Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-453 : HUKUM MASS CULLING ANAK AYAM JANTAN

IF 453 anak ayam

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Dalam industri penternakan ayam, anak ayam jantan yang baru menetas itu akan dibunuh serta merta bagi tujuan untuk mengurangkan kos chicken farm kerana anak ayam jantan kuat makan tetapi pembesarannya lambat. Proses ini dinamakan sebagai mass culling. Adakah agama membenarkan perkara ini? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl : 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Definisi Mass Culling

Cull bermaksud untuk memilih daripada satu kumpulan; atau untuk mengurangkan atau mengawal saiz sesuatu melalui kaedah penyingkiran iaitu dengan membunuhnya, lebih-lebih lagi yang lemah dan sakit.[1] Manakala Mass Culling pula ialah satu proses untuk mengasingkan organisma dari satu kumpulan mengikut ciri-ciri yang diinginkan atau tidak diinginkan. Dalam konteks industri pembiakkan haiwan, ia adalah suatu proses untuk menghapuskan atau mengasingkan haiwan-haiwan dari stok pembiakan berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti jantina atau spesies.[2]

Anak ayam jantan dianggap sebagai haiwan yang tidak bernilai atau waste products dalam industri daging dan telur. Dilaporkan lebih daripada tujuh billion anak ayam jantan telah dibunuh seluruh dunia setiap tahun, sama ada ia dicincang hidup-hidup dengan mesin mencincang (shredding machines) atau dengan gas atau dibuang di dalam tong sampah dan dibiarkan mati lemas.[3]

Berbuat baik kepada haiwan

Agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu  menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.” Riwayat Muslim (1955)

Berbuat baik kepada haiwan juga boleh menjadi sebab pengampunan Allah SWT sebagaimana kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa-dosanya disebabkan oleh perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan. Sabda Nabi SAW :

أنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا في يَومٍ حارٍّ يُطِيفُ ببِئْرٍ، قدْ أدْلَعَ لِسانَهُ مِنَ العَطَشِ، فَنَزَعَتْ له بمُوقِها فَغُفِرَ لَها

Maksudnya : “Seorang wanita pelacur telah melihat seekor anjing mengelilingi sebuah perigi pada suatu hari yang panas. Anjing tersebut telah menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita itu menanggalkan kasutnya (untuk menceduk air perigi tersebut) lalu memberinya minum. Oleh sebab perbuatannya itu, dia telah diampunkan dosanya”. Riwayat Muslim (2245)

Ancaman menzalimi haiwan

Nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat darinya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda :

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya : “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab : Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.” Riwayat al-Nasaie (4349)

Begitu juga, menyakiti dan menzalimi haiwan adalah termasuk dalam perbuatan yang diharamkan. Seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda :

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya :Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya”.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya :

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya : “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah”.

Riwayat al-Bukhari (2365)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami dengan tegas mengatakan bahawa membunuh anak ayam jantan dengan tujuan bukan untuk dimakan tetapi semata-mata bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung adalah haram dan berdosa. Perkara tersebut termasuk dalam perbuatan menyakiti dan menzalimi haiwan yang dilarang oleh syarak.

Kita juga dilarang daripada membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya (daripada penderitaan yang dialami). Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya (daripada kesakitan), seperti himar yang sakit berkekalan”. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 8/177 dan I’anah a-Talibin, 2/388)

Maka, kita fahami daripada kenyataan di atas bahawa sekiranya membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan bagi menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya pun tidak dibenarkan, apatah lagi membunuh haiwan yang boleh dimakan seperti anak ayam dengan tujuan bukan untuk dimakan adalah lebih-lebih lagi dilarang dan ditegah. Hal ini kerana perkara tersebut termasuk dalam kategori pembunuhan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak dan dianggap sebagai satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa.

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami dengan tegas mengatakan bahawa membunuh anak ayam jantan dengan tujuan bukan untuk dimakan tetapi semata-mata bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung adalah haram dan berdosa. Perkara itu termasuk dalam salah satu bentuk pembunuhan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak dan dianggap telah menyakiti serta menzalimi  haiwan yang bernyawa.

Lebih-lebih lagi, perbuatan membunuh haiwan bukan untuk perkara yang diizinkan oleh syarak seperti untuk dimakan akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT. Juga Rasulullah SAW secara jelas telah mengingatkan kita agar tidak menzalimi haiwan kerana akibatnya sangat berat.

Kami ingin memberi sedikit cadangan dan mengesyorkan sekiranya tidak mahu lagi menanggung kos-kos bagi anak-anak ayam jantan berkenaan, bolehlah memberinya kepada pihak yang mahu membelanya. Selain itu, anak-anak ayam berkenaan boleh dilepaskan di kawasan yang sesuai seperti hutan dan sebagainya untuk mencari makan sendiri kerana itu adalah lebih baik daripada membunuhnya dan disebabkan oleh pembunuhan itu kita menanggung akibatnya di hari akhirat kelak.

Kami akhiri dengan satu hadis bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi”.

Riwayat al-Bukhari (5997) dan Muslim (2318)

 

[1] Lihat Merriam-Webster, https://www.merriam-webster.com/dictionary/culling. Telah diakses pada 12 Mac 2020.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Culling. Telah diakses pada 12 Mac 2020.

[3] Lihat BBC News bertajuk France to ban culling of unwanted male chicks by end of 2021, https://www.bbc.com/news/world-europe-51301915. Lihat juga https://www.change.org/p/animal-stop-slaughtering-male-chicks-in-the-egg-industry. Telah diakses pada 12 Mac 2020.