SOALAN
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang itu membuat video food review di media sosial, yang kita tahu bahawa ia akan membuatkan orang terliur, sedangkan ada dalam kalangan kita yang tidak berkemampuan untuk membelinya?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Secara asasnya, tujuan membuat video food review di media sosial adalah untuk mempromosikan makanan dan minuman yang ditawarkan oleh sesebuah kedai. Dengan berkembangnya teknologi dan kemudahan akses internet pada masa kini, ia telah mewujudkan pelbagai cara pemasaran yang kreatif.
Namun, jika diperhatikan, prinsip asas pengiklanan digital yang ada sekarang tidak jauh beza yang pernah ada sebelum ini iaitu untuk menarik minat orang ramai untuk merasainya. Oleh itu, pada asasnya hukumnya adalah harus selagimana tidak mempunyai unsur-unsur haram seperti penipuan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
(Surah al-Baqarah: 188)
Ini juga bergantung kepada niat seseorang yang melakukan video food review tersebut, jika sekiranya niatnya baik, maka baiklah perbuatan tersebut. Jika tidak, maka buruk dan haram perbuatan tersebut. Ia berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
الأمور بمقاصدها
Maksudnya: Hukum suatu perkara itu bergantung kepada niat.
Antara unsur penipuan yang mungkin berlaku ialah bay’ al-najasy (بيع النجش) iaitu perbuatan sengaja menaikkan harga sesuatu barang yang dilakukan oleh orang yang tidak berminat membelinya yang bertujuan supaya penjualnya mendapat keuntungan yang besar atau merugikan pelanggan tersebut. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4:355) Termasuk dalam perbuatan al-Najasy ini ialah perbuatan paid reveiw di mana seseorang dibayar untuk memuji sesuatu barang jualan secara tidak sepatutnya dan tidak sesuai dengan kualiti yang ditawarkan supaya orang ramai terpengaruh untuk membelinya dengan harga yang lebih tinggi. Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang umatnya untuk melakukan perkara sedemikian. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RAnhuma:
نهى النبي صلى الله عليه وسلم عن النَّجْشِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang umatnya daripada melakukan jual beli al-Najasy.
Hadith riwayat al-Bukhari (2142) dan Muslim (1516)
Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan menipu orang ramai untuk kepentingan peribadi. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن غشَّ فلَيسَ منّا
Maksudnya: Barangsiapa yang menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami.
Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1315)
Namun, jika sekiranya review tersebut dilakukan bersesuaian dan sama seperti kualiti yang ditawarkan oleh bahan jualan tersebut dengan dilakukan dengan jujur dan tujuan untuk mempromosi, maka hukumnya adalah harus dan juga halal mengambil upah daripadanya, berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan kepada keharaman terhadap perkara tersebut. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair, 1:60)
Disamping itu juga, diingatkan juga bahawa Allah SWT telah menganjurkan manusia untuk bersederhana dalam makan dan minum serta jangan berlebih-lebihan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
Imam Ibn Kathir menukilkan kalam para sahabat Ranhum berkaitan ayat ini yang mengatakan bahawa, Allah SWT menghalalkan makanan, minuman dan pakaian selagimana tidak membawa kepada berlebih-lebihan dan untuk bermegah-megah. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 6:288)
Jika diperhatikan, berlebih-lebihan dalam makanan juga termasuk perbuatan memakan semua yang diinginkan oleh hati dengan melebihi daripada apa yang diperlukan oleh badan. Ini sepertimana di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Anas Ibn Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ منَ السَّرفِ أن تأكلَ كلما اشتهيتَ
Maksudnya: Sesungguhnya termasuk dalam perkara yang berlebih-lebihan ialah kamu memakan setiap makanan yang kamu teringinkan.
Hadith riwayat Ibn Hibban dalam al-Majruhin, (2:389)
Di dalam satu hadith yang lain pula, Rasulullah SAW menyatakan bahawa perut merupakan tempat yang paling buruk untuk diisi sehingga penuh (kenyang). Sebaliknya, Rasululllah SAW menganjurkan supaya makan sekadar yang perlu sahaja untuk menguatkan tulang sulbi. Jika sekiranya seseorang itu ingin makan lebih daripada itu, maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk dia bernafas. Rasulullah SAW bersabda:
ما ملأ آدميٌّ وعاءً شرًّا من بطنِه، بحسْبِ ابنِ آدمَ أُكُلاتٌ يُقِمْنَ صُلبَه، فإن كان لا محالةَ، فثُلُثٌ لطعامِه، وثُلُثٌ لشرابِه، وثُلُثٌ لنفَسِه
Maksudnya: Tidak ada tempat yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia itu beberapa makanan yang sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya, kecuali jika dia tidak dapat mengelakkannya maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk nafasnya.
Hadith riwayat al-Tirmidzi (2380) dan al-Nasaie (6769)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum membuat video food review dan paid review adalah harus selagimana tidak mempunyai unsur-unsur yang haram seperti penipuan. Sebagai contohnya, bay’ al-najasy iaitu perbuatan memuji sesuatu barang jualan secara tidak sepatutnya dan tidak sesuai dengan kualiti yang ditawarkan supaya orang ramai terpengaruh untuk membelinya dengan harga yang lebih tinggi.
Kami juga ingin tegaskan di sini, jika seseorang ingin melakukan food review sebaik-baiknya perlulah mendapat keizinan daripada tuan asalnya. Begitu juga, penilaian yang dibuat mestilah bersifat jujur dan amanah, janganlah dikatakan sedap pada makanan yang tidak sedap dan juga sebaliknya.
Disamping itu juga, makanan yang dipilih hendaklah halal 100% tanpa sebarang was-was dan ragu-ragu agar umat Islam terselamat daripada makanan yang haram. Pemudahcara seperti ini amat penting di zaman kini dek kerana teknologi yang begitu canggih. Kami berpandangan perbuatan food review adalah baik jika sekiranya memenuhi syarat dan kriteria yang telah kami tetapkan.
Di kesempatan ini juga, kami ingin menasihati supaya bersederhana dalam makan dan minum serta tidak makan setiap apa yang diinginkan oleh hati kerana ia termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan. Ini juga kerana kekenyangan akan membawa perkara negatif seperti yang disebut oleh Imam al-Syafie:
لأَنَّ الشبع يثقل البدن، ويقسي القلب، ويزيل الفطنة، ويجلب النوم، ويضعف عن العبادة
Maksudnya: Kerana kekenyangan (memuaskan nafsu perut dan mulut) membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah. (Rujuk al-Syafi Syarh Musnad al-Syafie, 1:24)
Di kesempatan ini juga, suka untuk kami ingatkan bahawa perlulah ada sikap prihatin terhadap golongan yang tidak berkemampuan dan bahkan tidak cukup makan. Janganlah disebabkan kita mampu untuk menikmati makanan-makanan yang lazat menyebabkan kita melupakan mereka. Hulurkanlah kepada mereka daripada rezeki yang telah Allah SWT berikan kepada kita, supaya mereka dapat menikmati juga apa yang kita rasa. Rasulullah SAW pernah bersabda:
ليس المؤمنُ الَّذي يشبَعُ وجارُه جائعٌ
Maksudnya: Bukanlah seorang yang beriman, seseorang yang berada dalam kekenyangan dan membiarkan jirannya berada dalam kelaparan.
Hadith riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad: 82
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.