Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-448 : HUKUM MAKAN DAGING MEMERANG

IF 448 Otters

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah otter atau memerang boleh dimakan oleh orang Islam? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut al-Maraghi (الطَّيِّبَاتِ) ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan (الْخَبَائِثَ) bermaksud melarang daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2420)

Definisi memerang dan habitatnya

Memerang atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai otter ialah Mamalia karnivor yang kebanyakannya akuatik (seperti genus Lutra atau Enhydra) daripada keluarga weasel yang biasanya mempunyai kaki berselaput dan berkuku serta berbulu coklat gelap.[1]

Memerang makan dari 15% hingga 25% berat badan mereka setiap hari. Mereka boleh menghabiskan sehingga lima jam setiap hari mencari makanan yang mereka perlukan untuk terus hidup. Mereka yang mempunyai anak memburu lebih banyak kerana ia memerlukan lebih banyak susu untuk diberikan kepada anak-anak mereka. Memerang betina boleh menghabiskan sehingga 8 jam sehari hanya untuk menyusu.

Secara umumnya, memerang akan mula memburu pada awal pagi dan lewat petang. Tetapi ada juga yang memburu pada waktu malam. Makanan utama memerang ialah ikan. Namun, mereka tidak cerewet dalam memilih makanan. Mereka akan makan apa sahaja yang ditemui agar dapat terus hidup seperti invertebrate (haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang), burung, katak, ketam, udang krai (crayfish) dan haiwan yang lebih kecil (daripada mereka). Mereka juga memakan cicak dan selainnya yang ditemui di darat, sekiranya perlu.[2] Malah, sebahagian spesies memerang telah dikenal pasti tidak lagi menangkap ikan (meninggalkannya), semata-mata mahu memburu arnab.[3]    

Memerang laut dapat kekal berada di dalam air (menyelam) lebih dari 5 minit dalam satu masa. Walau bagaimanapun, memerang sungai dapat menahan nafasnya semasa berada di dalam air sehingga 8 minit.[4]

Haiwan yang hidup di darat dan air (dua alam)

Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menukilkan bahawa ulama mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat bahawa tidak halal memakan haiwan dua alam kerana dianggap sebagai jijik dan kotor. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799) Walau bagaimanapun, melihat kepada kenyataan Imam al-Nawawi yang menyimpulkan bahawa :

الصَّحِيحُ الْمُعْتَمَدُ أَنَّ جَمِيعَ مَا فِي الْبَحْرِ تَحِلُّ مَيْتَتُهُ إلَّا الضِّفْدَعَ

Maksudnya : “Pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut adalah halal bangkainya (untuk dimakan) kecuali katak”. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/33)

Melihat kepada kenyataan di atas, apabila Imam al-Nawawi menyebutkan katak sebagai contoh, seolah-olah kesemua haiwan yang hidup dua alam seperti katak, buaya, ular air dan seumpamanya adalah halal dimakan melainkan ada nas yang melarangnya atau mudarat kepada pemakannya. Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap jijik. Dan diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/548-549)

Tambahan lagi, di dalam Asna al-Matalib (1/566), ada menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam laut (air) atau apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta dinisbahkan kepadanya (hidupan air). Dan sekiranya, haiwan tersebut tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk di dalam haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram (memakannya).

Hukum makan daging memerang

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Syeikh Daud al-Fatani telah menyebutkan di dalam kitab beliau bahawa berang-berang (memerang) haram dimakan kerana ia haiwan dua alam iaitu hidup di darat dan di laut.  (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 2/25)

Timbul persoalan, adakah benar memerang tergolong dalam kategori haiwan dua alam? Apabila dilihat kepada fakta dan habitatnya, memerang bukanlah tergolong dalam haiwan dua alam kerana ia tidak dapat hidup lama di dalam air. Oleh itu, yang lebih tepat ialah memerang merupakan haiwan mamalia yang hidup di darat tetapi mampu memburu di dalam air serta dapat menyelam di dalamnya dalam satu tempoh yang terhad.

Sekalipun begitu, kami tetap berpendapat bahawa daging memerang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan buas yang mempunyai taring yang kuat bagi memburu mangsanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat Abu Tha’labah bahawa :

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya : “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring”. Riwayat Muslim (1932)

Imam Syafie ketika menjelaskan perkara ini menyebutkan bahawa :

إنَّمَا يَحْرُمُ كُلُّ ذِي نَابٍ يَعْدُو بِنَابِهِ

Maksudnya : “Sesungguhnya haram (dimakan) setiap haiwan yang bertaring yang mana memburu (makanan) dengan taringnya”. (Lihat al-Umm, 2/272)

Oleh itu, terdapat haiwan lain yang juga memiliki taring tetapi tidak termasuk di dalam larangan ini kerana taringnya adalah lemah dan tidak menggunakannya bagi memburu haiwan lain sebagai makanan.

Memerang termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi

Lebih-lebih lagi memerang termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadual Pertama (seksyen 3), Bahagian 2 telah menyatakan bahawa haiwan daripada keluarga Mustelidae seperti Lontra Canadensis (River Otter), Lutra (Otters) dan lain-lain adalah termasuk dalam spesies hidupan liar lain yang dilindungi. (Lihat Akta 716, hlm. 106) Begitu juga, di dalam Jadual Kedua (seksyen 3) iaitu Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, telah memasukkan sejumlah besar haiwan daripada keluarga ini seperti memerang kecil (Aonyx cinerea), memerang utara (lutra lutra), memerang hidung berbulu (lutra sumatrana), dan lain-lain. (Lihat Akta 716, hlm. 145)

Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa memerang adalah merupakan haiwan yang haram untuk dimakan kerana ia adalah haiwan yang bertaring dan menggunakan taringnya bagi memburu haiwan lain sebagai makanan utamanya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui, memerang juga merupakan hidupan yang semakin pupus dan terancam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang (supaya dapat melihat dan mengenalinya).

Selain itu, memerang adalah merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716. Malah, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan undang-undang serta hukuman.

Pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur :

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya : “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1]Lihat Merriam-Webster Dictionary, https://www.merriam-webster.com/dictionary/otter. Telah diakses pada 6 Mac 2020.

[2]Lihat Otter-World, https://www.otter-world.com/otter-feeding/. Telah diakses pada 6 Mac 2020. Lihat juga, Seaworld Parks & Entertainment, https://seaworld.org/animals/all-about/otters/diet/. Telah diakses pada 6 Mac 2020.

[3] Lihat Discover Wildlife, https://www.discoverwildlife.com/animal-facts/mammals/otters-of-the-world/. Telah diakses pada 8 Mac 2020.

[4]Lihat 12 Facts about Otters for Sea Otter Awareness Week, https://www.doi.gov/blog/12-facts-about-otters-sea-otter-awareness-week. Telah diakses pada 8 Mac 2020.