Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-582: HUKUM MENGECAT SESUATU BARANG SECARA SUKARELA SEBELUM MEMINTA IZIN PEMILIKNYA

cat 2

 

Soalan

Salam. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini ada kecoh viral di FB berkenaan seseorang mengecat semula kesemua peti surat milik dia dan jiran-jirannya. Kemudian, timbul satu komen yang mengatakan adakah beliau sudah meminta izin daripada kesemua pemilik peti surat tersebut memandangkan tak semua suka dengan warna yang dicatnya.  Jadi, apakah status hukum bagi kes sebegini ya? Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Berkhidmat secara sukarela sebahagian daripada amal jariah yang diberikan ganjaran dalam agama termasuklah mengecat peti surat. Walau bagaimanapun, seseorang hendaklah memastikan khidmat sukarelanya tidak terjerumus dalam larangan mengambil hak orang lain tanpa izin pemiliknya apatah lagi sekiranya pemilik asal mempertikaikannya. Oleh itu, sekiranya tindakan sukarela yang dilakukan tanpa izin tersebut mengakibatkan kerosakan dan kerugian, maka sukarelawan tersebut perlu bertanggungjawab dan menanggung kerugian yang timbul.

Namun, kami berpandangan perbuatan mengecat dalam kes viral baru-baru ini walaupun dilakukan tanpa izin pemilik asal, ia dilihat tidak mengakibatkan sebarang kerugian. Hal ini kerana baik pulih yang dilakukan hanya merubah keadaan asal yang memang berkarat kepada cat berwarna kelabu. Pertikaian hanya berlaku dari sudut warna cat sahaja yang tidak mengakibatkan sebarang kerosakan dan kerugian. Adalah baik kalau bersikap memaafkan dalam hal ini tanpa memanjangkan isu.

Walau bagaimanapun adalah dinasihatkan agar setiap tindakan yang melibatkan harta orang lain seeloknya mendapat keizinan terlebih dahulu sekalipun dilihat diremeh dan dengan niat membantu kerana kita tidak tahu tentang kepentingan sesuatu harta kepada pemiliknya.

Akhirnya, semoga penerangan di atas dapat mendamaikan pihak-pihak yang terlibat di samping sentiasa memastikan segala tindak tanduk kita mengikut sepertimana yang ditetapkan oleh Syarak khususnya berkaitan menjaga hak-hak dan akhlak sesama jiran.

 

Huraian Jawapan

Perbuatan memberi sesuatu perkara tanpa mengharap balasan dan berhidmat secara sukarela kepada orang lain merupakan suatu perkara yang amat terpuji dalam Islam. Agama sangat menganjurkan tindakan tersebut supaya dapat memupuk rasa kasih dan sayang serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.

Perkara ini jelas disebutkan dalam sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.

Riwayat al-Bukhari (594)

Perbahasan ini dibincangkan para ulama dalam bab hibah, hadiah dan sedekah. Sedekah merupakan pemberian sesuatu hak milik kepada orang yang memerlukan tanpa sebarang bayaran sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengharapkan ganjaran di akhirat kelak.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 6/116)

Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi sedekah sesama manusia. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. 

Surah al-Baqarah (274)

Ayat ini menunjukkan bahawa bersedekah atau menghadiahkan sesuatu kepada seseorang adalah dibolehkan termasuklah sedekah tong cat. Namun begitu, terdapat beberapa rukun dan syarat dalam akad sedekah atau hibah yang perlu diambil perhatian bagi pihak-pihak yang terlibat, iaitu:

  • Pemberi dan penerima
  • Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
  • Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan

Khusus berkenaan persoalan di atas, perbincangan akan difokuskan kepada rukun yang kedua berkenaan sighah akad; ijab dan qabul yang bermaksud perlu berlaku proses penawaran dan penerimaan hadiah tersebut daripada kedua-dua pihak sama ada melalui lafaz yang jelas ataupun secara kefahaman melalui amalan yang difahami adat setempat, contohnya:

Ijab: Ali mengepos dan menghantar hadiah kepada rakannya.

Qabul: Rakan Ali mengambil dan menerima hadiah yang diposkan.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafie, 3/179-180)

Melalui perbincangan ulama di atas, dapat difahami bahawa walaupun penerimaan hadiah tidak semestinya memerlukan lafaz yang jelas seperti “aku terima hadiah ini”, namun pemberi hadiah tetap perlu menunggu isyarat daripada penerima bahawa dia menerima hadiah tersebut. Hal ini demikian kerana berkemungkinan hadiah tersebut tidak ingin diambil dan diterima oleh penerima atas apa-apa alasan lantas pemberi hadiah tidak boleh memaksanya.

Seterusnya, berkenaan memberikan khidmat mengecat secara percuma secara dasarnya merupakan perkara yang terpuji. Walau bagaimanapun, sekiranya ia melibatkan harta benda orang lain maka seseorang perlu meminta izin daripada pemilik asalnya supaya tidak terjerumus dalam larangan menggunakan harta orang lain tanpa izin.

Terdapat kaedah Fiqh yang menyebut:

لا يجوز لأحد أن يتصرف في ملك الغير بلا إذنه

Maksudnya: Seseorang tidak boleh menggunakan harta orang lain tanpa izinnya.

Kesannya, seseorang yang menggunakan harta orang lain tanpa keizinan pemiliknya dianggap seperti merampas harta orang lain dan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian yang timbul.

(Rujuk: al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah, 1/551)

Pendirian sebegini bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad SAW berkenaan peri penting menjaga hak-hak jiran. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.

Riwayat Muslim (77)

Hadis di atas juga memberi suatu mesej yang penting berkenaan kewajipan untuk menjaga adab dan akhlak sesama jiran. Menjadi tanggungjawab bagi umat Islam untuk berbuat baik kepada jirannya. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah memastikan setiap tindak tanduk tidak melampaui batas sehingga membuat perkara yang tidak dingini oleh jiran. Hal ini kerana mungkin pada pandangan kita perkara tersebut nampak baik namun tidak pada sebahagian jiran. Justeru, meminta izin menjadi perkara wajib untuk dilakukan dalam hal sebegini.

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan dijadikan panduan bagi kes mengecat yang viral:

  • Sedekah merupakan perkara yang terpuji dan digalakkan dalam Islam. Namun, sesuatu barangan yang disedekahkan hendaklah diakui dan diterima oleh penerimanya.
  • Berkhidmat secara sukarela juga sebahagian daripada amal jariah yang diberikan ganjaran dalam agama. Walau bagaimanapun, seseorang hendaklah memastikan khidmat sukarelanya tidak tergelincir sehingga mengambil hak orang lain tanpa izin pemiliknya apatah lagi sekiranya pemilik asal mempertikaikannya.
  • Sekiranya kesan daripada tindakan sukarela yang dilakukan tanpa izin mengakibatkan kerosakan dan kerugian, maka sukarela tersebut perlu bertanggungjawab dan menanggung kerugian yang timbul.
  • Namun, perbuatan mengecat dalam kes viral baru-baru ini walaupun dilakukan tanpa izin pemilik asal dilihat tidak mengakibatkan sebarang kerugian kerana baik pulih yang dilakukan merubah daripada keadaan asal yang memang berkarat kepada cat berwarna kelabu. Pertikaian hanya berlaku dari sudut warna cat sahaja yang tidak mengakibatkan sebarang kerosakan dan kerugian.
  • Walau bagaimanapun adalah dinasihatkan agar setiap tindakan ke atas harta orang lain seeloknya mendapat keizinan terlebih dahulu sekalipun dilihat diremeh dan dengan niat membantu kerana kita tidak tahu tentang kepentingan sesuatu harta kepada pemiliknya.

Akhirnya, semoga penerangan di atas dapat mendamaikan pihak-pihak yang terlibat di samping memberikan pencerahan dan ilmu kepada orang ramai untuk sentiasa berbuat amal kebajikan dalam masa yang sama menjaga hak-hak jiran sekeliling sepertimana yang ditetapkan Syarak. Wallahu a’lam.