Soalan
Saya mempunyai kedai dan saya ingin menjalankan consignment iaitu orang akan letak produk mereka di kedai saya dan saya akan mendapat komisen atas barang tersebut. Soalan saya, adakah bentuk consignment ini dikira sebagai untung atas angin?
Ringkasan Jawapan
Kami berpendapat bahawa jual beli secara consignment adalah harus kerana jual beli tersebut menepati akad-akad yang diharuskan syarak seperti akad mudharabah atau qiradh, wakalah, ujrah atau ijarah dan ju’alah. Akad-akad ini juga dilihat tidak menggambarkan konsep untung atas angin kerana wujudnya unsur usaha dan pekerjaan antara kedua belah pihak. Akhir sekali, oleh kerana akad tersebut melibatkan dua pihak peniaga, maka syarat dan kepentingan kedua pihak yang berkontrak tersebut mestilah dijaga bagi mengelakkan mana-mana pihak tertindas.
Huraian Jawapan
Untung atas angin adalah satu istilah yang digunakan bagi menerangkan perbuatan mengambil untung terhadap sesuatu tanpa ada usaha atau kerja. Istilah ini juga biasa digunakan bagi menerangkan perbuatan mengambil kesempatan atas sesuatu seperti melakukan penipuan atau ekploitasi dan dia akan memperoleh keuntungan daripadanya.
Manakala consignment atau konsainan adalah bermaksud titipan atau kiriman. Manakala jual beli consignment pula merujuk kepada satu bentuk perniagaan business to business (Perniagaan Kepada Perniagaan) yang mana satu pihak yang memiliki barang untuk dijual kemudian dia meminta pihak lain yang juga peniaga untuk menjualkan produknya. Kebiasaannya bentuk perniagaan begini berlaku wujudnya kepentingan bersama kerana mungkin pemilik barang kurang mahir melakukan jualan, oleh itu pemilik barang tersebut menumpang pihak lain untuk mendapatkan jualan.
Praktis Jual Beli Secara Consignment
Situasi 1
Aminah merupakan seorang pemilik perniagaan pakaian manakala En Ali mempunyai premis kedai yang menjual pelbagai jenis barangan dan ramai pelanggan yang datang ke kedainya. Dalam masa yang sama, En Ali menawarkan kepada peniaga-peniaga lain yang ingin menjual barangan mereka dengan cara meletakkan barang mereka di kedainya dan En Ali dikenali dengan panggilan vendor. Justeru sekiranya terdapat pemilik barang yang berminat, mereka dikenakan bayaran sewa tapak dalam kedai yang disediakan En Ali bagi menampung kos upah pekerja yang menjaga kedai dan kos utiliti kedai.
Situasi 2
En Ali dan En Hashim merupakan pemilik kedai buku, En Ali di Kuala Terengganu manakala En Hashim di Kuala Lumpur. Suatu pesta buku akan diadakan di Kuala Lumpur, lalu En Hashim menawarkan kepada En Ali untuk tolong menjual buku-buku yang dimilikinya sewaktu pesta buku berlangsung dengan cara consignment. Mereka telah membuat perjanjian bahawa En Hashim akan mendapat diskaun 25% daripada harga buku yang dijual En Ali. Setelah tamat pesta tersebut, buku yang tidak terjual akan dipulangkan semula kepada En Ali.
Situasi 3
Puan Siti merupakan seorang peniaga nasi lemak dan mempunyai gerai sendiri manakala Puan Saleha pula mahir membuat kuih muih tetapi tidak mahir dalam berniaga. Oleh kerana itu, setiap hari Puan Saleha akan menghantar kuih-muihnya ke gerai Puan Siti untuk dijual. Puan Siti dan Puan Saleha telah bersetuju bahawa setiap kuih yang terjual, Puan Siti akan mendapat upah atau berkongsi keuntungan tertentu.
Akad-Akad Berkaitan Jual Beli Consignment
Perbincangan mengenai fiqh muamalat sentiasa berkembang dan meraikan keperluan semasa. Kami berpendapat bahawa jual beli consignment ini adalah satu bentuk jual beli moden yang tidak bercanggah dengan syarak kerana sebagaimana situasi yang dijelaskan di atas, kami melihat situasi-situasi tersebut mempunyai persamaan dengan akad-akad dalam Islam seperti akad Mudharabah (perkongsian untung), wakalah (wakil), Ijarah (upah) dan lain-lain.
1. Akad Mudharabah atau Qiradh
Akad Mudharabah menurut mazhab Hanafi dan Hanbali atau akad Qiradh menurut mazhab Maliki dan Syafie adalah sebuah akad yang diharuskan syarak yang mana berlakunya kerjasama di antara pemilik harta (rabb/sahib al-mal) dengan pihak yang melaksanakan kerja (mudharib) dan mereka telah sepakati bahawa pihak yang melakukan kerja tersebut akan mendapat sebahagian keuntungan yang diperoleh. Dr Muhammad Zuhayli pula mentakrifkan akan Mudharabah atau Qiradh ini adalah sebuah akad yang mana seorang pemilik harta melantik seseorang untuk meniagakan hartanya, dan keuntungan dibahagikan sesama mereka. (Rujuk al-Mu’tamad fi Mazhab Syafie 279/3)
Jumhur Ulama’ berpendapat bahawa rukun mudharabah mesti terdiri daripada perkara berikut: Dua Pihak yang berkontrak, modal harta, keuntungan serta sighah akad iaitu ijab dan qabul. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 40/38)
Oleh itu, dalam konteks jual beli secara consignment ini, kami melihat akad mudharabah atau qiradh ini terpakai dalam konteks Situasi 2 dimana En Ali selaku seorang pemilik harta telah melantik En Hashim untuk menjualkan buku-bukunya dan keuntungan dari hasil jualan buku tersebut dibahagikan sesama mereka mengikut kadar yang telah disepakati antara mereka. Oleh kerana akad ini diharuskan syarak, maka tidak wujud unsur untung atas angin.
2. Akad Wakalah Bil Ujrah (Wakil Yang Diberi Upah)
Akad Wakalah atau akad agensi juga merupakan satu akad yang diharuskan oleh syarak. Dalam akad wakalah ini, pemilik harta dipanggil sebagai al-muwakkil manakala pihak yang dilantik untuk menjadi wakil atau agen tersebut dipanggil sebagai al-wakil. Dr Muhammad Zuhayli mentakrifkan akad wakalah ini sebagai “Sesuatu lantikan (oleh al-muwakkil) kepada seseorang (al-wakil) mengenai pekerjaan yang boleh digantikan orang lain yang mana kerja tersebut boleh dilakukannya sendiri (al-muwakkil).” (Rujuk Mu’tamad fi Mazhab Syafie 325/3)
Seterusnya, antara akad yang terlibat bersama akad wakalah adalah akad ujrah atau ijarah iaitu akad untuk memberikan upah. Kebiasaannya akad ijarah berlaku dalam keadaan upah-mengupah bagi sesuatu pelaksanaan suatu kerja dan sewa-menyewa. Para fuqaha’ telah mensyaratkan bahawa kadar upah yang ingin diberikan dalam konteks ini mestilah ditentukan kadarnya.
Khatib Syarbini dalam al-Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa upah yang ingin diberikan mestilah ditentukan kadarnya serta bentuknya.
وَيُشْتَرَطُ كَوْنُ الْأُجْرَةِ) الَّتِي فِي الذِّمَّةِ (مَعْلُومَةً) جِنْسًا وَقَدْرًا وَصِفَةً كَالثَّمَنِ فِي الْبَيْعِ)
Maksud: (Dan disyaratkan bagi keadaan upah itu) yang dinyatakan dalam perjanjian itu (diketahui) jenisnya dan kadarnya dan sifatnya sebagaimana (mengetahui) harga dalam jual beli. (Rujuk al-Mughni Muhtaj 444/3)
Ibn Habib al-Maliki pula berkata:
لا ينبغي أن يستعمل الصانع إلا بأجر معلوم مسمى
Maksud: Tidak boleh seseorang menggunakan khidmat seorang pekerja yang mahir kecuali ditentukan upah yang sesuai (bagi kerja/khidmat tersebut). (Rujuk Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ 299/7)
Manakala Ibn Qudamah juga menyatakan perkara yang sama seperti fuqaha’ yang lain iaitu kadar upah dalam kontrak tersebut mesti ditentukan jumlah.
يُشْتَرَطُ فِي عِوَضِ الْإِجَارَةِ كَوْنُهُ مَعْلُومًا. لَا نَعْلَمُ فِي ذَلِكَ خِلَافًا؛
Maksud: Disyaratkan untuk imbuhan bagi kontrak ijarah (upah) ditentukan jumlahnya. Tidak kami ketahuinya tentang khilaf mengenainya. (Rujuk al-Mughni Ibn Qudamah 327/5)
Oleh itu, dalam konteks jual beli consignment, ianya melibatkan gabungan kontrak wakalah dan juga ujrah/ijarah. Ini berlaku apabila pemilik barangan tersebut mewakilkan seseorang untuk menjualkan barangannya dan kedua pihak tersebut bersetuju bahawa upah dengan kadar tertentu perlu diberikan kepada pihak yang diwakilkan tersebut. Aplikasi gabungan dua akad ini dapat dilihat melalui Situasi 3 yang dinyatakan sekiranya Puan Siti diberikan upah tertentu. Manakala aplikasi akad ijarah sahaja berlaku pada Situasi 1 kerana transaksi antara dua pihak tersebut hanya melibatkan sewa-menyewa tapak atau ruangan serta kos sewa tersebut akan digunakan bagi menampung kos pekerja dan utiliti kedai.
3. Akad Ju’alah
Ju’alah bermaksud janji untuk memberi hadiah atau upah. Ju’alah ditakrifkan sebagai suatu tanggungjawab dalam bentuk janji untuk memberikan upah tertentu terhadap orang yang berjaya melaksanakan tugasan tertentu atau kerja yang tidak diketahui tentang kesukaran melaksanakannya daripada seseorang yang diketahui atau tidak diketahui, contohnya dia berkat: “siapa yang jahitkan baju untukku maka baginya sekian (upah).” (Rujuk al-Mu’tamad fi Mazhab Syafie 267/3)
Akad jua’alah juga merupakan akad yang disepakati keharusannya oleh para ulama’ kerana terdapatnya keperluan menggunakan akad ini dalam urusan muamalat seharian. Walaupun akad ju’alah dan ijarah mempunyai persamaan iaitu pada aspek upah mengupah, namun kedua-keduanya mempunyai perbezaan yang tersendiri. Akad ijarah adalah kontrak yang bersifat lazim (mengikat) manakala ju’alah pula adalah kontrak yang bersifat ghayr lazim (tidak mengikat).
Akad yang lazim bermaksud akad yang mengikat kedua pihak yang melakukan akad dan tidak boleh dibubarkan tanpa kebenaran pihak yang lain manakala akad ghayr lazim bermaksud akad yang tidak mengikat kedua belah pihak berkontrak dan kedua-dua pihak boleh membubarkan kontrak tanpa memerlukan kepada kebenaran pihak yang lain.
تَفْتَرِقُ الإِجَارَةُ عَنِ الْجِعَالَةِ فِي أَنَّ الْجِعَالَةَ إِجَارَةٌ عَلَى مَنْفَعَةٍ مَظْنُونٍ حُصُولُهَا وَلَا يَنْتَفِعُ الْجَاعِل بِجُزْءٍ مِنْ عَمَل الْعَامِل وَإِنَّمَا بِتَمَامِ الْعَمَل، وَأَنَّ الْجِعَالَةَ غَيْرُ لَازِمَةٍ فِي الْجُمْلَةِ
Maksud: Apa yang membezakan akad ijarah daripada jua’alah adakah pada aspek bahawa ju’alah adalah upah ke atas manfaat yang tidak diketahui keberhasilannya dan (pekerja/penerima upah) tidak mendapat manfaat dengan sebab melakukan sebahagian pekerjaan majikan tetapi kerana kerana penyempurnaan kerja, dan akad ju’alah adalah tidak mengikat. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 253/1)
Oleh itu, dalam konteks jual beli consignment yang dibincangkan akad ju’alah digunakan dalam Situasi 3 sekiranya Puan Saleha menyatakan kepada Puan Siti, “Saya kirimkan kuih yang berharga RM1 ini untuk dijual, sekiranya kamu berjaya menjualnya maka margin untung bagi kamu adalah 20 sen.” Dalam keadaan ini, Puan Siti akan memperoleh keuntungan 20 sen bagi setiap kuih berharga RM1 yang terjual.
Penutup
Kami berpendapat bahawa jual beli secara consignment adalah harus kerana jual beli tersebut menepati akad-akad yang diharuskan syarak seperti akad mudharabah atau qiradh, wakalah, ujrah atau ijarah dan ju’alah. Akad-akad ini juga dilihat tidak menggambarkan konsep untung atas angin kerana wujudnya unsur usaha dan pekerjaan antara kedua belah pihak. Akhir sekali, oleh kerana akad tersebut melibatkan dua pihak peniaga, maka syarat dan kepentingan kedua pihak yang berkontrak tersebut mestilah dijaga bagi mengelakkan mana-mana pihak tertindas.
Wallahualam.
Bibliografi
Abu al-Walid Sulayman bin Khalaf. 1332h. Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’. Terbitan Matba’ah al-Sa’adah
Al-Khatib al-Syarbini. 1994. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Alfaz al-Minhaj. Terbitan Darul Kutub al-‘Ilmiyyah
Ibn Qudamah. 1968. Al-Mughni li Ibn Qudamah. Terbitan Maktabah al-Qaherah
Muhammad Musthafa Zuhayli. 2011. al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie. Terbitan Darul Qalam: Damsyik
Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah. Maktabah Syamelah