Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Adakah beaver halal dimakan atau hukumnya sama seperti memerang (otter)? Sebabnya beaver adalah haiwan herbivor, berbeza dengan memerang. Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ ﴿٨٧﴾
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Maidah : 87)
Ayat dia atas merupakan peringatan buat orang-orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik-baik yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan dan minuman serta menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Juga mengingatkan agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)
Definisi beaver dan habitatnya[1]
Beaver terkenal sebagai haiwan yang sibuk dan ia menggunakan bakatnya untuk membina semula landskap yang hanya mampu dilakukan sebahagian kecil haiwan lain. Apabila terdapat kawasan yang sesuai, beaver akan mengorek lubang di tebing sungai dan tasik. Akan tetapi, haiwan ini turut mengubah kawasan yang kurang sesuai sebagai habitat dengan membina empangan. Dengan menebang dan menggerogot pokok dengan giginya yang tajam and rahangnya yang kuat, haiwan ini mewujudkan balak, dahan dan struktur lumpur yang besar untuk menahan sungai and menukar padang hutan menjadi kolam besar yang disukai oleh beaver.
Rumah beaver yang berbentuk seperti kubah atau juga dikenali sebagai penempatan, dibina dari dahan dan lumpur. Penempatan ini biasanya berada di lokasi strategik di tengah-tengah tasik dan penempatan ini hanya boleh dimasuki melalui beberapa laluan masuk di bawah air. Penempatan-penempatan ini ialah tempat tinggal keluarga lanjutan bagi keluarga ibu bapa monogami, anak beaver yang masih kecil dan anak beaver berumur antara satu dan dua tahun yang dilahirkan pada musim bunga tahun sebelumnya.
Beaver ialah antara rodensia yang terbesar. Ia adalah haiwan herbivor dan suka makan daun, kulit kayu, ranting, akar dan tumbuhan air. Haiwan rodensia yang besar ini bergerak dengan canggung secara terkedek-kedek di daratan tetapi berenang dengan pergerakan yang cantik di dalam air menggunakan kaki belakang renangnya seperti sirip renang dan ekornya yang berbentuk seperti pendayung berfungsi sebagai kemudi. Ciri-ciri ini membolehkan beaver berenang pada kelajuan sehingga lima batu sejam. Haiwan ini boleh berada di bawah air selama 15 minit tanpa naik ke permukaan air dan mempunyai sepasang kelopak mata lutsinar yang berfungsi seperti gogal. Bulu haiwan ini secara semulajadinya adalah berminyak and kalis air.
Terdapat dua spesies beaver yang boleh ditemui di hutan di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Haiwan ini aktif sepanjang musim sejuk, berenang dan mencari makanan di dalam kolam walaupun lapisan ais melitupi permukaan kolam tersebut.
Perbezaan antara beaver dan memerang
Terlebih dahulu, ingin kami tegaskan di sini bahawa beaver adalah haiwan yang berbeza dengan memerang (otter). Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hukum memakan memerang, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-448.[2] Kami nyatakan di sini beberapa perbezaan tersebut[3] :
- Memerang adalah haiwan karnivor manakala beaver adalah haiwan herbivor.
- Memerang adalah tergolong dalam order[4] Carnivora[5] manakala beaver pula tergolong dalam order Rodentia.[6]
- Memerang adalah haiwan yang dekat dengan keluarga weasel manakala beaver ialah haiwan yang dekat dengan keluarga tikus.
- Memerang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan kurus serta ekor yang tirus. Manakala beaver pula adalah lebih pendek dan gempal serta ekor yang panjang dan lebar.
Hukum memakan daging beaver
Secara umumnya, haiwan terbahagi kepada dua kategori iaitu haiwan yang hidup darat dan haiwan yang hidup di dalam air. Timbul persoalan, bahawa beaver ini tergolong dalam kategori haiwan yang mana iaitu darat atau air atau kedua-duanya sekali.
Mengenai perkara ini, di dalam Asna al-Matalib (1/566), ada menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam laut (air) atau apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta dinisbahkan kepadanya (hidupan air). Dan sekiranya, haiwan tersebut tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk di dalam haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram (memakannya).
Melihat kepada gaya hidup dan habitnya kami cenderung untuk mengatakan bahawa beaver tergolong dalam kategori haiwan darat kerana ia tidak dapat hidup lama (kekal) di dalam air. Paling lama beaver mampu berada di dalam air tanpa perlu naik ke permukaan air hanyalah selama 15 minit.[7]
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang ditanyakan kami cenderung mengatakan bahawa beaver harus dimakan dan mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain. Hal ini kerana asal hukum bagi haiwan darat adalah ianya diharuskan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT :
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Maidah : 1)
Beaver bukanlah tergolong dalam haiwan pemangsa yang memburu serta mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi beaver adalah merupakan haiwan herbivor yang mana hanya makan daun, kulit kayu, ranting, akar, tumbuhan air, paku pakis, rumput, pokok renek, jagung dan kacang. Dan beaver juga tidak akan makan daging sama sekali.[8]
Begitu juga, daging beaver sangat kaya dengan sumber protein. Selain itu, hatinya juga kaya dengan sumber vitamin A dan zat besi (iron). Oleh itu, daging beaver selamat dimakan. Dan merupakan salah satu makanan yang sangat berkhasiat. Manfaat memakan daging beaver adalah lebih banyak lagi berbanding risiko terdedah kepada pencemaran.[9]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa beaver harus dimakan dan mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain. Lebih-lebih lagi, beaver tergolong dalam kalangan haiwan herbivor yang hanya makan daun, kulit kayu, tumbuhan air dan lain-lain. Juga beaver sama sekali tidak akan makan daging.
Beaver juga bukanlah dari kalangan haiwan pemangsa yang menggunakan taringnya untuk memburu haiwan lain.
Selain itu juga, daging beaver telah dikenalpasti sebagai salah satu makanan yang selamat untuk dimakan. Juga makanan yang sangat berkhasiat dan kaya dengan sumber protein, vitamin A dan zat besi.
Ini bertepatan dengan saranan agama Islam yang meminta penganutnya, bukan sahaja memilih makanan yang halal tetapi mesti juga baik (berkualiti).
Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Lihat National Geographic, https://www.nationalgeographic.com/animals/mammals/b/beaver/. Telah diakses pada 11 Mac 2020.
[2] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4296-irsyad-al-fatwa-siri-ke-448-hukum-makan-daging-memerang.
[3] Lihat artikel bertajuk Difference Between Otters and Beavers, http://www.differencebetween.net/science/nature/difference-between-otters-and-beavers/. Telah diakses pada 11 Mac 2020.
[4] Order daripada bahasa Latin iaitu ordo, kata jamak ordines merupakan satu aras dalam pengelasan taksonomi organisma antara kelas yang kurang khusus dan famili yang lebih khusus, atau takson pada aras itu; sebagai penerangan, satu kelas mengandungi lebih daripada satu atau lebih aturan, dan satu aturan mempunyai satu atau lebih famili. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Order. Telah diakses pada 11 Mac 2020)
[5] Order Carnivora berasal dari bahasa Latin : carō iaitu daging, dan vorāre iaitu melahap. Ia merangkumi lebih 260 spesies mamalia plasenta. Hampir semua karnivora menjadikan daging sebagai makanan utama. Sesetengah famili seperti kucing, anjing, dan wesel hanya memakan daging, manakala famili lain seperti rakun dan beruang lebih cenderung kepada omnivor, bergantung pada persekitaran habitatnya. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Carnivora. Telah diakses pada 11 Mac 2020)
[6] Rodentia merupakan satu order mamalia yang bercirikan dua batang gigi acip yang sentiasa memanjang di rahang atas dan bawah, tetapi sentiasa dirapikan dengan menggerogot. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Rodensia. Telah diakses pada 11 Mac 2020)
[7] Lihat Wilderness Classroom Educational Adventures, http://www.wildernessclassroom.com/wilderness-library/beaver/. Telah diaksess pada 11 Mac 2020.
[8] Lihat Artikel bertajuk What Do Beavers Eat?, https://www.animalfoodplanet.com/what-do-beavers-eat/. Telah diakses pada 11 Mac 2020.
[9] Lihat Beaver Environmental Health – Contaminants Fact Sheet, https://www.hss.gov.nt.ca/sites/hss/files/resources/contaminants-fact-sheets-beaver.pdf. Telah diakses pada 11 Mac 2020.