Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-507 : APABILA IMAM SOLAT JUMAAT BANGUN KE RAKAAT KETIGA...

 IF507 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Bagaimanakah hukum sekiranya imam dalam solat jumaat menambah rakaat dalam solat Jumaat? Adakah makmum perlu menunggu pada tasyahhud, bangun bersama imam atau mufaraqah? Apakah hal tersebut memberi kesan kepada kesahihan solat jumaat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Mukadimah

Isu ini merupakan antara hukum-hukum yang penting untuk diketahui oleh masyarakat awam sama ada bagi imam atau makmum kerana kemungkinan ia berlaku adalah pasti dan sememangnya pernah berlaku. Dalam situasi ini, kebiasaannya ada makmum yang bangun mengikut imam berdiri sama ada kerana menyangka imam bangun untuk rakaat kedua, atau kerana mereka sendiri terlupa bilangan rakaat. Begitu juga sebahagian akan tetap duduk tasyahhud akhir kemudian menegur imam dengan lafaz “Subhanallah!” kerana menyangka imam menambah rukun dalam solat yang dilarang untuk diikuti. Akhir sekali, tidak kurang juga yang akan berputus asa dengan imam lalu bermufaraqah daripada mengikut imam.

Oleh kerana wujud bukan sahaja satu kemungkinan dalam isu ini menyebabkan sebahagian masyarakat keliru sama ada solat Jumaat mereka sah atau tidak. Malahan isu ini boleh mewujudkan perbahalahan antara masyarakat kerana isu ini melibatkan hukum fardhu ain yang begitu sensitif kepada masyarakat Islam keseluruhannya sehingga menyebabkan reputasi imam tercalar dan wujud aktiviti saling menuduh antara satu sama lain tentang kesahihan solat masing-masing.

Berdasarkan masalah di atas, kami meminta pertolongan daripada Allah ﷻ supaya memberikan kami hidayah dan taufiq untuk menjawab soalan di atas secara tuntas dan komprehensif. Amin.

 

Hukum imam menambah rakaat dalam solat berjemaah

Kaedah umum mengatakan bahawa jika imam bangun untuk rakaat tambahan, contohnya rakaat kelima bagi solat Zohor, maka makmum dilarang daripada mengikuti imam. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Apabila imamnya bangun ke rakaat tambahan, seperti rakaat kelima, kerana sahw (lalai), maka tidak dibenarkan makmum mengikutinya, sekalipun jika makmum itu masbuk (datang lambat), atau makmum itu seorang yang syak pada bilangan rakaat solat, tanpa perlu mengambil kira kemungkinan bahawa imam itu meninggalkan rukun dalam mana-mana rakaat, kerana kefardhuan ke atas makmum itu ialah mengetahui apa yang sedang berlaku, atau berdasarkan sangkaan yang kuat. Justeru dia boleh mufaraqah daripada imam itu dan memberi salam, atau menunggunya berdasarkan pendapat yang muktamad.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (2/194)

Kesannya, makmum mempunyai pilihan untuk mufaraqah daripada imam atau menunggu imam menyelesaikan rakaatnya kemudian kembali bersama perbuatan para makmum yang duduk menunggu pada tasyyahhud kemudian memberi salam selepas salamnya imam.

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab Raudhoh al-Tolibin (2/10-11), pendapat yang lebih sahih menunjukkan hukum yang sama berlaku untuk solat Jumaat. Rujuk Al-Syarh al-Kabir (2/265-266) oleh Imam al-Rafie;

Pada asalnya, perbuatan menambah rakaat di dalam solat membatalkan solat jika dilakukan secara sengaja. Namun begitu, apabila imam bangun untuk rakaat ketiga dalam solat Jumaat, makmum tidak dapat menghukumkan batal solat imam itu secara mutlak kerana wujud kemungkinan imam terlupa atau sengaja menambah rakaat untuk menampung rukun yang cacat.

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/557);al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/256) oleh Ibn Hajar al-Haitami.

Jika alasan imam itu diketahui hanya selepas selesai solat Jumaat, maka hal itu tetap tidak membatalkan keseluruhan solat Jumaat kerana hukumnya sama dengan hukum imam berjunub. Imam al-Nawawi menghuraikan pendapat yang mengatakan sah seperti berikut:

“Kita tidak menerima bahawa keadaan berhadas imam itu sebagai penghalang kepada kesahihan solat berjemaah, maka sabit hukumnya pada hak makmum yang tidak mengetahui keadaan jubub imamnya. Fadilat berjemaah juga tidak terhalang bagi semua jenis solat, dan tidak juga pada ibadat-ibadat lain dalam hukum hakam yang melibatkan jemaah, berdasarkan pendapat yang azhar. Berkata pengarang al-Bayan (yakni Imam Yahya al-Imrani): Jika seseorang solat Jumaat mengimami empat puluh orang, kemudian mengetahui selepas solat makmum itu semuanya berhadas, sah solat Jumaat imam itu, melainkan jika diketahui bahawa para makmum itu hamba, atau perempuan, sedangkan hal itu mudah untuk diperiksa.”

Rujuk Raudhoh al-Tolibin (2/10-11)

 Di tempat lain, Imam al-Nawawi berkata:

“Jikalau imam Jumaat itu berjunub dan cukup bilangan Jumaat tanpanya maka jika diketahui keadaan junubnya itu selepas beredar dari solat maka solat Jumaat masyarakat di situ adalah sah, menurut mazhab.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/590)

 

Hukum mufaraqah solat Jumaat kerana imam menambah rakaat

Daripada huraian sebelum ini, kita jelas bahawa salah satu pilihan makmum dalam solat Jumaat ialah berpisah daripada imam, atau mufaraqah. Hukum asal mufaraqah adalah makruh bagi solat jemaah, jika tidak wujud keuzuran. Namun dalam konteks solat Jumaat dan keuzuran, terdapat perincian.

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

“Tidak diharuskan untuk memutuskan diri dari solat jemaah pada rakaat pertama dalam solat Jumaat, seperti mana yang akan dibahaskan, bahawa sesungguhnya berjemaah pada rakaat pertama itu adalah syarat (sah Jumaat). Adapun pada rakaat kedua maka ia bukan syarat dalam solat Jumaat untuk berjemaah, maka diharuskan untuk keluar daripada solat Jumaat, berbeza dengan jawapan dalam al-Kifayah yang tidak membenarkan. Jika solat berjemaah itu gagal wujud kerana keluarnya dia maka kami mengatakan bahawa solat itu adalah fardhu kifayah, justeru mestilah dihukumkan tidak boleh keluar daripadanya, seperti pendapat ulama-ulama muta’akhkhirin, kerana fardhu kifayah itu apabila telah dikhususkan pada peringkat individu maka jadilah fardhu ain.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/511)

Ini menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak terbatal jika berlaku mufaraqah dalam kalangan 40 orang yang menjadi syarat sah Jumaat, kerana mufaraqah di sini tidak membatalkan solat berjemaah secara keseluruhan bagi makmum yang mufaraqah selepas mendapat satu rakaat bersama imam.

Hukum ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memperolehi satu rakaat daripada solat, maka dia memperolehi solat tersebut”

Riwayat al-Bukhari (no.580) dan Muslim (no.607)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”

Riwayat Ibn Majah (no.1121), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no.5945) dan al-Hakim (no.1708)

Daripada Tariq bin Syihab RA, Nabi ﷺ bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ

Maksudnya“Jumaat itu adalah hak wajib setiap Muslim lelaki dalam keadaan berjemaah.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Hal ini berbeza dengan apa yang disebutkan ulama dalam kes solat Jemaah yang batal dalam gambaran yang disebut Syeikh Hasan al-Kaf:

“Ada empat puluh orang yang solat Jumaat termasuk Imam, lalu kesemuanya mengucapkan salam melainkan seorang. Orang ini berterusan dalam tasyahhudnya sehingga orang-orang lain sudah pulang ke rumah. Tiba-tiba wuduk orang tadi batal sebelum sempat mengucap salam, maka batal solat Jumaatnya, dan juga solat Jumaat mereka yang sudah pulang ke rumah.”

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 328)

Mufaraqah yang berlaku tanpa keuzuran, maka hukumnya adalah makruh. Berkata Syeikh Syihabuddin Ibn al-Naqib dalam Umdah al-Salik (ms. 67):

“Jika seseorang itu bertakbiratulihram bersama imam kemudian bertindak mengeluarkan dirinya daripada Jemaah untuk menyempurnakan solatnya bersendirian maka itu dibenarkan, tetapi makruh jika dilakukan tanpa keuzuran.”

Hal ini berbeza bagi makmum yang mempunyai sebab syarie atau keuzuran, contohnya apabila imam menambah rakaat solat. Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, menunggu imam itu lebih utama daripada mufaraqah. Disebut dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra:

“[Imam Ibn Hajar al-Haitami ditanya] – semoga Allah melapangkannya – tentang keadaan apabila imam itu bangkit untuk rakaat kelima; adakah lebih utama untuk makmum menunggunya atau berpisah daripadanya, sama ada bagi makmum masbuq atau bukan; bolehkah untuk mufaraqah? [maka belia menjawab] lebih utama makmum itu menunggu sama ada dia masbuq atau bukan.”

Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/214)

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk memberikan jawapan seperti berikut:

  • Makmum di dalam solat Jumaat tidak boleh bangun mengikut imam yang bangun untuk rakaat ketiga. Ini kerana menambah rukun di dalam solat adalah haram dan membatalkan solat.
  • Pengecualian diberikan sekiranya makmum itu ialah makmum masbuk yang mengetahui sebab imam itu bangun adalah untuk menampung rukunnya yang ditinggal secara tidak sengaja.
  • Makmum yang lalai lalu tidak sengaja mengikuti imam bangun ke rakaat ketika tanpa pengecualian di atas hendaklah kembali kepada kedudukan tasyahhud. Jika tidak kembali, maka solatnya batal.
  • Makmum yang menyedari imamnya menambah rakaat disunatkan untuk memperingatkannya dengan tasbih seperti Subhanallah. Sekiranya imam bangun kerana tidak sengaja, dia diwajibkan untuk turun semula sekalipun dia sudah berdiri tegak kerana menambah rukun itu adalah dilarang dan membatalkan solat.
  • Jika imam tidak turun kembali, makmum mempunyai pilihan untuk menunggu imam sehingga selesai rakaatnya kemudian memberi salam selepas salamnya imam, atau mufaraqah daripada imam dan menyelesaikan solatnya bersendirian. Ini kerana terdapat kemungkinan bahawa imam bangun untuk menampung rukun yang luput tetapi tidak diketahui oleh makmum.
  • Keputusan makmum untuk mufaraqah daripada imam tidak memudaratkan syarat sah solat Jumaat yang mewajibkan penyertaan 40 orang yang layak kerana pihak makmum dan pihak imam masing-masing sudah mendapat solat Jemaah apabila sudah mendapat satu rakaat secara berjemaah.

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefaham kepada pihak penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ menerima ibadah kita. Amin.

Untuk penjelasan lanjut, rujuk artikel-artikel berikut:

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.