Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-454: HUKUM SOLO TRAVELLING BAGI MUSLIMAH

irsyad454

Soalan

Assalamualaikum W.B.T. Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend di mana seorang wanita muslimah suka travel (melancong) secara solo ke luar negara dan juga di dalam negara. Bukan itu sahaja, bahkan mereka turut menguar-uarkan dalam media sosial. Soalan saya, bolehkah seorang Muslimah melancong secara solo? Bukankah perlu kepada peneman dan sebagainya? Terima kasih Datuk.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:

لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.

Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)

Atau dalam riwayat yang lain:

لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم

Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”

Riwayat al-Bukhari (1763)

Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya[1]. Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.

Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram. Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram. Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/37-38].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini. Perkara yang menjadi persoalan pada artikel kali ini adalah berkenaan trend masa kini iaitu orang mula melancong ke luar negara atau tempat-tempat lain secara sendiri. Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.

Kami juga ada membincangkan perkara yang lebih kurang sama dengan tajuk ini dalam satu artikel khas bertajuk AL-KAFI LI AL-FATAWI #530: WANITA MENYERTAI MISI BANTUAN TANPA MAHRAM. Dalam artikel tersebut juga, kami ada membincangkan berkenaan hukum bagi sebahagian wanita bersama-sama NGO dalam menyertai misi bantuan, ia dibolehkan namun perlu meraikan beberapa syarat.

Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:

Pertama: Haram

Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.

Kedua: Harus

Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]

Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:

  • Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
  1. Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
  • Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
  • Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka:

يجوز للمرأة أن تسافر بدون مَحرَم بشرط اطمئنانها على الأمان في دينها ونفسها في سفرها وإقامتها وعودتها، وعدم تعرضها لمضايقاتٍ في شخصها أو دِينها.

Maksudnya: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.

Hal ini boleh diambil dari salah satu athar

قَالَ عَدِيٌّ فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنْ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ لَا تَخَافُ إِلَّا اللَّهَ

Maksudnya: ‘Adiyy berkata: " aku melihat seorang wanita mengendarai kenderaan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan tawaf di Ka'bah tanpa takut kecuali kepada Allah S.W.T.

Riwayat al-Bukhari (3595)

Maka, daripada hadith ini, ulama’ mengambilnya sebagai salah satu dalil yang mengharuskan permusafiran seorang wanita sekiranya aman. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menambah lagi:

 ومما سبق يتبين لنا أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلًا. والله سبحانه وتعالى أعلم

Maksudnya: Dan berdasarkan keterangan ini, dapatlah difahami bahawa keamanan merupakan ‘illah di sisi fuqaha’ dalam mengharuskan dan juga menghalang permusafiran. Disebabkan itu, kami datangkan ke atasnya satu fatwa bahawa permusafiran wanita secara bersendirian menggunakan apa-apa cara musafir yang aman, laluan yang menjadi tumpuan orang ramai, kawasan yang tidak sunyi, sama ada di pelabuhan, lapangan terbang dan jalan perhubungan awam yang lain, maka ia dibenarkan secara syarak dan tiada kesusahan ke atasnya padanya (untuk bermusafir) sama ada permusafiran yang wajib, sunat atau harus, dan sesungguhnya hadith-hadith yang melarang wanita dari musafir tanpa mahram adalah kerana digantungkan pada keadaan ketiadaan aman, maka sekiranya wujud keamanan tidak terangkum pengharaman ke atas permusafiran secara asalnya.

Penutup

Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:

1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.

2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.

3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.

Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

[1] Orang (lelaki ataupun perempuan) yang haram dinikahi (mengikut hukum Islam) kerana hubungan kekeluargaan yang rapat, hu­bungan susuan dsb (seperti ibu, anak susuan, adik beradik dsb). (Kamus Dewan Edisi Keempat).