Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 435 : ADAKAH TERANGKAT FARDHU KIFAYAH SEKIRANYA SESEBUAH SURAU TIDAK DIHIDUPKAN

IF435

Soalan:

Saya tinggal di kondominium yang berpagar dan mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Kami mempunyai sebuah surau di dalam kondominium ini dan saya merupakan pengerusi surau. Kadangkala, saya ingin pergi ke masjid (di dalam kariah yang sama) untuk menghadiri majlis ilmu di sana. Namun sekiranya saya tiada, kadang-kadang surau tersebut kosong dan tiada orang yang berjemaah di sana. Adakah kami semua berdosa jika surau kami kosong (tiada jemaah) kerana tidak melaksanakan fardhu kifayah?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفَذِّ بسبع وعشرين درجة

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih utama daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganjaran”.

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah (Rujuk: Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289). Ia merupakan satu syi’ar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam

Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat berdasarkan ayat al-quran, firman Allah S.W.T:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: ”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah Al-Nisa’ : 102)

Berkata Imam Khatib Al-Syarbini: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Rujuk Mughni Al-Muhtaj, 1/350)

HUKUM SOLAT BERJEMAAH

Di sisi mazhab Syafie, hukum solat berjemaah mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab ialah fardhu kifayah. Ianya wajib dilakukan untuk menzahirkan syi’ar Islam di dalam sesebuah kariah atau kampung. (Rujuk: Minhaj al-Tolibin, 1/38).

Berkata Imam Al-Isnawi: “Para ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah fardhu kifayah berdasarkan hadis nabi  “أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذ”ِّ (lebih utama daripada solat bersendirian) iaitu yang dimaksudkan dalam ayat ‘sesiapa yang solat berseorangan’ adalah kerana gugurnya kewajipan fardhu kifayah ke atasnya dengan perbuatan (solat berjemaah) ahli kariah yang lain.

Dan berdasarkan hadis “مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ” (mana-mana kumpulan yang jumlahnya tiga orang), mereka mengatakan hadis ini menunjukkan hukum solat berjemaah adalah fadhu kifayah kerana tujuan berjemaah itu ialah untuk menzahirkan syi’ar agama, dan hal itu dapat dicapai dengan perbuatan sebahagian daripada mereka (ahli kariah)”. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/254).

Berkata Imam Khatib al-Syirbini : “Hukum solat jemaah ialah fardhu kifayah pada solat-solat maktubah (solat wajib lima waktu) ke atas lelaki merdeka yang bermukim menurut pandangan yang muktamad di sisi Imam Nawawi” (Rujuk: Al-Iqna' fi Halli Alfazi Abi Syuja’, 1/163). Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

مَا مِن ثَلاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لا تُقَامُ فِيهمُ الصَّلاةُ إِلاَّ قدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيكُمْ بِالجَمَاعَةِ

فَإِنَّمَا يأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ الغَنمِ القَاصِيَةَ

Maksudnya: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).” [Riwayat Abu Daud (547).Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah hasan]

Berkata Imam Al-Bujairimi: “Hukum solat jumaat ialah fardhu kifayah menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab ke atas lelaki yang merdeka, bermukim dan tiada uzur syar’i. Maka ia wajib didirikan untuk menzahirkan syi’ar agama di sisi ahli kariah, maka hendaklah didirikan di satu tempat di kariah yang kecil dan beberapa tempat bagi kariah yang besar atau bandar-bandar dan gugurlah dosa semua penduduk sekiranya didirikan jemaah oleh sebahagian daripada mereka sekalipun sedikit. Namun sekiranya ia (jemaah) didirikan di rumah, maka hal tersebut tidak diiktibar menzahirkan syi’ar agama maka tidak gugur kewajipan (fardhu kifayah) tersebut”. “Dan dhawabit (garis panduan) menzahirkan syi’ar itu ialah para jemaah boleh pergi ke masjid tersebut tanpa sebarang masyaqqah atau kesusahan, iaitu berbeza halnya dengan jika didirikan di rumah- rumah”.  (Rujuk: Hasyiyah al-Bujairimi, 2/312).

Berkata Imam Sulaiman al-Jamal: “Maka kami katakan hukumnya adalah fardhu kifayah iaitu sekiranya sebahagian ahli kariah telah mengerjakannya, maka gugurlah dosa penduduk yang lain, tetapi yang nyata adalah solat berjemaah tetap dituntut ke atas mereka yang lain (yang tidak hadir berjemaah) iaitu hukumnya makruh bagi mereka meninggalkan solat berjemaah”. (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal, 1/253)

Justeru, wajib dilaksanakan solat berjemaah sekurang-kurangnya di sebuah masjid dalam sesuatu kariah kerana hal tersebut telah mencapai matlamat untuk menzahirkan syi’ar agama di kariah tersebut. Adapun sekiranya solat berjemaah telah didirikan oleh sebahagian penduduk kariah di sebuah masjid (sekurang-kurangnya), maka hal itu sudah memadai untuk mengangkat kewajipan fardhu kifayah dan menggugurkan dosa sekalian penduduk kariah.

PERSEMPADAN KARIAH DI WILAYAH PERSEKUTUAN

Di Wilayah Persekutuan, sesuatu kariah beserta sempadannya diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Persempadanan kariah ini ditentukan mengikut jalan raya, sungai serta populasi penduduk berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak JAWI. Kebiasaannya, sesebuah kariah mempunyai satu Masjid Jamek, beberapa surau diri jumaat dan beberapa surau yang lain. Justeru, mengikut persempadanan kariah ini, sekiranya sebuah masjid di dalam sesuatu kariah telah didirikan solat berjemaah, maka telah memadai untuk mengangkat fardhu kifayah dan mengugurkan dosa sekalian ahli kariah yang lain.

Justeru, berbalik kepada soalan di atas kami cenderung mengatakan bahawa sekiranya surau kondominium tersebut tidak dihidupkan atau tiada orang solat berjemaah, maka sekalian penduduknya tidak menanggung dosa. Dengan syarat di kawasan kariah tersebut mestilah ada masjid yang didirikan solat berjemaah dan oleh yang demikian  hal itu dapat menzahirkan syi’ar agama kepada penduduk di dalam kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, kami menasihati penanya adalah lebih baik mendahulukan untuk bersolat di surau yang berdekatan terlebih dahulu dengan tujuan untuk mengimarahkan surau tersebut kecuali sekiranya ada keperluan mendesak untuk bersolat di masjid-masjid lain. Contohnya: untuk menuntut ilmu fardhu ain. Hal ini kerana para ulama’ mengatakan sekiranya sekitar tempatnya terdapat masjid atau surau yang tidak mempunyai jemaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/253). Namun, sekiranya berkesempatan, sekali sekala carilah peluang untuk ke masjid yang jemaahnya lebih ramai, supaya mendapat fadilat dan kelebihan solat dengan jemaah yang ramai.

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perbahasan ini:

AL-KAFI #1120: Hukum Solat Di Masjid Yang Jauh Dari Tempat Tinggal  http://bit.ly/38YoZMg

AL-KAFI #1469: Yang Manakah Lebih Baik, Menghidupkan Surau Yang Kurang Jemaahnya atau Pergi Ke Masjid Yang Jemaahnya Ramai? http://bit.ly/2SQG5q2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-209: Hukum Solat Di Masjid Yang Lebih Jauh Daripada Kediaman Kerana Takut Menjadi Imam Di Surau Kampung  http://bit.ly/2VbMu0G

Kesimpulan

Tuntasnya, hukum solat berjemaah ialah fardhu kifayah ke atas lelaki yang merdeka, bermukim dan tiada uzur syar’ie. Justeru, wajib didirikan solat berjemaah sekurang-kurangnya di sebuah masjid di dalam sesuatu kariah untuk menzahirkan syi’ar agama dalam kalangan ahli kariah di kawasan tersebut. Sekiranya telah didirikan solat berjemaah sekurang-kurangnya di sebuah masjid dalam sebuah kariah oleh sebahagian penduduk, maka telah memadai untuk mengangkat fardhu kifayah dan terbebasnya ahli kariah yang lain daripada menanggung dosa. Walau bagaimanapun, tuntutan solat berjemaah tidak gugur ke atas sebilangan penduduk (yang meninggalkannya) dan hukumnya makruh bagi mereka meninggalkan solat berjemaah. Wallhu a’lam.