SOALAN
Assalamualaikum Tuan Mufti. Persoalan saya adalah berkaitan penggunaan botol-botol arak yang terdapat padanya ukiran jenama arak di kedai makan hipster. Terdapat kedai makan seperti ini yang menyajikan minuman dalam botol-botol arak yang telah dibasuh. Adakah dibolehkan untuk kita menggunakan botol arak yang telah dibasuh untuk mengisi air selain arak? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Arak adalah sejenis minuman yang dilarang dan diharamkan oleh Islam kepada seluruh umat manusia. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menjelaskan perkataan al-rijs dalam ayat di atas digunakan untuk sejenis kotoran, sama ada yang nyata atau maknawi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1686)
Berdasarkan kepada ayat di atas, arahan Allah SWT untuk menjauhi arak digunakan berbanding larangan meminumnya. Ini kerana, larangan terhadap minuman arak tidak merangkumi tegahan yang lain seperti membeli, menjual atau membawanya. Adapun arahan menjauhi merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.
Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukan, suka untuk kami datangkan artikel-artikel berkaitan yang telah diberi penjelasan seperti berikut:
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224: Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya. Bacaan lanjut ke pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2384-irsyad-al-fatwa-siri-ke-222-hukum-duduk-di-dalam-majlis-yang-dihidang-arak-padanya
- Al-Kafi #1040: Hukum Menjual Tin Arak. Bacaan lanjut ke pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3011-al-kafi-1040-hukum-menjual-tin-arak
- Al-Kafi #1441: Hukum Bekerja Di Kilang Yang Terlibat Dengan Arak. Bacaan lanjut ke pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3824-al-kafi-1441-hukum-bekerja-di-kilang-yang-terlibat-dengan-arak
Menjawab kepada persoalan di atas, arak termasuk dalam kategori najis mutawassitah (pertengahan). Cara penyucian daripada najis jenis mutawassitah ini ialah dengan mengalirkan air ke atasnya dan menghilangkan kesan-kesan hingga ain najis tersebut dan juga sifat-sifatnya, sama ada warna, rasa dan bau, sama ada najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat. Namun demikian, tidak mengapa jika warnanya masih kekal disebabkan susah untuk menghilangkan warna seperti warna darah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/42)
Berdasarkan kepada kaedah pembersihan di atas, sekiranya botol arak tersebut telah dibersihkan daripada segala zat atau cecair arak, makan botol tersebut adalah suci dan boleh untuk digunakan. Ini kerana, perkara yang dihukumkan sebagai najis itu telah hilang sama ada warna, rasa dan bau. Justeru, penggunaan botol tersebut dihukum sebagai suci daripada sebarang najis.
Adapun begitu, kami melihat penggunaan botol-botol arak bagi tujuan minum minuman selain arak adalah perkara yang boleh mendatangkan persepsi negatif serta fitnah kepada individu muslim itu sendiri. Ianya juga jika dibudayakan boleh turut mendatangkan fitnah serta menjatuhkan martabat agama Islam itu sendiri. Perkara seperti ini perlu dijauhi sebagaimana satu kaedah menyebut:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”
Berdasarkan kepada kaedah di atas, kita disuruh untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada kepada diri sendiri atau kepada agama kerana perkara ini boleh mendatangkan kesan buruk.
Demikian juga terdapat tegahan daripada Nabi SAW yang melarang umat Islam daripada menyerupai atau meniru orang-orang kafir dari sudut identity atau lambang atau syiar mereka. Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Menurut Imam al-Son‘ani, hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)
Selain itu, kami melihat masih banyak alternatif lain yang boleh digunakan sebagai satu gantian kepada botol arak tersebut. Sekalipun ianya bukanlah bersifat hipster namun mencari keberkatan itu adalah lebih yang diutamakan berbanding yang lain.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa hukum menggunakan botol arak yang telah disucikan untuk meminum air selain arak adalah makruh dan tidak digalakkan. Hal ini kerana, suasana perkembangan teknologi pada hari ini amat memungkinkan akan mendatangkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri dan kepada individu itu khususnya. Disamping itu, perbuatan tersebut dilihat menyerupai golongan kafir. Hal ini sebaiknya ditinggalkan dan dijauhi. Ini sebagaimana saranan hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hasan bin 'Ali R.Anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tarmizi (2520) dalam Sunannya dan al-Nasai’e (5711)
Imam al-Tarzmizi menghukumkan hadith ini adalah ‘hasan sahih’.
Semoga penjelasan yang diberikan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan dalam kerangka syariat Islam yang sebenar. Amin.