Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 498 : HUKUM MENJAUHKAN DIRI DARI PESAKIT YANG MENGHIDAP PENYAKIT BERJANGKIT

IF 498

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, apa hukum kita menjauhkan diri dari pesakit yang menghidap penyakit berjangkit ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini, terdapat sebuah hadis yang menunjukkan perintah Rasulullah S.A.W agar menjauhi pesakit kusta yang merupakan salah satu penyakit berjangkit. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ

Maksudnya : Dan larilah kamu dari pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari singa.

Riwayat Al-Bukhari (5707)

Para ulama hadis ketika mensyarahkan hadis ini mengemukakan beberapa pandangan yang kami kongsikan seperti berikut :

Pertama : Sebahagian ulama mengingkari hadis ini atas alasan ia bercanggah dengan petunjuk Nabi S.A.W. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah makan bersama pesakit kusta serta duduk bersamanya. Demikian juga para sahabat Nabi S.A.W turut melakukan perkara yang sama. Antara hujah yang digunakan adalah sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin Al-Qasim daripada bapanya beliau berkata :

أن وفد ثقيف أتوا أبا بكر الصديق فأتى بطعام فدعاهم فتنحى رجل، فقال مالك؟ قال مجذوم فدعاه وأكل معه

Maksudnya : Gerombolan tetamu dari kalangan Tsaqif telah datang bertemu dengan Abu Bakr Al-Siddiq. Kemudian Abu Bakr menghidangkan makanan dan mengajak mereka makan bersama. Lalu seorang lelaki menjauhkan diri dari tempat tersebut dan Abu Bakr berkata : ‘’Mengapa dengan kamu ?’’. Lelaki itu menjawab : ‘’Aku dijangkiti kusta’’. Kemudian Abu Bakar memanggil lelaki tersebut dan makan bersamanya.

Mereka juga berhujah dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ أَخَذَ بِيَدِ رَجُلٍ مَجْذُومٍ فَأَدْخَلَهَا مَعَهُ فِي الْقَصْعَةِ ثُمَّ قَالَ ‏كُلْ ثِقَةً بِاللَّهِ وَتَوَكُّلاً عَلَى اللَّهِ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah memegang tangan seorang lelaki yang dijangkiti penyakit kusta lalu mengajak lelaki tersebut makan bersama baginda, kemudian baginda bersabda : ‘’Makanlah kamu dalam keadaan tsiqah (percaya) dengan Allah serta bertawakkal kepada Allah’’.

Riwayat Ibn Majah (3542)

Kedua : Manakala sebahagian ulama yang lain mensahihkan khabar ini. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah mengarahkan untuk melarikan diri dari mereka yang dijangkiti penyakit kusta, serta berjaga-jaga dari makan dan minum bersamanya. Maka tidak boleh bagi seseorang yang telah mengetahui hal tersebut melainkan dia perlu melarikan diri dari orang yang dijangkiti kusta.

Para ulama ini berhujah menggunakan sebuah riwayat daripada Al-Zuhri bahawasanya Umar Ibn al-Khattab R.A pernah berkata kepada Mu’aiqib (Ibn Abi Fathimah Al-Dausi) R.A yang dijangkiti penyakit kusta dengan katanya :

اجْلِس مِنِّي قَيْدَ رَمْحٍ

Maksudnya : Duduklah dengan kadar panjang galah jaraknya dari aku.

Manakala ada sebuah riwayat lagi dari Kharijah bin Zaid beliau berkata :

كَان عُمَر إذَا أتى بِالطَّعَامِ وعِندَهُ مُعَيْقِيب قَالَ كُلْ مِمَّا يَلِيكَ، وَايمُ الله لَو غَيركَ بِهِ مَابِكَ مَاجَلسَ مِنِّي على أدنى مِن قَيدِ رَمْحٍ

Maksudnya : Umar dahulu apabila dihidangkan makanan kepadanya dalam keadaan di sisi beliau ada Mu’aiqib beliau berkata : ‘’Makanlah dari apa yang hampir dengan kamu. Demi Allah sekiranya orang lain selain kamu dengan penyakit ini nescaya aku tidak akan benarkan duduk berhampiranku kurang dari panjang sebatang galah jaraknya’’.

Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (9/413)

Kami juga menyatakan bahawa hal ini juga dapat dilihat berdasarkan perbuatan Rasulullah S.A.W seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amru dari bapanya beliau berkata :

كَانَ فِي وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ارْجِعْ فَقَدْ بَايَعْتُكَ

Maksudnya : Dahulu dari kalangan delegasi Tsaqif terdapat seorang lelaki yang dijangkiti kusta. Lalu Nabi S.A.W menyampaikan ucapan kepadanya : ‘’Pulanglah kamu, sesungguhnya aku telah menerima bai’ah kamu’’.

Riwayat Al-Nasa’ie (4182)

Maka jelas daripada hadis ini bahawa Rasulullah S.A.W tidak berbai’ah sebagaimana kebiasaan baginda iaitu berjabat tangan, namun memadai dengan pemakluman lisan sahaja apabila melibatkan seseorang yang dijangkiti penyakit kusta.

Imam Ibn Battal setelah menukilkan kedua-dua pendapat di atas ini beliau berkata : ‘’Bukanlah perintah Nabi S.A.W agar melarikan diri dari pesakit kusta itu menyelisihi perbuatan duduk bersamanya. Ini kerana baginda kadangkala menyuruh sesuatu dalam bentuk hukumnya sunat, dan kadangkala arahan datang dalam bentuk hukumnya harus. Kemudian baginda meninggalkan ia supaya dapat memberitahu bahawa perintah tersebut bukanlah dalam bentuk kemestian (wajib). Demikian juga baginda kadangkala melarang sesuatu dalam bentuk hukumnya makruh dan kadangkala bertujuan untuk mendidik. Kemudian baginda melakukannya untuk memberitahu bahawa larangan tersebut bukanlah menunjukkan kepada pengharaman’’.

Ibn Battal kemudiannya menukilkan kata-kata Ibn Habib yang menyebut : Demikian juga dilarang bagi mereka yang dijangkiti penyakit kusta dari memasuki masjid serta dilarang bercampur dengan orang ramai sebagaimana yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab bahawa beliau pernah melihat seorang perempuan yang dijangkiti kusta mengerjakan tawaf di Baitullah, lalu beliau berkata :

يَا أمَةَ الله، اقْعُدِي فِى بَيتِكِ وَلَا تُؤذِي النَّاس

Maksudnya : Wahai hamba Allah, duduklah kamu di rumah kamu dan janganlah kamu menyakiti orang ramai.

Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (9/413)

Inilah juga yang menjadi pegangan para ulama Al-Syafi’eyyah iaitu menghalang mereka yang dijangkiti penyakit berjangkit dari memasuki masjid atau tempat berkumpulnya orang ramai. Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Imam Al-Syafi’e berkata :

وَقَدْ نَقَلَ الْقَاضِي عِيَاضٌ عَنْ الْعُلَمَاءِ أَنَّ الْمَجْذُومَ وَالْأَبْرَصَ يُمْنَعَانِ مِنْ الْمَسْجِدِ وَمِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ وَمِنْ اخْتِلَاطِهِمَا بِالنَّاسِ

Maksudnya : Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan pendapat dari para ulama yang menyatakan bahawa seseorang yang menghidap penyakit kusta dan sopak dihalang dari masuk ke dalam masjid dan (dihalang) mendirikan solat Jumaat serta tidak dibenarkan bercampur dengan orang ramai. Rujuk Asna Al-Mathalib, Zakaria Al-Ansari (1/215).

Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam menjelaskan sebab larangan tersebut adalah kerana takutkan kemudaratan darinya (penyakit yang berjangkit) maka ketika ini perbuatan menghalang tersebut menjadi wajib. Rujuk Al-Fatawa al-Fiqhiyyah Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Haitami (1/212).

Manakala Imam Ibn Hajar Al-‘Asqalani dalam mengulas isu ini, beliau menyatakan bahawa berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan hadis-hadis dalam isu ini. Sebahagian mereka menyatakan bahawa perintah supaya menjauhi pesakit kusta itu telah Mansukh, manakala sebahagian lain berpandangan sebaliknya. Kemudian beliau berkata :

وَالصَّحِيحُ الَّذِي عَلَيْهِ الْأَكْثَرُ وَيَتَعَيَّنُ الْمَصِيرُ إِلَيْهِ أَنْ لَا نَسْخَ بَلْ يَجِبُ الْجَمْعُ بَيْنَ الْحَدِيثَيْنِ وَحَمْلُ الْأَمْرِ بِاجْتِنَابِهِ وَالْفِرَارُ مِنْهُ عَلَى الِاسْتِحْبَابِ وَالِاحْتِيَاطِ وَالْأَكْلُ مَعَهُ عَلَى بَيَانِ الْجَوَازِ

Maksudnya : Pendapat yang sahih seperti yang dipegang oleh majoriti ulama serta menjadi tuntutan untuk kita berpegang kepadanya adalah, tidak berlakunya penasakhan. Bahkan wajib untuk kita menghimpunkan antara dua hadis dan meletakkan perintah baginda untuk menjauhi serta melarikan diri darinya (pesakit kusta) adalah dalam bentuk hukumnya mustahab (disunatkan) dan juga sebagai langkah berjaga-jaga. Manakala perbuatan makan bersama pesakit kusta itu adalah bagi menjelaskan keharusan hal tersebut.

Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar Al-‘Asqalani (10/159)

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menjauhkan diri dari pesakit yang menghidap penyakit berjangkit ini adalah mustahab (disunatkan) dan sebagai langkah berwaspada. Ini bertujuan untuk mengelakkan penularan penyakit tersebut dari yang sakit kepada yang sihat. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu sebagai contohnya para doktor yang terlibat dalam memberikan rawatan kepada para pesakit ini, maka hukumnya harus berada berdekatan dengan mereka. Lebih-lebih lagi dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan penularan penyakit berjangkit dari sudut pakaian dan seumpamanya. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.