Soalan
Assalamualaikum Dr. Saya ingin bertanya berkenaan dengan kusyuk/ lalai dalam solat. Allah SWT juga meyatakan dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya oleh hamba-Nya. Seperti firman-Nya di dalam surah al-Nisa,28. Adakah Allah SWT tidak tahu hamba-hamba-Nya itu tidak mampu melakukan solat tanpa lalai/ kusyuk dalam solat. Jadi solat itu adalah arahan Allah SWT tetapi dalam masa yang sama Allah SWT memberi amaran celaka bagi mereka yang lalai dalam solatnya. Allah SWT juga tidak jelaskan bilangan solat 5 waktu dalam al-Quran. Justeru, solat yang dimaksudkan itu bagaimana atau dengan cara apakah kita mampu solat tanpa lalai. Adakah cara diterima solat itu boleh dipertikaikan.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Solat merupakan Ibadah yang boleh mendekatkan diri seorang hamba itu dengan Allah SWT. Ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya diterima dan diberi ganjaran daripada Allah SWT. Bedasarkan persoalan pada kali ini, kami datangkan sebuah ayat berkenaan dengan Allah SWT mencela kepada mereka yang lalai dalam menyempurnakan solat. Firman Allah SWT:
الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
(Surah al-Ma’un,5)
Bagi memahami tafsiran ayat ini, justeru kami datangkan beberapa tafsiran dan pandangan daripada ulama tafsir supaya dapat difahaminya dengan lebih terpeinci.
Imam Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini menukilkan pandangan Ibnu Abbas RA menjelaskan, mereka golongan (سَاهُونَ) apabila melakukan solat mereka tidak mengharapkan ganjaran kebaikan. Dan apabila mereka meninggalkannya, maka mereka tidak takut akan siksaannya. Mereka itu adalah golongan yang melewat-lewatkan waktu solat dengan sengaja. Menurut pandangan Ibrahim, golongan (سَاهُونَ) disandarkan kepada waktu solat. Daripada Abu al-A’liah menyatakan, mereka itu golongan yang tidak solat pada waktunya. Daripada Ibnu Abbas RA, mereka ini adalah golongan munafik yang meninggalkan solat sekiranya bersendirian, dan mereka melakukan solat ketika di hadapan orang ramai. Dan mereka melakukan solat dengan bermalas-malasan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 200/212)
Imam Ibnu Kathir menukilkan pandangan Ibnu Abbas menyatakan, bagi golongan yang melakukan solat tetapi lalai, ini termasuk di dalam perbuatan di dalam solat seperti sambil lewa dalam melakukan pergerakan di dalam solat dan pada waktu solat mereka melewatkan waktu solat. Selain itu, Imam Ibnu Kathir menyebut, mereka itu melakukan solat dengan tidak khusyuk dan sambil lewa. Mereka juga kurang mengingati Allah SWT ketika mengerjakan solat, serta tujuannya hanya untuk diperlihatkan kepada manusia bukan kerana Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 8/468). Ini Sepertimana Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّـهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّـهَ إِلَّا قَلِيلً
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
(Surah al-Nisa’, 142)
Di dalam menerangkan perihal ayat ini, Syeikh al-Sa’di menyebut (عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ) iaitu mereka meninggalkan solat, melewatkan solat serta meninggalkan rukunnya. Dan ini kerana mereka tidak mengambil berat perintah Allah SWT sehingga mereka sengaja meninggalkan solat. Bahkan solat itu merupakan perkara yang penting bagi memperoleh ketaatan dan solat merupakan perkara penting bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/935)
Dr. Wahbah Zuhaili menyebut, yang dimaksudkan dengan ayat (فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ) dan (الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ) mereka adalah golongan munafik yang melakukan solat untuk menunjuk kepada orang ramai. Jika mereka melakukan solat, mereka tidak mengharapkan pahala daripadanya dan mereka juga tidak takut dengan azab apabila meninggalkannya. Selain itu, Allah SWT tidak menyebut (في صلاتهم ساهون) kerana (السهو) iaitu lupa ketika menunaikan solat adalah perkara yang dimaafkan kerana bukan perkara ikhtiar. Akan tetapi, Allah SWT berfirman (عن صلاتهم ساهون) iaitu dengan melewatkan waktu solat dari waktu yang disyariatkan atau menunaikannya dengan sambil lewa. Ini seperti yang disebut di dalam surah al-Nisa’, 142. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 30/423)
Khusuk Ketika Solat
Di dalam perihal khusyuk ketika solat, Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah RA: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri. Ibn Al-Qayyim juga turut menyatakan pendapat tokoh ulama tasawuf iaitu Imam Junaid Al-Baghdadi Rahimahullah yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521)
Allah SWT menyebut bahawa mereka adalah golongan yang memperolehi kejayaan ini berdasarkan Firman-Nya:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2)
(Surah al-Mu’minun, 1-2)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)
Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Khusyuk adalah: Sebahagian ulama memasukkannya sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, Al-Syaukani 1/977).
Imam Nawawi menyatakan bahawa disunatkan untuk khusyuk di dalam solat seperti tunduk, tadabbur ayat bacaaan dan zikir di dalamnya, tidak memikirkan perkara diluar solat. Namun sekiranya seseorang itu berfikir tentang perkara di luar solat maka perbuatan itu hukumnya adalah makruh sama ada memikirkan perkara yang dibolehkan atau perkara yang diharamkan.
Selain itu, boleh rujuk artikel berikut untuk penjelasan yang lebih lanjut.
- IRSYAD AL_FATWA KE-145 HUKUM SOLAT TIDAK KHUSYUK di laman web PMWP
- BAYAN LINNAS SIRI KE-82: Khusyuk Solat: Hukum dan Cara Mendapatkannya
- IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-345: KEPENTINGAN KHUSYUK
- AL-KAFI #973: SOLAT DALAM KEADAAN BERFIKIR HAL KEDUNIAAN
Dalil al-Quran Berkenaan Pensyariatan Solat Lima Waktu
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang disyariatkan ketika malam lailatul qadar. Oleh itu, bagi menjelaskan kewajipan menunaikan solat lima waktu, kami datangkan beberapa dalil daripada al-Quran serta perbahasan berkenaan dengannya.
Allah SWT telah mewajibkan hambanya supaya mengerjakan solat berdasarkan waktu yang telah ditetapkan-Nya. Ini seperti mana Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya
(Surah al-Nisa’, 103)
Imam Ibnu Kathir menukilkan pandangan Ibnu Mas’ud dengan menyatakan, sesungguhnya pada solat itu ada padanya waktu yang ditetapkan seperti waktu menunaikan haji. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 2/357)
Begitu juga, di dalam surah yang lain Allah SWT menceritakan perihal waktu ketika mengerjakan solat. Firman Allah SWT:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
(Surah Hud, 114)
Imam al-Baghawi menaqalkan pandangan Mujahid (النَّهَارِ) adalah waktu solat Subuh, Zuhur dan Asar dan (وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ) merupakan waktu solat maghrib dan Isyak. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/469). Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya menurut pandangan yang lain (الطرفان) iaitu Zuhur dan Asar. (والزلف) Maghrib, Isyak dan Subuh.
Selain itu, Firman Allah SWT:
فَسُبْحَانَ اللَّـهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ ﴿١٧﴾ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ ﴿١٨﴾
Maksudnya: (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. (17) Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
(Surah al-Rum, 17-18)
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menukilkan pandangan Ibnu Abbas RA menyebut yang dimaksudkan dengan (حِينَ تُمْسُونَ) ialah solat Maghrib dan Isyak. (وَحِينَ تُصْبِحُونَ) solat Subuh. Manakala (وَعَشِيًّا) bermaksud solat Asar dan tafsiran (وَحِينَ تُظْهِرُونَ) ialah waktu solat Zuhur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/101)
Oleh itu berkenaan dengan dalil-dalil di atas, maka jelaslah bahawa kefardhuan solat merupakan perintah Allah SWT kepada seluruh umat manusia yang terkandung di dalam al-Quran.
Selain itu berkenaan dengan solat, ianya dijelaskan dengan lebih terperinci di dalam hadis Baginda Nabi SAW seperti hal menentukan waktu solat. Sebagai contoh dalam menentukan waktu solat maghrib hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, sabda Nabi SAW:
وَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ
Maksudnya: “Waktu Maghrib ialah selama syafaq belum hilang.”
Riwayat Muslim (612)
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut waktu maghrib bermula apabila matahari terbenam sehinggalah (الشَّفَقُ) iaitu Syafaq merah hilang dan tidak kelihatan lagi di sebelah barat. Apabila keadaan menjadi gelap sepenuhnya sehingga meliputi ufuq barat maka berakhirlah waktu Maghrib dan masuklah waktu Isyak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/106-107)
Kaedah dan Kaifiat Solat Diterima Dari Generasi ke Generasi
Nabi SAW merupakan qudwah hasanah serta contoh untuk dijadikan tauladan tidak kira di dalam hal ibadah, kehidupan atau perkara yang lain. Oleh itu, di dalam tatacara melakukan ibadah solat, terdapat pelbagai hadis Nabi SAW mengajar para sahabatnya RA bagaimana cara melakukan solat seperti rukuk, sujud dan lain-lain lagi.
Ini seperti mana yang hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin A’ta’ RA, diceritakan oleh Abu Humaid al-Sa’idi RA cara Baginda Nabi SAW mengerjakan rukuk di dalam solat:
وَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ يَدَيْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ
Maksudnya: Apabila ruku’ kedua-dua belah tangan Baginda mencapai kedua-dua belah lututnya
Riwayat al-Bukhari (828)
Begitu juga hadis Nabi SAW mengajar bagaimana untuk melakukan sujud seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ الْجَبْهَةِ - وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ - وَالْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki
Riwayat al-Muslim (490)
Selain itu, Nabi SAW menerangkan bahawa membaca Surah al-Fatihah merupakan salah satu rukun di dalam solat. Ini berdasarkan hadis
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: Tidak sah solat orang yang tidak membaca fatihah
Riwayat al- Bukhari (756)
Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW memerintah sahabatnya supaya pulang kepada ahli keluarga mereka untuk mengajar solat serta perkara yang mereka pelajari ketika bersama Baginda Nabi SAW. Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Malik RA Sabda Nabi SAW:
ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ، فَأَقِيمُوا فِيهِمْ، وَعَلِّمُوهُمْ، وَمُرُوهُمْ ـ وَذَكَرَ أَشْيَاءَ أَحْفَظُهَا أَوْ لاَ أَحْفَظُهَا ـ وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ
Maksudnya: “Kembalilah kalian kepada ahli keluarga kamu, tinggallah bersama mereka, dan ajarlah mereka (berkaitan agama) dan perintah mereka (melakukan kebaikan)”. Nabi SAW menyebut sesuatu perkara yang aku ingat dan yang aku lupa. Lalu Nabi SAW bersabda, “Solatlah seperti mana kamu melihat aku solat, dan apabila telah masuk waktu solat maka laungkanlah azan dikalangan kamu, dan yang paling tua dikalangan kamu hendaklah menjadi imam.
Riwayat al-Bukhari (7246)
Imam al-Nawawi menyebut hadis ini seperti hadis Nabi SAW dalam menerangkan cara pelaksanaan ibadah haji iaitu (لِتَأْخُذُوا مَنَاسِكَكُمْ). Oleh itu, ini merupakan hujah para sahabat mengambil, menghafal dan belajar ilmu daripada Baginda Nabi SAW begitu juga tatacara atau kaedah di dalam sesuatu ibadah kemudian mereka mengajar kepada manusia apa yang diajar oleh Baginda SAW. (Lihat Syarh al-Nawawi, 9/45)
Ibnu Battal menjelaskan (ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ، فَأَقِيمُوا فِيهِمْ، وَعَلِّمُوهُمْ) sesungguhnya sesiapa yang alim dalam sesuatu ilmu haruslah ia menyampaikannya kepada sesiapa yang tidak mengetahuinya. Mengajar sesuatu ilmu itu adalaha fardhu kifayah bertujuan untuk menyebarkan Islam. Adapun di awal permulaan Islam, ianya fardu ain bagi sesiapa yang alim untuk mengajar kepada sesiapa yang tidak alim sehinggalah tersebar agama islam itu keseluruh pelusuk dunia. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibnu Battal, 1/167)
Hal ini membuktikan bahawa Nabi SAW mengajar dan menjelaskan kepada sahabat-sahabatnya bagaimana tatacara menyerjakan solat dengan sempurna sama ada dari segi sebutan dan perbuatan di dalam solat. Kemudian para sahabat RA mengajar tatacara tersebut kepada ahli keluarga dan orang dikalangan mereka sehinggalah ianya tersebar dari generasi ke generasi melalui perantaraan tabi’in serta ulama-ulama terdahulu sehingga sekarang.
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan penjelasan dalil yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa, Allah SWT telah memerintahkan kepada hamba-Nya menunaikan solat fardhu yang ditetapkan waktunya melalui perantaraan Baginda Nabi SAW dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran seperti yang disebut di atas. Dan ia juga dijelaskan secara terperinci dan tuntas di dalam hadis-hadis Baginda Nabi SAW secara mutawattir.
Kaedah dan tatacara solat juga di ajar oleh Baginda Nabi SAW berdasarkan wahyu daripada Allah SWT kepada sahabat-sahabatnya dan ianya disebarkan kepada golongan beriman pada ketika itu. Kemudian mereka mengajar kepada ahli keluarga serta orang terdekat dikalangan mereka sehingga tersebar keseluruh pelusuk dunia. Hal berkenaan dengan solat dikaji, diajar dan dicatatkan oleh para Imam Mujtahid, dan para fuqaha berpandukan al-Quran, hadis Nabi SAW dan athar sahabat RA, oleh itulah ianya terjaga dan menjadi rujukan sehingga ke hari ini.
Berkenaan dengan persoalan khusyuk di dalam solat dan celaan Allah SWT kepada mereka yang tidak khusyuk di dalam al-Quran, maka kami simpulkan seperti berikut:
- Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melakukan solat dengan bersungguh-sungguh dan tidak melakukannya dengan sambil lewa. Selain itu, Allah SWT mencela golongan yang mempermain ibadah solat serta melakukannya dalam keadaan riak dan menunjuk-nunjuk seperti yang dilakukan oleh golongan munafik. Dan ibadah solat itu bukan dilakukan kerana Allah SWT.
- Di dalam hal yang lain, sekiranya seseorang itu melakukan solat akan tetapi terlupa atau lalai bukan dengan sebab disengajakan maka ia adalah perkara yang dimaafkan syarak. Ini seperti terlupa melakukan sesuatu pergerakan di dalam solat atau terfikir sesuatu perkara diluar solat tanpa disengajakan, maka perbuatan itu dimaafkan.
Justeru, ibadah solat merupakan perkara yang diketahui umum terutamanya mereka yang beragama Islam tentang kewajipannya. Hal ini merupakan pekara yang sedia maklum di dalam agama.
Ini seperti yang dinyatakan Imam Khatib al-Syirbini, Umat Islam seluruh zaman dan tempat telah bersepakat bahawa solat pada lima waktu sehari dan semalam adalah wajib, sehingga ia termasuk dalam urusan agama yang al-ma`lum min al-din bi al-dorurah. (Lihat Mughni al-Muhtaj 1/297)
Begitu juga khusyuk di dalam solat, ia bukan menjadi rukun di dalam solat bagi menentukan kesahihan solat menurut jumhur para ulama. Namun kita diperintahkan untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat khusyuk di dalam solat dan moga-moga akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT berdasarkan kesungguhan bagi mencapai kekhusyukan tersebut.
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW