Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-487 HUKUM MENGAITKAN AYAT AL-QURAN BERDASARKAN ANGKA DENGAN SESUATU KEJADIAN

if487

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan berkenaan dengan kejadian baru-baru ini. Timbul isu berkenaan dengan bilangan pesakit covid-19 yang dikaitkan dengan ayat al-Quran seperti contoh kejadian pada hari 3 april bilangan pesakit sebanyak 3333 dengan jumlah kematian 3 orang serta dikaitkan dengan dengan surah yang ke 33 dan ayat 33 di dalam al-Quran. Kebetulan ayat itu menyebut “وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ” kemudian dikaitkan dengan virus corona. Adakah ia adalah kebetulan, mungkin Pejabat Mufti boleh bagi penjelasan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran al-Karim merupakan mukjizat yang relevan sepanjang zaman dan ianya diturunkan kepada Baginda Nabi SAW. Ini kerana al-Quran merupakan sumber rujukan utama dalam kehidupan manusia. Justeru, dalam memahaminya seperti mentafsir dan mentakwil ayat al-Quran mestilah berpandukan apa yang diajar oleh Baginda Nabi SAW, para sahabat, tabi’in dan para ulama dengan berpandukan kaedah dan disiplin ilmu yang benar.

Justeru Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada sesiapa yang tidak menguasai ilmu yang khusus dalam pentafsiran al-Quran supaya tidak membahas berkenaan dengannya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA sabda Nabi SAW:

وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Dan barang siapa yang menyebut (sesuatu) berkenaan al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka sedialah tempatnya di dalam neraka

Riwayat al-Tirmizi (3205)

Imam Suyuti menukilkan pandangan Ibnu al-Anbari menyebut, sesiapa yang berkata sesuatu tentang permasalahan di dalam al-Quran dengan tidak mengetahui berkenaan dengan pandangan mazhab generasi awal daripada Sahabat dan Tabi’in RA maka ia berhadapan dengan kemurkaan Allah SWT. (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 4/212)

Dalam mentafsir dan membahaskan ayat al-Quran, Imam al-Suyuti meletakkan beberapa garis panduan kepada seseorang itu supaya menguasai beberapa ilmu untuk membolehkan ia membahaskan berkenaan dengan pentafsiran ayat al-Quran:

  • Ilmu Lughah (Bahasa) kerana bertujuan memahami maksud ayat, lafaz, dan dalil-dalil di dalam al-Quran. Selain itu, seseorang itu juga mestilah mahir di dalam ilmu Nahu, Sorf, Isytiqaq, Ma’ani, Bayan dan Badi’.
  • Ilmu Qiraat supaya dapat mengetahui cara sebutan al-Quran.
  • Ilmu usuluddin, ini kerana ianya dapat membezakan dalil ayat bagi perkara yang mustahil, perkara yang wajib dan perkara yang harus bagi Allah SWT.
  • Ilmu fiqh dan usul al-Fiqh supaya dapat mengenali dalil untuk mengeluarkan hukum.
  • Ilmu Asbab Nuzul ayat bagi mengetahui kisah dan sebab diturunkan ayat al-Quran. Begitu juga ilmu Nasakh dan Mansukh.
  • Ilmu Hadis Nabawi supaya dapat mentafsirkan ayat Mujmal dan Mubham

(Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 4/212-215)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, ayat ke 33 dari surah yang ke 33 merupakan Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab, 33)

Imam al-Qurtubi menyebut, yang dimaksudkan ayat di atas adalah perintah Allah SWT supaya menetap di dalam rumah, dan ianya adalah perintah kepada isteri-isteri Baginda Nabi SAW. Imam Qurtubi menyebut lagi, bahawa perintah ini adalah bagi memuliakan mereka dan melarang mereka daripada mendedahkan diri mereka seperti golongan Jahiliyyah. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/179)

Ini jelas bahawa ayat di atas merupakan perintah Allah SWT kepada khususnya isteri-isteri Baginda Nabi SAW dan umumnya kepada seluruh golongan muslimat bagi menjaga adab dan diri mereka dengan tetap tinggal di dalam rumah bagi menjaga kesucian diri mereka melainkan terdapat hajat dan keperluan yang tertentu.

Tafsir al-Quran Menurut Pendapat Sendiri

Dalam mentafsir al-Quran, secara asasnya hendaklah seseorang itu mempunyai kelayakan dari sudut ilmunya supaya dapat memahami dan mendalami apa yang disampaikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya, bahawa diharamkan bagi seseorang itu mentafsirkan al-Quran tanpa mempunyai ilmu dan bercakap berkenaan maknanya bagi sesiapa yang bukan ahlinya. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/165)

Dalam kategori Tafsir bi ra’yi (Tafsir dengan Ijtihad) mestilah seseorang itu mahir di dalam Bahasa Arab, mengetahui lafaz-lafaz arab serta wajh al-dilalahnya, asbab al-Nuzul, Nasakh dan Mansukh dan seumpanya. Justeru ia boleh dibahagikan kepada pecahan seperti berikut:

  • Tafsir bi Ra’yi dari individu yang berkelayakan. Iaitu seseorang yang menguasai ilmu-ilmu seperti Bahasa arab, Nahu, Sorf, Balaghah, ilmu hadis serta cabang-cabang ilmu yang berkaitan dengan al-Quran. Hal ini dapat dilihat pada sahabat Nabi SAW yang saling berbeza pandangan dan ijtihad mereka dan tafsiran ayat al-Quran.
  • Tafsir bi Ra’yi dari orang yang tidak berkelayakan. Mereka ini mentafsirkan al-Quran dengan menggunakan pendapat sendiri dan nafsu. Sedangkan mereka ini tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu di dalam mentafsirkan ayat Allah SWT. Allah SWT melarang daripada melakukan perkara berikut melalui Firman-Nya:

إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan perkara yang buruk lagi keji. Serta menyuruh kamu berkata kepada Allah S.W.T akan sesuatu yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Baqarah, 169)

Dalam permasalahan ini kami telah menjawab dengan tuntas di dalam artikel yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 282: HUKUM TAFSIR AL-QURAN MENURUT PENDAPAT SENDIRI.[1]

Tafsir al-Quran Berasaskan Angka yang Dibawa Oleh Rasyad Khalifah

Dalam pentafsiran al-Quran berasaskan angka dan dikaitkan dengan keadaan semasa, ianya lebih dekat dengan apa yang dibawa oleh pemahaman Dr. Rashad Khalifah yang memperkenalkan asas al-Quran berdasarkan angka 19.

Dr. Rashad Khalifah merupakan kelahiran Mesir pada tahun 1935 yang menetap di Amerika. Dilahirkan di wilayah Kafr al-Ziyyat Gharbiyah Mesir.Beliau memperkenalkan penafsiran al-Quran bersandarkan angka 19, dan mendakwa dirinya sebagai rasul serta mendakwa dua daripada ayat al-Quran iaitu surah al-Taubah ayat 128 dan 129 sebagai ungkapan daripada syaitan.[2]

Asas pemikiran berdasarkan angka 19 di atas dakwaan berdasarkan kalimah (بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ) yang mempunyai 19 huruf dengan berpandukan Firman Allah SWT (عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ). [3] Selain itu, ajaran dan pemikiran Rashad Khalifah di Malaysia yang dibawa oleh Dr. Yusuf Noor dengan berdasarkan karya Rashad Khalifa iaitu Miracle of the Quran. Begitu juga pengaruh Rashad Khalifa yang dibawa oleh Kassim Ahmad yang menyatakan seluruh kandungan al-Quran disusun berasaskan “kode 19” iaitu angka kunci dan merupakan mukjizat al-Quran. (Lihat Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, hlm. 140)

Dr Hassan Abbas menyebut di dalam kitabnya, bahawa Rashad Khalifah secara hakikatnya beliau merupakan orang yang memerangi Islam serta menipu umat Islam dan menghina Baginda Nabi SAW. (Lihat I’jaz al-Quran al-Karim, hlm. 357)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas serta perbahasan yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa tidak layak bagi seseorang itu mentafsirkan al-Quran mengikut pandangannya sendiri sekiranya ia tidak memiliki ilmu sepertimana yang digariskan oleh para ulama. Dan menjadi satu kesalahan yang besar sekiranya ia menyebarkan sesuatu perkara tanpa berlandaskan ilmu yang benar. Bahkan mengaitkan ayat al-Quran dengan angka tertentu serta kejadian tertentu tanpa asas dan nas syarak merupakan satu tafsiran yang salah di sisi syarak dan ini merupakan satu penipuan ke atas ayat Allah SWT. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-A’raf, 33)

Begitu juga Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’, 36)

Justeru, dikesempatan ini kami menasihatkan supaya tidak menyebarkan sesuatu berita atau perkara yang tidak benar. Hal ini kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat serta boleh membawa fitnah kepada agama Islam itu sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya.

 

[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3005-irsyad-al-fatwa-siri-ke-282-hukum-tafsir-al-quran-menurut-pendapat-sendiri

[2]https://www.almasryalyoum.com/news/details/645934

[3] https://www.alukah.net/sharia/0/38450/