SOALAN
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang solat jemaah bagi perempuan. Bagaimana kedudukan seorang imam perempuan dengan jemaah perempuan yang lain? Kalau makmum ramai, adakah imam akan berdiri di depan saf makmum? Dan kedudukan makmum jika dia hanya seorang, adakah di sebelah kanan atau kiri imam?
JAWAPAN
Muqaddimah
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ، وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ
Maksudnya: Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid, (akan tetapi sebenarnya solat) di rumah-rumah mereka itu lebih baik bagi mereka.
Riwayat Abu Daud (567)
Hadis di atas menyatakan bahawa solat bagi seorang perempuan di rumahnya adalah lebih baik berbanding solat di masjid kerana ia lebih selamat dan aman daripada berlakunya fitnah. Perkara ini amat ditekankan apabila wujudnya dalam kalangan perempuan perhiasan yang berlebihan dan tabarruj (dalam berpakaian). [Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/193]
Namun begitu, ia tidak bermaksud bahawa seorang perempuan tidak boleh melakukan solat secara berjemaah sekiranya tidak solat di masjid. Malahan solat jemaah ini boleh dilakukan di rumah bersama ahli keluarga perempuan yang lain. Ini berdasarkan sebuah hadis dari Ummu Waraqah:
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزُورُهَا فِي بَيْتِهَا وَجَعَلَ لَهَا مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ لَهَا، وَأَمَرَهَا أَنْ تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا
Maksudnya: Rasulullah SAW menziarahi Ummu Waraqah di rumahnya, dan menjadikan seorang muazzin untuk mengazankan untuknya. Dan mengizinkannya menjadi imam kepada ahli keluarganya (dalam kalangan perempuan).
Riwayat Abu Daud (592)
Seorang perempuan boleh menjadi imam walaupun baginya seorang makmum. Para fuqaha’ bersepakat bahawa bilangan jemaah yang paling sedikit adalah dua orang (iaitu seorang imam dan seorang makmum) kecuali dalam solat Jumaat. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/281]
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَأَذِّنَا وَأَقِيمَا ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا
Maksudnya: Apabila telah masuknya waktu solat, maka laungkan azan dan iqamat, kemudian yang mengimamkan solat adalah yang paling tua di antara kalian berdua.
Riwayat al-Bukhari (658)
Imam al-Bukhari telah menyatakan hadis ini dalam bab ‘Dua Orang atau Lebih Dianggap Jemaah’ (اثْنَانِ فَمَا فَوْقَهُمَا جَمَاعَةٌ).
Kami juga telah menjelaskan hukum seorang perempuan menjadi imam dalam artikel kami Bayan Linnas Siri ke-91: Lelaki Berimamkan Wanita Di Dalam Solat https://www.muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/850-bayan-linnas-siri-ke-91-lelaki-berimamkan-wanita-di-dalam-solat
Kedudukan Imam Perempuan dan Makmum
Dalam jemaah perempuan, kedudukan imam perempuan hendaklah berada di tengah-tengah makmum perempuan.
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:
السُّنَّةُ أَنْ تَقِفَ إمَامَةُ النِّسَاءِ وَسْطَهُنَّ لِمَا رُوِيَ أَنَّ عَائِشَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ أَمَّتَا نِسَاءً فَقَامَتَا وَسْطَهُنَّ
Maksudnya: Sunnahnya berdiri imam perempuan di tengah jemaah wanita seperti mana diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Ummu Salamah mengimamkan jemaah wanita dan beliau berdua berdiri di tengah- tengah jemaah.
[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/295]
Adakah imam perempuan perlu berdiri terkeluar sedikit daripada saf makmum?
Secara umumnya, disunatkan kedudukan makmum jika hanya berdua dengan imam – walaupun makmum tersebut perempuan – hendaklah tidak melebihi kedudukan imam, dan afdhal menjarakkan kedudukannya ke belakang sedikit daripada imam. Ini adalah untuk menzahirkan kedudukan imam dan ia juga merupakan satu adab dalam solat berjemaah. [Lihat Busyra al-Karim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah hlm. 373]
Menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj [1/490]:
وَيُنْدَبُ تَخَلُّفُهُ أَيْ الْمَأْمُومِ عَنْ الْإِمَامِ (قَلِيلًا)... (وَالِاعْتِبَارُ) فِي التَّقَدُّمِ وَغَيْرِهِ لِلْقَائِمِ (بِالْعَقِبِ) وَهُوَ مُؤَخَّرُ الْقَدَمِ لَا الْكَعْبِ، فَلَوْ تَسَاوَيَا فِي الْعَقِبِ وَتَقَدَّمَتْ أَصَابِعُ الْمَأْمُومِ لَمْ يَضُرَّ
Maksudnya: Disunatkan makmum berdiri di belakang sedikit dari kedudukan imam… Dan yang dimaksudkan dengan mendahului dan sebagainya, bagi yang berdiri ketika solat adalah dengan melihat tumit, iaitu bahagian hujung kaki dan bukanlah buku lali. Namun sekiranya tumit imam dan tumit makmum selari dan terkehadapan jari kaki makmum, maka ia tidak mengapa.
Imam Qalyubi juga berkata bahawa hukumnya makruh sekiranya makmum berdiri selari dengan imam walaupun dalam jemaah perempuan. [Lihat Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/272]
Namun begitu, bagi jemaah perempuan dengan bilangan makmum perempuan yang ramai, imam perempuan tidak perlu untuk keluar berdiri di hadapan makmum seperti mana imam lelaki. Cukup imam berdiri di hadapan sedikit daripada saf makmum tersebut seperti mana keadaan imam bersama seorang makmum sahaja.
Tujuan imam perempuan berada di tengah makmum walaupun makmum perempuan ramai adalah kerana kedudukan di tengah-tengah itu lebih tertutup (kerana ditutupi oleh makmum di sebelahnya) berbeza dengan imam lelaki dalam solat jemaah yang mana kedudukannya adalah di hadapan jemaah makmum. . Ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Mawardi:
فَالْأَوْلَى لِمَنْ أَمَّ مِنْهُنَّ أَنْ تَقِفَ وَسَطَهُنَّ، لِأَنَّ ذَلِكَ أَسْتَرُ لَهَا
Maksudnya: Diutamakan bagi sesiapa menjadi imam daripada kalangan perempuan, untuk berdiri imam tersebut di tengah-tengah jemaah perempuan kerana ia lebih tertutup baginya.
[Lihat: al-Hawi al-Kabir, 2/356]
Dimaksudkan dengan berdiri di tengah-tengah makmum perempuan (وَسَطَهُنَّ) adalah agar imam tidak taqaddum iaitu berdiri di hadapan (seperti mana imam lelaki) dan bukan juga untuk berdiri selari (istiwa’) dengan makmum perempuan di kanan dan kirinya. Tetapi hendaklah imam ke hadapan sedikit (تقدم يسير) supaya dapat membezakan antara imam dan makmum yang lain. [Lihat Hasyiyah al-Jamal, 1/545]
Maka kedudukan bagi makmum perempuan yang ramai adalah berdiri di sebelah imam dan belakang sedikit dari kedudukan imam.
Sekiranya hanya seorang makmum sahaja, maka kedudukan makmum tersebut berada di sebelah kanan imam seperti imam lelaki dan seorang makmum lelaki. [Lihat Hasyiyah al-Jamal, 1/545] Ini berdasarkan umum hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A:
نِمْتُ عِنْدَ مَيْمُونَةَ، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ، فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَنِي فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ
Maksudnya: Aku bermalam di rumah Maimunah (ibu saudaranya sebelah ibu) iaitu isteri Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW di rumahnya pada malam itu. Kemudian Rasulullah SAW berwudhu, lalu bangun mendirikan solat. Dan aku datang berdiri di sebelah kirinya, lalu Rasulullah SAW mengambilku dan menempatkanku di sebelah kanannya.
Riwayat Muslim (763)
Hadis ini jelas menyatakan bahawa afdhal bagi seorang makmum berdiri di sebelah kanan imam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Ibn Abbas R.A.
Penutup
Tuntasnya, dalam solat jemaah perempuan, kedudukan imam adalah di tengah-tengah saf makmum perempuan. Jika makmum tersebut hanya seorang, maka makmum berdiri di sebelah kanan imam. Manakala sekiranya makmum perempuan dalam bilangan yang ramai, maka makmum berdiri di sebelah kanan dan kiri imam di dalam saf yang sama dan bukanlah berdiri di belakang imam. Di samping itu, sunat bagi makmum perempuan untuk menzahirkan sedikit kedudukan imam di antara mereka dengan berdiri belakang sedikit daripada imam.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dalam urusan agama.