baru berpindah ke sebuah rumah sewa yang terdapat stor yang menyimpan barang-barang lama milik tuan rumah. Kebanyakannya sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Kami longgokkannya di luar rumah dan kebetulan pula pada masa tersebut ada pengumpul barang-barang lama yang lalu di situ dan ingin membelinya.

Oleh sebab barangan tersebut kelihatan memang sudah tidak berguna dan memudahkan kerja kami untuk membersihkan halaman rumah, maka kami bersetuju menjualnya dengan sedikit bayaran yang akan diberikan kepada tuan rumah.

Soalan saya, adakah sah jual beli tersebut kerana saya menjual barangan bukan milik saya, namun saya pasti ia sudah tidak diperlukan lagi oleh pemiliknya?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT menghalalkan jual beli selagimana dipersetujui dan diredhai oleh pembeli dan penjual. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa: 29)

Begitu juga dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما البيعُ عن تراضٍ

Maksudnya: Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.

Hadith riwayat Ibn Hibban: (4967)

Secara asasnya, salah satu syarat barang yang ingin dijual hendaklah dimiliki (مملوك) iaitu bermaksud orang yang ingin menjualnya memiliki hak dan penguasaan terhadap barang tersebut. Jika sesuatu itu menjadi hak dan milik orang lain, maka tidak boleh sewenang-wenangnya dijual tanpa pemilikan, penguasaan atau diwakilkan oleh pemiliknya. Hal ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

لَا يَجُوزُ لأحَدٍ أَن يَتَصَرَّفَ فِي مِلْكِ غَيْرِهِ بِلَا إِذْنِهِ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seseorang melakukan jual-beli ke atas barang milik orang lain tanpa izin tuannya.

Jika sekiranya seseorang menjual sesuatu barang yang bukan miliknya, maka ia disebut sebagai jual-beli fudhuli atau al-bay’ al-fudhuli (البيع الفضولي). Para ulama mazhab berbeza pandangan berkenaan sahnya al-bay’ al-fudhuli jika sekiranya ia dibenarkan oleh pemilik asalnya. Secara ringkasnya, pandangan-pandangan ulama’ adalah seperti berikut;

  • Pendapat pertama: Sahnya jual-beli fudhuli itu bergantung kepada keizinan daripada pemiliknya. Jika diberikan keizinan, maka sah. Jika tidak, maka tidak sah. Ini merupakan pendapat para ulama’ hanafiah, malikiah, Imam al-Syafie pada qaul qadim, salah satu pandangannya dalam qaul jadid dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya.
  • Pendapat kedua: Mengharamkan jual-beli fudhuli dan batal jual-beli tersebut jika ia dilakukan. Ini merupakan pendapat kedua Imam al-Syafie pada qaul jadid dan Imam Ahmad dalam satu riwayat yang lain. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 9:116-117)

Dalil bagi pendapat pertama yang mengatakan sah jual beli fudhuli jiak diizinkan oleh pemiliknya, antaranya berdasarkan hadith Saidina Urwah, bahawasanya beliau berkata:

قَالَ أَعْطَاهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- دِينَارًا يَشْتَرِى بِهِ أُضْحِيَةً أَوْ شَاةً فَاشْتَرَى شَاتَيْنِ فَبَاعَ إِحْدَاهُمَا بِدِينَارٍ فَأَتَاهُ بِشَاةٍ وَدِينَارٍ فَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ فِى بَيْعِهِ فَكَانَ لَوِ اشْتَرَى تُرَابًا لَرَبِحَ فِيهِ

Maksudnya: Beliau (Saidina Urwah, iaitu Ibn Abi al-Ja’diy al-Baariqiy RA) berkata; bahawasanya Rasulullah SAW telah memberinya satu dinar untuk membeli haiwan korban atau seekor kambing. Lalu dia membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, maka dia datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa seekor kambing dan satu dinar. Kemudian, Rasulullah SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam setiap penjualannya, maka seandainya dia menjual debu-debu tanah (sesuatu yang tidak berharga), maka dia pasti akan mendapat keuntungan daripadanya.

Hadith riwayat Abu Daud (3384) dan al-Tirmizi (1258)

Dalam hadith di atas, Saidina Urwah menjual salah satu daripada dua ekor kambing yang dibeli menggunakan satu dinar yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya tanpa meminta keizinan Baginda SAW terlebih dahulu. Apabila beliau RA datang kepada Rasulullah SAW, maka beliau menyerahkan seekor kambing seperti yang diminta oleh Baginda SAW dan satu dinar atas keuntungan jualannya. Lalu Rasulullah SAW mendoakan keberkatan terhadap setiap jualan yang dilakukannya.

Iqrar dan persetujuan Rasulullah SAW terhadap apa yang dilakukan oleh Saidina Urwah menunjukkan sahnya jual beli fudhuli jika diizinkan dan diredhai oleh pemiliknya. Jika jual-beli tersebut batil, sudah tentulah Rasulullah SAW meminta dipulangkan kembali dan mengingkari apa yang telah dilakukan oleh Saidina Urwah tersebut (Rujuk Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 9:116)

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang berkaitan hal ini, yang menyebutkan bahawa:

الإِجَازَةُ اللاحِقَةُ كالوكَالَةِ السَّبِقَةُ

Maksudnya: Izin yang datang kemudian sama keadaannya seperti perwakilan yang dilakukan sebelumnya.

Ini bermakna jika seseorang telah memberikan keizinan terhadap hartanya yang telah dijual, ia sama seperti keadaan dia telah mewakilkan orang tersebut untuk menjual barang itu sebelumnya, maka jual-beli tersebut adalah sah. (Rujuk al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 113)

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, berdasarkan situasi yang dinyatakan di dalam soalan di atas, kami cenderung kepada pendapat pertama yang mengatakan bahawa jual-beli tersebut adalah sah jika sekiranya mendapat keizinan daripada pemiliknya. Walau bagaimanapun, kami berpandangan adalah lebih baik untuk meminta keizinan terlebih dahulu sebelum menjual barang-barang lama tersebut kerana boleh jadi ianya bernilai bagi pemiliknya seperti mempunyai kenangan dan nilai sentimental walaupun sudah rosak sebagai contoh.

Ini kerana jika pemiliknya tidak mengizinkan, maka jual-beli tersebut menjadi tidak sah. Oleh itu, orang yang menjualnya hendaklah mengembalikan barang yang telah dijual serta memulangkan bayaran yang telah diterima tersebut kepada orang yang telah membelinya kembali. Jika sekiranya tidak dapat melakukan demikian, maka barang tersebut perlu dibayar ganti-rugi berdasarkan nilainya di sisi pemiliknya. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.