SOALAN
Saya merupakan salah seorang AJK masjid yang ditugaskan untuk mengawasi tabung masjid. Duit tabung yang berada dalam simpanan saya telah dicuri. Adakah saya bertanggungjawab untuk menggantinya?
Terima kasih.
JAWAPAN RINGKAS
Duit masjid yang hilang dalam jagaan yang rapi tidak perlu diganti manakala jika hilang kerana kecuaian hendaklah diganti oleh penjaga tersebut.
HUJAH DAN ANALISIS
Masjid merupakan salah satu institusi yang mempunyai peranan yang penting di dalam Islam. Masyarakat meletakkan satu kepercayaan yang utuh kepada institusi masjid sebagai wadah dalam penyatuan ummah melalui aktiviti yang dijalankan oleh pengurusan masjid. Setiap masjid akan mempunyai tabung sendiri bagi mengumpul dana dalam memastikan setiap aktiviti masjid dalam menegakkan syiar islam dapat berjalan dengan baik.
Pengurusan tabung masjid akan diuruskan oleh jawatankuasa yang telah diberikan amanah terhadap tabung tersebut. Segala perbelanjaan, keselamatan tabung tersebut menjadi amanah bagi jawatankuasa yang terlibat agar tidak hilang atau rosak. Penjagaan yang teliti harus dititikberatkan oleh pemegang amanah agar wang tersebut selamat sama ada dicuri atau berlaku penyalahgunaan. Hal ini kerana, kutipan tabung masjid boleh mencapai ribuan bahkan ratus ribu ringgit. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan bagi pemegang amanah untuk memastikan ia selamat dengan penjagaan yang rapi. Sikap sambil lewa hanya akan membawa kepada perkara yang tidak diingini seperti hilang dicuri dan sebagainya.
Jika duit masjid yang dijaga hilang di dalam jagaannya yang rapi maka pemegang amanah tersebut tidak wajib menggantinya. Namun, jika kehilangan itu disebabkan kecuaiannya, maka pemegang amanah tersebut wajib menggantikannya. Sebagai contoh, wang tersebut hilang di dalam pejabat yang dikunci rapi, maka dia tidak wajib menggantikannya kerana tidak sengaja. Namun, jika dia meninggalkan wang tersebut di mana-mana tanpa pengawasan yang rapi maka dia wajib menggantikannya kerana berlaku kecuaian. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbinie di dalam kitabnya:
كُلُّ مَالٍ تَلِفَ فِي يَدِ أَمِينٍ مِنْ غَيْرِ تَعَدٍّ لَا ضَمَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Setiap harta yang rosak di tangan pemegang amanah dengan tanpa kecuaian maka dia tidak perlu menggantikannya”.
(Rujuk Mughni al Muhtaj 4/143)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, jawatankuasa yang menguruskan tabung masjid haruslah sentiasa memastikan tabung masjid berada dalam keadaan yang selamat. Sebarang kecuaian hendaklah dielakkan kerana jawatankuasa merupakan pemegang amanah yang bertanggungjawab ke atas keselamatan tabung masjid. Jika kehilangan disebabkan kecuaian adalah menjadi kewajipan pemegang amanah untuk menggantikannya kembali.