Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-429 : MENGIBAS TILAM SEBELUM BERBARING DI ATASNYA

IF 429 TILAM

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Isteri saya sering kali meminta saya untuk mengibas tempat tidur setiap kali kami hendak tidur, katanya ia adalah sunnah. Benarkah? Kalau benar, ada tak di sana doa atau bacaan khusus ketika mengibas tu? Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : “dan Kami turunkan kepadamu kitab (al-Quran) menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.”

(Surah al-Nahl : 89)

Melalui ayat di atas, kita ketahui bahawa Allah SWT telah menurunkan kepada Nabi Muhammad SAW al-Quran yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu yang memerlukan (berhajat) kepada penjelasan seperti hukum halal dan haram, balasan pahala, balasan buruk atau hukuman dan lain-lain. Selain itu, ia menjadi hidayah petunjuk buat mereka yang tersesat (daripada kebenaran), juga sebagai rahmat buat mereka yang telah membenarkan serta beramal dengannya (isi kandungan al-Quran) dan berita yang mengembirakan buat orang-orang yang beriman iaitu dengan pengakhiran yang baik. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 277)

Begitu juga, sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan Baginda SAW contoh ikutan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab : 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripadaNya, serta bersyukur kepadaNya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Mengibas tempat tidur

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya : “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh.” Riwayat Muslim (2714)

Di dalam riwayat lain datang dengan lafaz :

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ عَنْ فِرَاشِهِ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَلْيَنْفُضْهُ بِصَنِفَةِ إِزَارِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya : “Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.” Riwayat al-Tirmizi (3401)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas, menyatakan bahawa maknanya disunatkan untuk mengibas-ngibas tempat tidurnya sebelum dia berbaring di atasnya supaya tidak ada padanya apa-apa yang boleh membahayakan dirinya (memberi mudarat) seperti ular, atau kala jengking atau seumpamanya. Begitu juga, hendaklah dia mengibasnya dalam keadaan tangannya dilindungi (tertutup) dengan hujung kainnya, supaya tidak terjadi pada tangannya apa-apa perkara yang dibencinya, sekiranya di sana benar-benar ada (apa-apa yang boleh membahayakannya tadi). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/37-38)

Selain itu, perintah ini juga adalah supaya manusia sentiasa menjaga kebersihan dan jauh daripada segala perkara yang boleh menyakitkan atau memberi mudarat. Al-Mubarakfuri telah menukilkan daripada al-Tibi yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpesan supaya mengibas terlebih dahulu tempat tidur kerana dia tidak tahu apa yang ada di atas tempat tidurnya saat dia keluar (atau tiada) seperti tanah atau kotoran atau hama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/244)

Pesanan (peringatan) ini adalah merupakan tanda kasihnya Baginda SAW kepada umatnya sehinggakan saat hendak tidur pun, masih lagi mengingatkan agar mengibas tempat tidur supaya tiada serangga kecil atau hama yang akan mengganggu atau menyakitinya. (Lihat al-Ifsoh ‘an Ma’ani al-Sahhah, 6/281)

Begitu juga, boleh menggunakan kain atau apa sahaja yang sesuai bagi mengibas tempat tidur atau tilam. Al-Qari’ menyatakan sebab diperintahkan mengibas tempat tidur dengan kain kerana kebanyakkan masharakat Arab tidak ada pada mereka pakaian lain melainkan apa yang sedang dipakai seperti Izar (kain bawah) dan rida’ (kain atas). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/244)

Bacaan ketika mula mengibas

Sebagaimana yang dapat dilihat di dalam matan hadis di atas, bacaan yang perlu dibaca saat mula hendak mengibas ialah dengan menyebut nama Allah iaitu Bismillah. Al-Mubarakfuri telah menukilkan pendapat Al-Munawi yang menyatakan sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam… (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184) Selain itu, membaca basmalah juga bererti kita mengharapkan perlindungan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam apa jua perkara yang kita lakukan.

Setelah selesai mengibas sebanyak 3 kali atau sehingga diyakini sudah tiada apa-apa kotoran atau serangga yang memudaratkan, barulah boleh berbaring. Kemudian, membaca doa sebelum tidur.

Kata Ibn Battal ketika mengulas bacaan doa sebelum tidur bahawa pada doa ini terdapat penyerahan dan pengakuannya kepada Allah SWT bahawa Dia jualah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 10/88)

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa mengibas tempat tidur atau tilam dengan menggunakan kain atau apa-apa sahaja yang sesuai adalah merupakan antara sunnah dan adab-adab sebelum tidur yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Hikmahnya ialah supaya membersihkan tempat tidur berkenaan daripada kotoran atau tanah dan habuk yang berkemungkinan berada di atasnya. Juga, adalah supaya menghalau haiwan dan serangga berbisa seperti kala jengking, labah-labah, hama dan seumpamanya, yang mungkin bersembunyi di atas tilam, yang membahayakan orang yang akan tidur di atasnya.

Ketika mengibas bacalah ‘Bismillah’ dan mohonlah kepada Allah SWT agar menjaga diri kita daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Selain itu juga, marilah sama-sama kita amalkan dengan memulakan setiap aktiviti atau apa-apa sahaja perkara dengan basmalah kerana sabda Nabi SAW :

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya : “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” Riwayat Ahmad (8712)

Setiap orang Islam harus ingat mereka adalah merupakan hamba kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi mereka dan hanya kepadaNya sahajalah mereka memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan menjaganya (beramal dengannya), merangkumi setiap aktiviti siang malam.

Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai adab-adab lain yang boleh diamalkan ketika hendak tidur, bolehlah merujuk di dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-192.[1]

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah dan adab-adab yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/873-irsyad-al-fatwa-ke-192-hukum-tidur-secara-meniarap.