Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-563: HUKUM MENJUAL BARANG SECARA PRE-ORDER DI PLATFORM ONLINE

IF 563

SOALAN:

Assalamualaikum. Ana ada satu soalan nak dapatkan kepastian dari pihak mufti, berkenaan perniagaan yang ana nak buat. Ana nak berniaga di shopee/lazada (platform berniaga). Tapi barang belum ada. Ana iklankan barang di shopee/lazada dan tulis pre-order. Bila dapat order, shopee/lazada hold dulu duit tu. Dengan duit sendiri, ana pergi beli barang tersebut dan hantar kepada pembeli. Lepas pembeli terima barang tersebut, barulah shopee/lazada release duit tersebut kepada ana. Kalau ana tak boleh deliver, shopee/lazada pulangkan semula duit tu kepada pembeli. Kalau barang tak ikut spesifikasi juga, pembeli boleh minta refund semula. Harus/halalkah cara berniaga yang ana nak buat ni? Takut termasuk dalam larangan لا تبع ما ليس عندك

 

JAWAPAN RINGKAS:

Boleh untuk menjalankan perniagaan konsep pre-order di platform online seperti Lazada dan Shopee kerana ianya termasuk dalam bentuk jual beli salam (bayar dahulu barang dapat kemudian) dan juga kontrak ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ tentang keharusannya. Tambahan lagi, polisi pemulangan semula (return/refund) pada pelanggan dapat menghilangkan risiko barang tidak dapat diserahkan atau tidak sama spesifikasi yang selari dengan prinsip khiyar dalam Islam.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Konsep pre-order (pra-tempah) e-dagang adalah satu konsep perniagaan masa kini yang banyak digunakan oleh peniaga-peniaga di platform e-dagang. Kelebihan konsep ini adalah penjual tidak perlu mengeluarkan sebarang modal dan juga menyimpan barang jualan. Kebiasaanya, peniaga akan mencari pengilang atau pemborong di dalam atau luar negara yang menawarkan sesuatu barang dengan harga yang murah dan seterusnya menggunakan bahan-bahan seperti gambar dan maklumat produk yang dibekalkan oleh pengilang atau pemborong tersebut untuk mempromosikan di platform e-dagang tersebut dengan harga yang lebih mahal.

 

Selepas mendapat pesanan daripada pelanggan, penjual akan memesan barang tersebut dari pengilang atau pemborong untuk dihantar kepada pelanggan. Duit yang dibayar oleh pelanggan akan kekal berada dalam e-wallet platform tersebut sehinggalah dia menerima barang yang dipesan. Setelah pelanggan menerima barang tersebut dan menyatakan dia telah menerima dan berpuas hati dengan barang tersebut, duit yang disimpan dalam platform e-dagang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun penjual. Oleh kerana itu, konsep perniagaan ini begitu mendapat sambutan daripada kalangan peniaga terutama peniaga yang baru bermula serta pembeli.

 

Hukum Menjual Barang Yang Tidak Dimiliki

Hukum berkaitan muamalat adalah harus selagi mana tiada dalil yang menjadikannya haram. Allah s.w.t berfirman:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275)

 

Imam al-Thabari mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.

وأحلّ الله الأرباح في التجارة والشراء والبيع

Maksudnya: Dan Allah s.w.t menghalalkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Rujuk Tafsir al-Tabari 13/6)

 

Manakala Ibn Munzir pula menerangkan bahawa ayat tersebut menjadi dalil kepada wujudnya jual beli yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam Islam seperti gharar.

دل عَلَى أن من البيوع مَا يجوز وما لا يجوز، فمما ثبت أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «نهى عن بيع الغرر

Maksudnya: Ayat ini menjadi dalil kepada jual beli yang dibolehkan dan tidak dibolehkan, contohnya seperti hadis yang diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melarang jual beli gharar. (Rujuk Al-Iqna’ Ibn al-Munzir 243/1)

 

Imam Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir menukilkan bahawa setiap jual beli adalah harus kecuali apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t melalui hadis-hadis nabi atau perkara yang mempunyai unsur yang sama.

(قال الشافعي): قال الله وجل عز: {لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ} [النساء: ٢٩] فَلَمَّا نَهَى رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ - عَنْ بُيُوعٍ تَرَاضَى بِهَا الْمُتَبَايِعَانِ اسْتَدْلَلْنَا أَنَّ الله وجل عز أَحَلَّ الْبُيُوعَ إِلَّا مَا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ -، أَوْ مَا كَانَ فِي مَعْنَاهُ.

Maksudnya: Telah berkata Imam Syafie: Allah s.w.t berfirman: “Janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai antara kamu” (Surah an-Nisa’:29) maka ketika Rasulullah s.a.w melarang sesuatu jual beli yang diredhai antara penjual dan pembeli maka dapatlah dijadikan dalil bagi kita bahawa Allah s.w.t menghalalkan segala jual beli kecuali apa yang diharamkan Allah melalui perkataan nabiNya atau apa yang seerti dengannya. (Rujuk al-Hawi al-Kabir 3/5)

 

Tambahan lagi, terdapat kaedah feqah yang menyatakan bahawa hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus kecuali terdapat dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut.

‌الأصل ‌في ‌المعاملات ‌الحل والإباحة

Maksudnya: Hukum asal bagi mu’amalat adalah halal dan harus. (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah h.89)

 

Allah s.w.t berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيما

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Surah an-Nisa’ (29)

 

Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu’amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud janganlah kamu makan harta-harta sesame kamu dengan jalan yang salah. (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah h.89)

 

Oleh itu, setiap jual beli adalah harus sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. Dr Wahbah Zuhayli menyatakan dalam bukunya al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh bahawa jumhur ulama’ telah sepakat mengenai rukun jual beli sebagaimana berikut.

1. Pembeli

2. Penjual

3. Sighah Akad

4. Barang yang dijual beli

(Rujuk al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh 3309/5)

 

Manakala syarat bagi barang yang dijual beli tersebut mestilah memenuhi ciri-ciri berikut:

1. Wujud

2. Bukan perkara yang haram seperti najis

3. Boleh diserahkan kepada pembeli

4. Barang tersebut milik penjual

5. Diketahui oleh pihak yang berakad

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 23-28/3)

 

Selain bab rukun jual beli, para ulama’ juga telah membincangkan secara khusus perkara berkaitan khiyar seperti khiyar majlis, khiyar ‘aib dan khiyar al-shart di mana pembeli mempunyai hak untuk melihat barangan yang dijual dan sekiranya terdapat kerosakan atau kecacatan pada barangan tersebut maka pembeli boleh memulangkannya semula dan mendapatkan semula wang yang telah dibayar.

 

Berkaitan menjual barangan yang tiada, kami nukilkan sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana berikut:

لاَ تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: Janganlah kamu jual barang yang tiada padamu.

Riwayat Abi Daud (3503)

 

Al-Khattabi menerangkan bahawa larangan yang terdapat dalam hadis ini adalah kerana wujudnya unsur gharar.

وإنما نهى عن بيع ما ليس عند البائع من قبل الغرر

Maksudnya: Dan larangan terhadap menjual apa yang tidak ada di sisi penjual adalah kerana unsur gharar. (Rujuk Ma’alim al-Sunan 140/3)

 

Unsur gharar yang dimaksudkan merujuk kepada risiko sama ada barang tersebut boleh diserahkan kepada pembeli dan juga risiko barang yang diserahkan tersebut tidak sama mengikut spesifikasi yang dinyatakan.

 

Kami melihat jual beli dengan konsep pre-order ini paling hampir dengan konsep bai’ salam dan juga ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ akan keharusannya.

1. Dalam konsep jual beli Salam, pembeli akan memberikan wang terlebih dahulu kepada penjual kemudian penjual akan memesan daripada pembekal atau pengilang dan seterusnya diserahkan kepada pembeli pada waktu yang telah ditetapkan. Konsep ini menurut Imam Nawawi berbeza dengan larangan Rasulullah s.a.w untuk menjual barang yang tiada.

والسلم بيع من البيوع الجائزة مستثنى من نهيه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ ما ليس عندك، فإن صاحب رأس المال محتاج إلى أن يشترى الثمرة وصاحب الثمرة محتاج إلى ثمنها قبل إبانها لينفقه عليها، فظهر أن ‌بيع ‌السلم من المصالح الحاجية

Maksudnya: Dan Salam adalah satu bentuk jual beli yang diharuskan berbeza dengan larangan Rasulullah s.a.w berkenaan menjual barang yang tidak dimiliki, kerana pemilik harta berhajat untuk membeli buah dan pemilik buah berhajat kepada wang sebelum waktunya untuk menyerahkan buah kepadanya, maka timbullah jual beli salam untuk memenuhi keperluan masyarakat.  (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 97/13)

 

2. Manakala bagi ijarah atau upah pula, pihak pembeli dikira memberi upah kepada penjual tersebut untuk membelikannya barang tersebut. Dalam hal ini, upah yang diterima penjual adalah atas usahanya untuk mencari dan memesan barang yang dikehendaki.

Sekalipun konsep-konsep tersebut telah disepakati keharusannya, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi dalam jual beli pre-order bagi mengelakkan unsur jahalah (tidak diketahui) pada barang yang dijual beli tersebut.

  • Barang yang dijual beli boleh dijamin kewujudannya oleh penjual
  • Waktu penyerahan barang kepada pelanggan jelas.

 

Kesimpulan

Boleh untuk menjalankan perniagaan konsep pre-order di platform online seperti Lazada dan Shopee kerana ianya termasuk dalam bentuk jual beli salam (bayar dahulu barang dapat kemudian) dan juga kontrak ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ tentang keharusannya. Tambahan lagi, polisi pemulangan semula (return/refund) pada pelanggan dapat menghilangkan risiko barang tidak dapat diserahkan atau tidak sama spesifikasi yang selari dengan prinsip khiyar dalam Islam.

Kami juga ingin menyarankan bagi peniaga yang ingin menjalankan perniagaan dengan konsep demikian untuk meminta kebenaran terlebih dahulu dari pihak pembekal untuk menjadi wakil penjual untuk memastikan kemampuan barangan tersebut untuk diserahkan kepada pembeli dan juga waktu serah terima tersebut.