Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-569: HUKUM MENYEMBELIH HAIWAN DENGAN TUJUAN MEREHATKANNYA DARIPADA KESAKITAN

Irsyad Al Fatwa 569

SOALAN

Assalamualaikum Ustaz. Saya bekerja di luar negara dan saya ditawarkan pekerjaan untuk mematahkan tengkuk ayam yang sakit dan tidak boleh dimakan dengan bayaran upah. Dengan patahkan tengkuk ayam tu, dua urat ayam itu terputus, dan bukan tujuan makan. Bolehkah saya melakukan kerja itu sebagai kerja sambilan di sini?

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum mematahkan tengkuk ayam bukan dengan cara sembelihan yang syar’ie adalah diharamkan. Selain itu, perbuatan menyembelih haiwan untuk merehatkannya daripada kesakitan dan bukan bertujuan untuk dimakan adalah haram satu kesalahan dari sudut syarak. Oleh itu dinasihatkan agar tidak melakukan pekerjaan tersebut sebagai kerja sambilan. Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kehidupan haiwan adalah sebagaimana kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT untuk menyembahnya dan akan kembali semula kepada-Nya untuk dihisab di akhirat kelak. Allah SWT telah berfirman:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)."

Surah al-An’am (38)

Imam al-Qurtubi berkata: 

أَيْ هُمْ جَمَاعَاتٌ مِثْلُكُمْ فِي أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ خَلَقَهُمْ، وَتَكَفَّلَ بأرزاقهم، وعدل عليهم، فلا ينبغي أَنْ تَظْلِمُوهُمْ، وَلَا تُجَاوِزُوا فِيهِمْ مَا أُمِرْتُمْ بِهِ

Maksudnya: Mereka, iaitu haiwan-haiwan, ini adalah kumpulan-kumpulan seperti manusia juga di mana Allah Azza wa Jalla mencipta mereka, menjamin rezeki mereka, bersikap adil terhadap mereka, maka tak usahlah kalian menzalimi mereka, dan jangan kalian bersikap melampau terhadap mereka melebihi apa yang telah dibenarkan oleh Allah.

(Rujuk Tafsir al-Qurtubi 6/419-420)

Oleh yang demikian, nyawa haiwan perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati seperti melanggar haiwan tersebut dengan sengaja atau mengurungnya tanpa memberikan makanan. Perbuatan menganiaya haiwan ini boleh menyebabkan pelakunya mendapat balasan di akhirat. Perkara ini jelas disebut dalam hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, RAsulullah SAW bersabda:

((عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ.)) قَالَ: فَقَالَ: وَاللَّهُ أَعْلَمُ: ((لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِهَا، فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ))

Maksudnya: "Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya. Ibn ‘Umar berkata: Baginda berkata: Wallahu a’lam; “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah”.

Riwayat al-Bukhari (2365)

Syarak telah membenarkan sembelihan haiwan bagi tujuan mendapatkan manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya atau mengambil manfaat dari kulitnya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu membunuh burung pipit dan apa yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan disoal oleh Allah SWT mengenainya. Ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab: Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.” 

Riwayat al-Nasaie (4349)

Sembelihan haiwan perlulah mengikut kehendak syarak seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ

Maksudnya: "(Sembelihlah haiwan) dengan alat yang boleh mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah, justeru makanlah haiwan itu. Tidaklah sembelih menggunkan kuku dan gigi (haiwan)."

Riwayat al-Bukhari (5498)

Menurut pandangan mazhab Syafie bahawa peralatan yang dibenarkan untuk sembelih haiwan peralatan yang boleh memotong seperti pisau dan disunatkan menajamkannya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib al-Syarbini, 6/105). Rasullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap dari kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan).

Riwayat Muslim (1955)

Oleh itu, alatan sembelihan itu hendaklah ditajamkan sebelum menyembelih haiwan dengan memotong urat halkum dan mari’ iaitu saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Imam al-Nawawi menyebut tentang kaedah sembelihan syar’ie:

ذَكَاةُ كُلِّ حَيَوَانٍ قُدِرَ عَلَيْهِ بِقَطْعِ كُلِّ الْحُلْقُومِ، وَهُوَ مَخْرَجُ النَّفَسِ وَالْمَرِيءِ وَهُوَ مَجْرَى الطَّعَامِ، وَيُسْتَحَبُّ قَطْعُ الْوَدَجَيْنِ، وَهُمَا عِرْقَانِ فِي صَفْحَتَيْ الْعُنُقِ

Maksudnya: Sembelih setiap haiwan itu dengan memotong kedua urat halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’ (saluran pemakanan). Dan disunatkan memotong al-wadajain iaitu dua urat di tengkuk (berdekatan dengan urat halkum).

(Rujuk Minhaj al-Talibin, al-Nawawi, hlm. 318)

Oleh itu, berbalik kepada persoalan, kita dilarang daripada menyembelih haiwan tanpa tujuan untuk memakannya. Perkara ini telah disebutkan dalam Hasyiyah al-Bujairimi:

يَحْرُمُ ذَبْحُ الْحَيَوَانِ غَيْرِ الْمَأْكُولِ وَلَوْ لِإِرَاحَتِهِ كَالْحِمَارِ الزَّمِنِ مَثَلًا لِأَنَّهُ تَعْذِيبٌ لَهُ

Maksudnya: Diharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan walaupun dengan niat merehatkannya (daripada kesakitan) seperti himar yang sakit berkekalan kerana ia adalah satu seksaan baginya.

(Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 4/295)

Justeru, haiwan tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya (daripada penderitaan yang dialami), haram menyembelihnya walaupun untuk tujuan merehatkannya. Rentetan daripada itu, haram juga menyembelih haiwan boleh dimakan yang sedang nazak dengan tujuan merehatkannya, malahan perbuatan itu adalah lebih utama dielakkan.

KESIMPULAN

Daripada kenyataan di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan bagi menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya pun tidak dibenarkan, apatah lagi membunuh haiwan yang boleh dimakan seperti anak ayam dengan tujuan bukan untuk dimakan adalah lebih-lebih lagi dilarang dan ditegah. Perkara tersebut termasuk dalam kategori pembunuhan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak dan dianggap sebagai satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa.

Oleh itu, mengambil upah daripada pekerjaan yang haram adalah haram. Akhir kalam, kami menasihatkan agar mencari pekerjaan lain yang halal yang tidak terlibat dengan perkara yang syubhah mahupun yang haram.

Wallahu a’lam.