Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-578: ADAKAH DIWAJIBKAN MANDI BAGI MEREKA YANG MELAKUKAN UJIAN PAP SMEAR

if578

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu kekeliruan berkenaan dengan ujian pap smear dengan memasukkan sesuatu ke dalam kemaluan untuk ujian kesihatan. Adakah saya perlu untuk mandi wajib selepas saya melakukan ujian tersebut. Mohon penjelasan dari pihak mufti sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Ujian rawatan Pap Smear iaitu dengan memasukkan spekulum atau berus serviks ke dalam faraj wanita tidak termasuk dalam perkara yang menyebabkan wajibnya seseorang itu mandi. Dan rawatan tersebut bukan bermaksud dengan melakukan jimak seperti yang dimaksudkan dengan syarak iaitu memasukkan hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj.

Namun, sekiranya dengan melakukan ujian tersebut dan didapati terkeluarnya air mani maka diwajibkan untuknya mandi disebabkan keluarnya mani.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pap smear adalah ujian saringan bagi mengesan kanser serviks. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kanser serviks. Ujian Pap Smear dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks yang akan dimasukkan ke dalam faraj. Sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks dan kemudian dihantar ke makmal untuk diperiksa.[1]

Jelas penerangan di atas menunjukkan bahawa ujian saringan kesihatan yang dilakukan perlu memasukkan sesuatu ke dalam faraj bagi mengambil sampel untuk diperiksa. Oleh itu, timbul persoalan berkenaan adakah diwajibkan ke atas seseorang wanita untuk mandi apabila melakukan ujian Pap Smear ini.

Perkara utama yang seharusnya diperhalusi adalah perkara yang diwajibkan mandi ke atas seseorang itu. Dalam hukum syarak, perkara yang menwajibkan mandi adalah mati, haid, nifas, wiladah dan berjunub. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya:

موجبه موت وحيض ونفاس وكذا ولادة بلا بلل في الأصح وجنابة بدخول حشفة أو قدرها فرجا وبخروج منى من طريقه المعتاد وغيره

Maksudnya: Perkara yang mewajibkan mandi adalah mati, haid dan nifas. Begitu juga dengan melahirkan anak walaupun tanpa keluarnya darah menurut pandangan yang paling sahih. Junub berlaku dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj dan keluar mani dengan cara yang biasa atau selainnya[2]

Melihat kepada penjelasan dan tatacara yang dilakukan dalam rawatan ujian Pap Smear, ianya dilakukan dengan memasukkan sesuatu ke dalam faraj. Oleh itu, timbul kekeliruan dan persoalan berkenaan dengan prosedur yang dilakukan tersebut sama ada ia boleh menyebabkannya berjunub atau tidak dan adakah diwajibkan ke atasnya untuk mandi.

Bagi menjelaskan kekeliruan yang disebutkan maka sebaiknya dilihat apakah yang dimaksudkan dengan berjunub. Berjunub merupakan perkara yang diwajibkan mandi berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;

(Surah al-Maidah, 6)

Berjunub merupakan salah satu sebab yang mewajibkan seseorang itu mandi oleh kerana dengan melakukan perkara yang menyebabkan terhalang daripada sahnya solat. Imam Ramli menyebut bahawa berjunub ialah:

أَمْرٌ مَعْنَوِيٌّ يَقُومُ بِالْبَدَنِ يَمْنَعُ صِحَّةَ الصَّلَاةِ حَيْثُ لَا مُرَخِّصَ

Maksudnya: Perkara bersifat Maknawi yang dilakukan oleh anggota badan, menghalang daripada sahnya solat di mana tidak ada keringanan.[3]

Di antara sebab seseorang itu berjunub dan diwajibkan mandi adalah kerana berjimak iaitu masuknya kepala zakar (Hasyafah) ke dalam faraj sama ada keluar mani atau tidak.

Sehubungan dengan itu, seseorang itu juga dikira sebagai berjunub apa bila dia keluar mani sama ada lelaki atau perempuan dalam keadaan bersyahwat mahupun tidak. Begitu juga dalam keadaan dia sedar atau tidak. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya Minhaj al-Talibin:

وجنابة بدخول حشفة أو قدرها فرجا وبخروج منى من طريقه المعتاد وغيره

Maksudnya: Junub berlaku dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj dan keluar mani dengan cara yang biasa atau selainnya[4]

Justeru, berdasarkan persoalan yang diajukan dan perbahasan yang diberikan jelas bahawa ujian rawatan Pap Smear iaitu dengan memasukkan spekulum atau berus serviks ke dalam faraj wanita tidak termasuk dalam perkara yang menyebabkan wajibnya seseorang itu mandi. Dan rawatan tersebut bukan bermaksud dengan melakukan jimak seperti yang dimaksudkan dengan syarak iaitu memasukkan hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj.

Namun, sekiranya dengan melakukan ujian tersebut dan didapati terkeluarnya air mani maka diwajibkan untuknya mandi disebabkan keluarnya mani.

Wallahua’lam 

[1] http://www.myhealth.gov.my/pap-smear/

[2] Rujuk Minhaj al-Talibin, 2005M, Dar Fikr, 1/14

[3] Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Dar Fikr, 1/212

[4] Ibid