Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada kenalan yang memang dikenali dengan sikap suka berjudi. Ketika hari raya, dia selalu memberikan duit raya kepada anak-anak saya. Soalan saya, bolehkah kita menerima duit raya daripada kaki judi? Mohon penjelasan.
Jawapan Ringkas
Hukumnya adalah makruh untuk menerima duit raya daripada seorang kaki judi kerana datang daripada sumber yang bercampur antara halal dan haram. Sekiranya seseorang menerima juga maka tidak menjadi masalah dan tidak berdosa kerana dosa berjudi tersebut adalah pada pelakunya sahaja dan penerima tidak menanggung dosa yang dilakukan pemberi tersebut. Namun begitu, penerima tidak boleh reda dengan perbuatannya itu dan disarankan supaya menasihati pelaku tersebut untuk hentikan perbuatannya itu, bertaubat kepada Allah serta carilah pendapatan daripada sumber yang halal lagi baik.
Huraian Jawapan
Pemberian duit adalah kebiasaan yang berlaku ketika perayaan aidilfitri yang bersifat hadiah dan sedekah. Pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga dan sebagainya adalah HARUS hukumnya kerana bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung. Rujuk artikel lepas kami, AL-KAFI #637: HUKUM MEMBERIKAN DUIT RAYA untuk membaca lebih lanjut berkaitan hukum duit raya.
Namun begitu, timbul persoalan, apakah status menerima pemberian duit raya daripada orang yang memang diketahui dia seorang kaki judi dan kebanyakan pendapatannya terdiri daripada aktiviti tersebut. Ini adalah kerana judi merupakan suatu perkara yang amat dilarang dalam Islam dan hasil pendapatan daripadanya adalah haram untuk digunakan. Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Surah al-Baqarah (219)
Ulama tafsir menerangkan bahawa perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana akan membawa kepada kelalaian dan perbuatan buruk yang lain seperti meninggalkan solat, tidak mengingati Allah serta maksiat-maksiat yang lain bahkan lebih teruk akan menyebabkan permusuhan dan pembaziran harta.(Rujuk Tafsir al-Maturidi 117/2; Tafsir al-Quran al-Aziz 219/1)
Selain itu, Allah SWT juga menyamakan perbuatan judi adalah perbuatan kotor lagi keji yang perlu dijauhi manusia. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Surah al-Maidah (90)
Pada hakikatnya, perkataan perbuatan kotor daripada perbuatan syaitan tidaklah menunjukkan hakikat syaitan yang melakukannya tetapi ia bagi menjelaskan bahawa perbuatan-perbuatan tersebut adalah dilarang lagi haram dan perlu dijauhi. (Rujuk Tafsir al-Maturidi 604/3; Tafsir al-Thabari 564/10)
Oleh kerana itu, sudah jelaslah kenapa setiap manusia perlu menjauhi judi kerana perbuatan tersebut akan membawa pelakunya kepada pelbagai kemudaratan dan terdorong untuk melakukan maksiat-maksiat yang lain.
Mengenai persoalan yang diajukan, menerima duit raya ketika hari perayaan adalah sama seperti menerima sedekah atau hadiah seperti yang kami nyatakan. Manakala status wang yang diterima tersebut perlu diteliti dengan lebih lanjut sama ada orang tersebut memang pendapatannya sepenuhnya daripada hasil judi ataupun bercampur dengan sumber pendapatan lain yang halal. Ini kerana ulama telah membahagikan harta kepada dua kategori iaitu harta yang haram pada sifatnya (حرام لعينه) dan harta yang haram disebabkan faktor luar (حرام لكسبه) dan hukum bermuamalat dengan kedua jenis harta tersebut adalah berbeza.
Oleh itu, menurut kenyataan yang diberikan penanya, kami memahami bahawa orang tersebut bukanlah menjadikan aktiviti judi sebagai profesionnya, boleh jadi dia mempunyai kerja yang lain dan menggunakan hasil pendapatan tersebut untuk berjudi dan mendapatkan keuntungan daripada berjudi tersebut. Bagi keadaan ini, hukumnya adalah makruh menurut pendapat Imam Nawawi dalam Raudhah al-Tholibin.
مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ، كُرِهَتْ إِجَابَتُهُ كَمَا تُكْرَهُ مُعَامَلَتُهُ.
Maksudnya: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Rujuk Raudhah al-Tholibin wa ‘Umdah al-Muftin 337/7)
Tambahan lagi, Imam al-Suyuthi mendatangkan contoh yang sama ketika menerangkan kaedah fiqh “Sesuatu perkara yang diyakini tidak dapat diatasi dengan keraguan” yang mana situasi tersebut boleh menyebabkan seseorang turut terlibat dengan perkara yang haram. Oleh kerana itu hukumnya adalah makruh sebagai langkah berjaga-jaga.
مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ وَلَمْ يُتَحَقَّقْ أَنَّ الْمَأْخُوذَ مِنْ مَالِهِ عَيْنَ الْحَرَامِ فَلَا تَحْرُمُ مُبَايَعَتُهُ لِإِمْكَانِ الْحَلَالِ وَعَدَمِ تَحَقُّقِ التَّحْرِيمِ، وَلَكِنْ يُكْرَهُ خَوْفًا مِنْ الْوُقُوعِ فِي الْحَرَامِ.
Maksudnya: Sesiapa yang sumber hartanya banyak daripada yang haram dan orang yang ingin menerima daripadanya tidak dapat mengesahkan status fizikal harta tersebut adalah haram maka tidak haram berjual beli dengannya kerana terdapat kemungkinan ada sumber yang halal dan tidak ada bukti yang jelas unsur yang haram pada harta tersebut. Namun begitu, makruh untuk bermuamalat dengannya kerana dibimbangi penerima akan terlibat dengan perkara yang haram. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair h.75)
Di samping itu, sekiranya seseorang memutuskan untuk menerima pemberian tersebut maka tidak menjadi masalah baginya dan dia tidak menanggung dosa pemberi duit raya yang berjudi tersebut. Hal ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT berikut:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.
Surah al-An’am (164)
Ayat di atas menerangkan bahawa dosa adalah dipikul oleh siapa yang melakukannya, seseorang hanya menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukannya sahaja dan dia tidak menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Begitu juga keadaannya dengan pahala. (Rujuk Tafsir al-Baghawi 212/3; Tafsir al-Mawardi 196/2)
Sehubungan dengan itu, Dr Muhammad Zuhayli juga menyebut:
فالإنسان مسؤول عن نفسه فقط، ولا يكون مسؤولًا عن غيره نهائيًّا إلا بما أنيط به بنفسه
Maksudnya: Seorang manusia dipertanggungjawabkan untuk dirinya sahaja, dan dia tidak dipertanggungjawabkan pada hal berkaitan orang lain kecuali apa yang dilakukannya sendiri. (Rujuk Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh 470/1)
Tambahan lagi, terdapat juga sebuah athar daripada Ibn Mas’ud yang mana menunjukkan bahawa harus untuk seseorang menerima suatu pemberian yang diketahui sumber hartanya daripada sumber yang haram kerana penerima tidak menanggung dosa pemberi yang melakukan perkara haram.
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ سُئِلَ عَمَّنْ لَهُ جَارٌ يَأْكُلُ الرِّبَا عَلَانِيَةً وَلَا يَتَحَرَّجُ مِنْ مَالٍ خَبِيثٍ يَأْخُذُهُ يَدَعُوهُ إِلَى طَعَامِهِ، قَالَ: أَجِيبُوهُ فَإِنَّمَا الْمَهْنَأُ لَكُمْ وَالْوِزْرُ عَلَيْهِ
Maksudnya: Daripada Ibn Mas’ud, beliau ditanya seseorang tentang seorang jirannya yang memakan riba secara terang-terangan dan dia tidak rasa bersalah dengannya kemudian dia (pemakan riba) memanggilnya untuk datang makan, maka Ibn Mas’ud berkata: “Jawablah panggilannya kerana jemputan itu untuk kamu manakala kesalahan memakan riba itu ditanggung mereka. (Rujuk Jami’ al-‘Ulum 201/1)
Selain itu, wang yang diterima tersebut boleh dimiliki dan digunakan. Ini adalah kerana terdapat satu kaedah fiqh yang berbunyi:
تبدل سبب الملك قائم مقام تبدل الذات
Maksudnya: Perpindahan yang disebabkan oleh pemilikan akan mengakibatkan perubahan pada ain. (Rujuk al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah 527/1)
Kaedah ini menjelaskan bawa sekalipun harta atau duit pemberian tersebut sama tetapi hukumnya akan berubah menjadi halal dan harus kerana berlakunya pertukaran pemilikan padanya. Begitu juga keadaannya seorang memperoleh harta secara haram seperti terlibat dengan riba atau judi, apabila diserahkan kepada orang lain melalui sedekah atau hadiah maka ianya menjadi halal bagi orang yang menerima tersebut.
Kesimpulan
Hukumnya adalah makruh untuk menerima duit raya daripada seorang kaki judi kerana datang daripada sumber yang bercampur antara halal dan haram. Sekiranya seseorang menerima juga maka tidak menjadi masalah dan tidak berdosa kerana dosa berjudi tersebut adalah pada pelakunya sahaja dan penerima tidak menanggung dosa yang dilakukan pemberi tersebut. Namun begitu, penerima tidak boleh reda dengan perbuatannya itu dan disarankan supaya menasihati pelaku tersebut untuk hentikan perbuatannya itu, bertaubat kepada Allah serta carilah pendapatan daripada sumber yang halal lagi baik.
Wallahualam.