Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-573 : KAIFIAT SOLAT JAMAK BAGI ORANG YANG BERTAYAMMUM DAN ORANG YANG SENTIASA BERHADAS

if573

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, adakah dibolehkan bagi orangg yang dalam keadaan ‘daimul hadas’ (sentiasa berhadas) solat jamak? Contohnya orang yang sentiasa dalam keadaan hadas (angin, darah atau air yang sentiasa keluar dari qubul/ dubur) Adakah dia boleh solat jamak atau tidak? Sebab setahu saya satu wudhuk hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja?

Ringkasan Jawapan:

  • Bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat kerana kedua-duanya adalah bentuk penyucian yang diharuskan untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas).
  • Harus bagi orang yang bertayammum dan sentiasa berhadas untuk menjamakkan dua solat fardhu (contohnya solat Zuhur dan Asar).
  • Kaifiat solat jamak dan taharah bagi orang yang bertayammum ialah hendaklah bertayammum sebanyak dua sekali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan.
  • Manakala kaifiat solat jamak dan taharah bagi orang yang sentiasa berhadas hendaklah dia mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. 

Huraian Jawapan:

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di sisi Mazhab Syafie, para ulama’ mengatakan wudhuk bagi orang yang berhadas (seperti perempuan yang istihadah) hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Begitu juga dalam masalah orang yang bertayammum, tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Imam al-Mawardi menyebutkan hal ini seperti berikut:

Berdasarkan ayat al-Quran {إِذَا قُمْتُمْ إَلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ) “sekiranya kamu ingin mengerjakan solat maka basuhlah wajah-wajah kamu (berwudhuk) sehinggalah ayat {فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيَّباً) dan sekiranya kamu tidak menemui air maka hendaklah bertayammum dengan debu tanah yang bersih. Maka zahir ayat ini menunjukkan perintah wajib berwudhuk setiap kali waktu solat dan sekiranya tidak menemui air, maka hendaklah bertayammum (sebagai ganti kepada wudhuk). Apabila datangnya ayat berkenaan wudhuk yang mengharuskan untuk dihimpunkan semua solat dengan satu wudhuk, maka ia menafikan hukum tayammum. Hal ini kerana tayammum adalah satu bentuk penyucian disebabkan darurat maka ia tidak boleh diperluaskan untuk mengerjakan dua bentuk ibadah fardhu (dengan satu tayammum) seperti mana tidak boleh perempuan yang beristihadhah melaksanakan dua solat fardhu (dengan satu wudhuk). (Rujuk: al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, 1/258).

Justeru, jelaslah bahawa bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat kerana kedua-duanya adalah bentuk penyucian yang diharuskan untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas).

Namun persoalannya, adakah dibolehkan orang yang berhadas atau bertayammum untuk menjamakkan solat? Hal ini kerana solat jamak dilakukan dengan cara menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat fardhu dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Dan sekiranya boleh, bagaimanakah cara berwudhuk dan pelaksanaan solat tersebut? Para ulama’ Syafi’ieyyah membahaskan masalah ini seperti berikut:

Menurut Imam al-Nawawi:

Majoriti ashab (Syafi’iyyah) mengatakan harus untuk menjamakkan dua solat bagi orang yang bertayammum, dan tidak memudaratkan senggang masa antara keduanya (solat yang pertama yang kedua) dengan tuntutan (berturutan antara kedua-dua solat), namun diringankan tuntutan tersebut (dalam masalah tayammum). (Rujuk: al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 4/375).

Disebutkan di dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah:

Dalam mazhab Syafie (di antara syarat jamak taqdim) ialah berturutan di antara dua solat, yang mana tidak memanjangkan senggang masa di antara keduanya sekadar cukup untuk melaksanakan solat dua rakaat dengan cara yang paling mudah, dan janganlah melaksanakan solat rawatib di antara keduanya. Dan diharuskan untuk memisahkan (antaran senggang masa keduanya) dengan azan, iqamah dan bersuci. Sekiranya seseorang mengerjakan solat zohor sedangkan dia bertayammum, dan dia ingin menjamakkannya dengan solat asar, maka tidak memudaratkannya untuk memisahkan antara kedua solat tersebut dengan tayammum yang kedua (untuk solat asar). Hal ini adalah kerana tidak boleh menghimpukan dua solat dengan satu tayammum. (Rujuk: ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/373).

Menurut Imam al-Nawawi: Dan sekiranya seseorang yang bertayammum menjamakkan dua solat, maka ianya adalah harus mengikut pandangan yang sahih. Maka waktu solat yang pertama tersebut juga menjadi waktu solat yang kedua. (Rujuk: al-Nawawi, Raudhah al-Tolibin, 1/119).

Oleh yang demikian, hal ini jelas menunjukkan harus bagi orang yang bertayammum untuk menjamakkan dua solat fardhu, dengan syarat hendaklah bertayammum dua sekali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar. Hal ini adalah kerana di sisi mazhab Syafie, tayammum hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja. Justeru, dalam masalah menjamakkan solat bagi ‘daimul hadas’ (orang yang sentiasa berhadas) seperti perempuan istihadah dan lain-lain, para ulama’ menqiaskan masalah ‘daimul hadas’ ini dengan masalah tayammum seperti berikut:

Menurut Shaikh Sulaiman al-Jamal:

“Bahawasanya perempuan yang beristihadah diqiaskan dengan orang yang bertayammum iaitu hendaklah dia bersuci untuk setiap kali solat fardhu, setelah masuk waktunya iaitu tidak sah sebelumnya, dan diqiaskan (perempuan istihadah) dengan orang yang sentiasa berhadas dalam bab mandi, menyumbat (dengan kapas) dan membalutnya (tempat keluar najis) dan segera melaksanakan solat fardhu, dan persamaan antara keduanya ialah orang yang bertayammum dan orang yang sentiasa berhadas ialah taharahnya hanya untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas)”. (Rujuk: Sulaiman al-Jamal, Hasyiyah al-Jamal, 1/244).

Hal ini dinyatakan juga oleh Shaikh Uthman Syato al-Bakri:

“Dan diwajibkan ke atas orang yang sentiasa berhadas untuk berwudhuk bagi setiap solat fardhu walaupun solat yang dinazarkan, dan tidak harus baginya untuk menjamakkan dua solat fardhu dengan satu wudhuk sebagaimana tidak harus baginya untuk menjamakkan dua solat fardhu dengan satu tayammum”. (Rujuk: Uthman Syato al-Bakri, Hasyiyah I’anah al-Tolibin, 1/63).

Oleh itu, jelaslah bahawa orang yang sentiasa berhadas diqiaskan dengan masalah tayammum iaitu wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja. Adalah harus baginya untuk menjamakkan solat dengan syarat mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. 

KESIMPULAN

Setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini seperti berikut:

  • Bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat.
  • Harus bagi orang yang bertayammum untuk menjamakkan dua solat fardhu contohnya menjamakkan solat Zuhur dan Asar, dengan syarat hendaklah bertayammum dua kali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan.
  • Dalam masalah menjamakkan solat bagi ‘daimul hadas’ (orang yang sentiasa berhadas) seperti perempuan istihadah dan lain-lain, para ulama’ menqiaskan masalah ‘daimul hadas’ ini dengan masalah tayammum iaitu harus bagi orang yang sentiasa berhadas untuk menjamakkan solat dengan syarat hendaklah dia mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Wallahu a’lam.