Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-586: HUKUM MELAKUKAN ISTIKHARAH DENGAN MEMBUKA AL-QURAN SECARA RAWAK

if_586.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu pertanyaan. Bolehkah saya mengamalkan Garpu Tala untuk mencari jawapan istikharah saya dengan membuka al-Quran secara rawak kemudian lihat pada mana-mana ayat dan membaca terjemahannya. Apabila terjemahannya menceritakan perkara yang baik jadi saya boleh meneruskan apa yang saya hajat dan sekiranya menceritakan perkara yang tidak baik seperti azab dan sebagainya maka saya akan tinggalkan apa yang dihajatkan itu. Mohon penjelasan daripada pihak Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Istikharah dengan membuka lembaran al-Quran secara rawak tidak terdapat dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan berkenaan dengannya. Para ulama berbeza pandangan di dalam isu ini, iaitu haram, makruh dan harus. Namun, menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie makruh hukumnya .

Oleh itu, dalam menghadapi situasi ini setiap muslim perlu bersikap lebih warak iaitu meninggalkan amalan ini kerana sebahagian ulama mengharamkannya. Bahkan di sisi mazhab Syafi’ie hukumnya adalah makruh yang memberi makna perbuatan yang sia-sia, malah tiada ganjaran dan apa-apa fadilat. Justeru itu, lebih baik ditinggalkannya.

Tuntasnya, umat Islam perlu menghidupkan amalan istikharah dengan cara yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW iaitu solat istikharah dan berdoa kepada Allah SWT disamping meminta nasihat dari individu yang berpengalaman

Huraian Jawapan

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan mukjizat sebagai pertunjuk bagi setiap manusia. Oleh itu, ketika bermuamalah dengannya, maka hendaklah mematuhi segala tatacara yang diajar oleh Baginda SAW dan para ulamanya. Ini kerana al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan juga syiar yang wajib dipelihara dan disanjungi bagi membuktikan ketakwaan di dalam hati setiap insan. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu termasuk (bukti) ketaqwaan dalam hatinya

Surah Al Hajj (32)

Takrif Istikharah Atau Tafa’ul Dengan Al-Quran

Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik. Fakta ini sebagaimana yang disebut oleh al-Dimyati di dalam karyanya:

طلب الخير فيما يريد أن يفعله.

Maksudnya: Memohon kebaikan daripada sesuatu keinginan untuk dilakukannya. [1]

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa:

طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا

Maksudnya: Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.[2]

Manakala al-fa’lu bermaksud menaruh harapan terhadap perkataan yang didengar seperti orang yang sakit mendengar perkataan, “ Wahai! Salim ” (yang sembuh), dan orang yang kehilangan barang, “ Wahai ! Wajid ”(yang menjumpai), maka dia bersangka baik agar disembuhkan dari penyakit dan menjumpai barangnya yang hilang. [3]

Bertafa’ul terhadap perkara yang baik adalah digalakkan oleh syarak sebagaimana Rasulullah SAW pernah bertafa’ul dengan nama sahabat baginda Suhail bin ‘Amru agar urusan mereka dipermudahkan (Suhail daripada perkataan sahlu iaitu mudah).[4]

Menjawab persoalan yang diajukan, istikharah dengan membuka lembaran al-Quran secara rawak bertujuan untuk mencapai matlamat tertentu atau hasil jawapan dari istikharah telah dibincangkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab turath Islam. Menurut cara yang diamalkan itu, boleh dikatakan ia merupakan konsep istikharah dengan menggunakan al-Quran, maka para ulama mengkategorikan sebagai tafa’ul iaitu optimis atau menaruh harapan untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi di dalam karyanya:

الْفَأْلُ فَفِيهِ تَقْوِيَةٌ لِلْعَزْمِ وَبَاعِثٌ عَلَى الْجِدِّ وَمَعُونَةٌ عَلَى الظَّفَرِ

Maksudnya: al-Fa’lu adalah memperkuatkan keazaman, dorongan ke atas kebaikan dan pertolongan mencapai sesuatu matlamat.[5]

Istikharah dan boleh juga disebut sebagai Tafa’ul dengan menggunakan al-Quran yang diamalkan ini terdapat pelbagai cara dan variasi. Namun ia tidak mempunyai sandaran dalil atau nas yang jelas dan sahih di dalam syarak. Perkara ini seperti yang disebut oleh Imam al-Alusi di dalam karyanya:

الاستخارة بالقرآن ويسمونها تفاؤلاً ولهم فيها كيفيات شتى والظاهر أن ذلك مما لا دليل على مشروعيته

Maksudnya: Istikharah dengan al-Quran serta boleh disebutkannya juga sebagai tafa’ul dan bagi mereka (yang bertafa’ul) terdapat pelbagai cara yang bermacam-macam. Jelas bahawa perkara ini tiada dalil tentang pensyariatannya[6].

Istikaharah dengan menggunakan al-Quran ini juga diceritakan oleh sebahagian ahli sejarah, bahawa sesetengah daripada para ilmuan ketika hendak bermusafir di lautan lalu dibuka al-Quran dengan secara rawak kemudian secara kebetulan terpampar pada halaman itu ayat yang menyatakan “supaya meninggalkan lautan” (surah al-Dukhan ayat 24), lalu mereka tidak bermusafir serta mereka juga menenggelamkan kapal yang hendak digunakan itu.[7]

Dalam contoh yang lain di antara cara istikharah yang menggunakan al-Quran sebagai mana yang disebut oleh Syeikh Mustafa al-Bugha dan Syeikh Mahyuddin Misto di dalam karya mereka:

ومن الناس من يستخير بالقرآن بطريقة أخرى وهي أن يأخذ المصحف ويفتحه عفوا ثم ينظر إلى أولى سطر في الصحيفة الأولى، وبعضهم يعدّ سبع ورقات ثم سبعة أسطر ثم سبع كلمات، ثم يقرأ، فإن وجد آية تأمر بفعل شيء فعل، وإن وجد آية تنهى عن فعل شيء ترك الفعل، وهذه الاستخارة لا أصل لها في الشرع ولم تنقل عن أحد من الأئمة أو العلماء، وهي مبنية على المصادفة والمخاطرة،

Maksudnya: Sebahagian daripada manusia beristikharah menggunakan al-Quran dengan cara lain, iaitu mereka mengambil al-Quran dan membukanya secara rawak kemudian melihat pada baris yang pertama di halaman pertama yang dibuka. Begitu juga sebahagian daripada mereka menghitung halaman yang ketujuh kemudian baris yang ketujuh, diikuti dengan kalimah yang ketujuh lalu membacanya. Sekiranya mereka mendapati ayat yang memerintahkan supaya melakukan sesuatu, maka mereka melakukan apa yang dirancang. Begitu juga sekiranya mereka mendapati ayat itu melarang melakukan sesuatu, maka mereka meninggalkan apa yang dirancangnya. Istikharah dengan cara ini tidak terdapat sumber asal daripada syarak dan ia juga tidak dinukilkan oleh para imam atau ulama. Malah ia terbina atas dasar kebetulan dan lintasan hati.[8]

Imam al-Alusi juga menjelaskan lagi bahawa perkara ini merupakan perbuatan bid’ah yang diada-adakan. Beliau memberi contoh sebagaimana yang dilakukan oleh golongan syiah yang beristikharah dengan menggunakan tasbih dan seumpamanya.

ومن البدع ما يستعمله الشيعة من التفاؤل بالسبحة ونحوها على سائر الكيفيات المعروفة بينهم

Maksudnya: Daripada perkara bid’ah apa yang diamalkannya oleh golongann syiah iaitu perbuatan tafa’ul dengan menggunakan tasbih dan seumpanya mengikut pelbagai cara yang  diketahui di antara mereka[9]

Pandangan Ulama Berkenaan Istikharah Menggunakan al-Quran

Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum bertafa’ul atau beristikharah dengan menggunakan al-Quran, ada yang mengharuskannya, ada yang memakruhkannya dan ada juga yang mengharamkannya. Perkara ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Alusi dengan menukilkan pandangan Ibnu al-‘Ajami yang menyatakan:

ابن العجمي في منسكه قال ولا يؤخذ الفال من المصحف قال العلماء اختلفوا في ذلك فكرهه بعضهم وأجازه بعضهم ونص المالكية على تحريمه

Maksudnya: Ibnu ‘Ajmi di dalam manasiknya menyatakan, tidak boleh melakukan al-Fa’l (mengharap untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu perkara) daripada al-Quran. Para ulama berbeza pandangan tentang perkara ini, sebahagian daripadanya memakruhkannya, sebahagian yang lain mengharuskannya dan kenyataan daripada mazhab Maliki yang mengharamkannya.[10]

Menurut mazhab al-Syafi’ie, bertafa’ul atau melakukan istikharah menggunakan al-Quran merupakan perkara yang makruh. Fakta ini seperti yang disebut oleh Imam Syihabbuddin al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) di dalam hasyiahnya dengan menukilkan pandangan al-Damiri katanya:

قَالَ الدَّمِيرِي وَأَمَّا أَخْذُ الْفَالِ مِنْهُ فَجَزَمَ ابْنُ الْعَرَبِي وَالطُّرْطُوشِيُّ وَالْقَرَافِيُّ الْمَالِكِيُّونَ بِتَحْرِيمِهِ وَأَبَاحَهُ ابْنُ بَطَّةَ مِنْ الْحَنَابِلَةِ وَمُقْتَضَى مَذْهَبِنَا كَرَاهَتُهُ

Maksudnya: Imam al-Damiri berkata, adapun melakukan al-Fal (mengharap untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu perkara) daripada al-Quran, Ibnu ‘Arabi, al-Turtusyi dan al-Qurafi dari mazahab Maliki memutuskan dengan mengharamkannya. Menurut Ibnu Battah dari kalangan mazhab Hanbali mengharuskannya. Sedangkan dari kalangan mazhab kami (Mazhab al-Syafi’ie) hukumnya adalah makruh.[11]

Perkara ini juga dinyatakan oleh Syeikh Sa’id Ba’Ali yang menyebut di antara perkara yang makruh adalah dengan melakukan tafa’ul daripada al-Quran.

وكره مسه بجزء طاهر من عضو متنجس، وقراءته بفم متنجس، ولبس ما كتب عليه، وأخذ الفأل منه.

Maksudnya: Makruh menyentuhnya (al-Quran) dengan anggota yang suci dalam masa yang sama sebahagian dari anggota badan yang lain bernajis, membacanya (al-Quran) dengan mulut yang kotor dan memakai pakaian yang ditulis ayatnya dan mengambil al-Fa’lu (mengharap untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu perkara) daripadanya[12].

Imam al-Bujairimi juga menukilkan pandangan al-Damiri yang menyebut bahawa menurut  mazhab al-Syafi’ie, makruh bertafa’ul dengan al-Quran, namun menurut Imam al-Qalyubi bahawa hukumnya adalah harus.

قَالَ الدَّمِيرِيُّ: وَمُقْتَضَى مَذْهَبِنَا كَرَاهَةُ أَخْذِ الْفَأْلِ مِنْهُ. وَقَالَ ق ل: يَجُوزُ أَخْذُ الْفَأْلِ مِنْهُ

Maksudnya: al-Darmiri berkata: Mazhab kami memutuskan bahawa makruh melakukan al-Fal dengan al-Quran, menurut al-Qalyubi: Harus melakukan al-Fa’l daripadanya (al-Quran).[13]

Disamping itu, sebab musabab sebahagian daripada ulama mengharamkan konsep tafa’ul ini kerana dianggap sebahagian daripada amalan menilik nasib dan bersumpah dengan anak panah yang mana ia dikenali sebagai amalan masyarakat jahiliah. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Qarafi dengan menukilkan pandangan Imam al-Turtusyi:

الْفَأْلِ مِنْ الْمُصْحَفِ وَضَرْبَ الرَّمْلِ وَالْقُرْعَةِ وَالضَّرْبِ بِالشَّعِيرِ وَجَمِيعَ هَذَا النَّوْعِ حَرَامٌ؛ لِأَنَّهُ مِنْ بَابِ الِاسْتِقْسَامِ بِالْأَزْلَامِ

Maksudnya: al-Fa’lu (mengharap pilihan yang baik) daripada al-Quran, melempar pasir, gandum dalam guni kecil dan membuat cabutan (untuk tilikan), dan setiap daripada perbuatan ini adalah diharamkan kerana ia termasuk dalam bab menilik nasib menggunakan anak panah.[14]

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik

(Surah al-Maidah, 3)

Konsep Beristikharah Berdasarkan Syarak

Istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak tidak terdapat nas sahih yang menyebut tentangnya. Bahkan sekiranya ia digunakan sebagai kepercayaan untuk menilik terhadap apa yang akan berlaku  pada masa hadapan maka ia adalah haram dan menyerupai perbuatan ahli sihir dan penilik nasib. Oleh itu, seseorang yang ingin beristikharah maka disunatkan melakukan solat sunat Istikharah kemudian diiringi dengan doa kepada Allah SWT sebagaimana yang diajar oleh Baginda SAW. Perkara ini disaran oleh Syeikh ‘Atiyah Saqr melalui fatwanya:

وهذا كله لم يأت خبر صحيح بجوازه، والاستخارة الشرعية معروفة وهى صلاة ركعتين، ثم الدعاء بعدهما بالدعاء المعروف الوارد عن النبى صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Setiap daripada perkara ini (istikharah menggunakan al-Quran) tidak terdapat khabar yang sahih yang mengharuskannya. Istikharah yang disyariatkan diketahui iaitu dengan melakukan solat dua rakaat, kemudaian berdoa selepasnya dengan doa yang telah diajar dari Nabi SAW.[15]

Hal ini bertepatan dengan saranan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Ranhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ ‏‏ إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mengajar kami Istikharah dalam segenap perkara sepertimana Baginda mengajar kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berazam untuk melakukan sesuatu perkara maka dirikanlah solat dua rakaat selain daripada solat fardu.

Riwayat al-Bukhari (1166)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penerangan yang diberikan, jelas bahawa istikharah dengan membuka lembaran al-Quran secara rawak tidak terdapat dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan berkenaan dengannya. Para ulama berbeza pandangan di dalam isu ini, iaitu haram, makruh dan harus. Namun, menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie makruh hukumnya.

Oleh itu, dalam menghadapi situasi ini setiap muslim perlu bersikap lebih warak iaitu meninggalkan amalan ini kerana sebahagian ulama mengharamkannya. Bahkan di sisi mazhab Syafi’ie hukumnya adalah makruh yang memberi makna perbuatan yang sia-sia, malah tiada ganjaran dan apa-apa fadilat. Justeru itu, lebih baik ditinggalkannya.

Tuntasnya, perlu menghidupkan amalan istikharah dengan cara yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW iaitu solat istikharah dan berdoa kepada Allah SWT disamping meminta nasihat dari individu yang berpengalaman.

Untuk maklumat lebih lanjut boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk:

AL-KAFI #829 : APA ITU ISTIKHARAH?

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-342 : ADAKAH DISYARATKAN BERMIMPI SEBAGAI JAWAPAN ISTIKHARAH?

Wallahu’alam

 

[1] Rujuk, al-I’anah al-Talibin, Abu Bakar Syata al-Dimyati, Dar al-Fikr, 1418H, 1/297

[2] Rujuk, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Ahmad bin Ali al-‘Asqalani, Dar Ma’rifah, 1379H, 11/183

[3] Rujuk, al-Nihayah fi Gharib al-Hadis, Ibnu Athir, 3/406.

[4] Rujuk, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, Badruddin al-Aini, 12/12.

[5]  Rujuk, Adam al-Dunya wa al-Din, Abu al-Hasan Ali al-Mawardi, Dar Maktabah al-Hayah, t.t.t, hlm. 316

[6] Rujuk, Gharaib al-Ightirab wa Nazhah al-Albab fi al-Zihab wa al-Iqamah wa al-Iyab, Syihabuddinn al-Husaini al-Alusi, t.t,.t.t.t, hlm. 19

[7]Rujuk, Gharaib al-Ightirab wa Nazhah al-Albab fi al-Zihab wa al-Iqamah wa al-Iyab, Syihabuddinn al-Husaini al- Alusi,t.t, t.t.t, hlm. 19 (أنه حكى بعض المؤرخين أن بعض العلماء أراد السفر في البحر ففتح المصحف وقابله قول الله تعالى: وَاتْرُكِ الْبَحْرَ رَهْواً إِنَّهُمْ جُنْدٌ مُغْرَقُونَ [الدخان: 24] فترك السفر، وغرق المركب في البحر براكبيه)

[8] Rujuk, al-Wadih fi ‘Ulum al-Quran, Mustafa al-Bugha, Mahyuddin Misto, Dar al-kalam al-Tayyib/ Dar ‘Ulum al-Insaniyyah, 1418H, hlm. 39

[9] Rujuk, Gharaib al-Ightirab wa Nazhah al-Albab fi al-Zihab wa al-Iqamah wa al-Iyab, Syihabuddinn al-Husaini al-Alusi, t.t,.t.t.t, hlm. 19

[10] Ibid

[11] Rujuk, Hasyiah al-Ramli al-Kabir ala Asna al-Matalib Fi Syarh Raud al-Talib, Zakaria al-Ansari, Dar Kitab al-Islamiy, t.t, 1/61

[12] Rujuk, Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah bi Syarh Masail al-Ta’lim, Sa’id bin Muhammad Ba’aliy al-Hadramiy, Dar Minhaj li Nashr wa al-Tauzi’, 1425H, hlm.116

[13] Rujuk, Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Dar al-Fikr, 1415H, 1/373

[14] Rujuk, al-Furuk- Anwar al-Buruk fi Anwa’ al-Furuk, Abu ‘Abbas al-Qarafi, t.t,t.t.t, 4/240

[15] Rujuk, Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 1997M, 7/463