Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-608 : HUKUM ISTERI KELUAR RUMAH TANPA IZIN SUAMI KERANA DARURAT

HUKUM ISTERI KELUAR RUMAH TANPA IZIN SUAMI KERANA DARURAT

 

SOALAN

Salam dato’. Boleh ke keluar rumah tanpa izin?. Isteri baru bersalin 2 minggu, pastu naik ruam satu badan teruk dan suami macam endah tak endah taknak bawa pergi hospital, jadi isteri tu nak keluar nak duduk dengan mak sendiri untuk berpantang sebab bukan rumah yang disediakan, dan tak tahan dengan ruam yang teruk tapi suami tu cakap tak boleh bawa anak sekali. So kalu isteri keluar rumah dengan rela boleh ke? 

 

RINGKASAN JAWAPAN

Sebagai seorang isteri, perlu mentaati suami dalam segala perkara yang makruf (tidak bertentangan dengan syarak). Namun begitu, ketaatan ini terbatas sekiranya arahan suami bertentangan dengan maslahat (kebaikan) isteri seperti isteri dalam keadaan sakit atau darurat dan suami tidak membawa ke hospital atau tidak mendapatkan rawatan. Justeru, isteri diharuskan keluar rumah meskipun tanpa keizinan suami untuk mendapat rawatan sewajarnya demi kemaslahatan  dan kesihatannya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

 

Isteri perlu taat kepada suami dalam perkara yang makruf kerana suami telah diamanahkan oleh Allah sebagai ketua keluarga. Namun begitu, Islam menetapkan bahawa ketaatan isteri kepada suami bukanlah kepada perkara yang dilarang oleh Allah serta boleh menandingi ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, bahkan ketaatan kepada suami bukanlah termasuk ketaatan yang mutlak (tidak terbatas).

 

Hal ini kerana terdapat beberapa perkara yang isteri tidak wajib mentaati suami seperti arahan melaksanakan perkara yang mendatangkan mudarat pada dirinya. Sebagai contoh, isteri diajak berjimak dalam keadaan isteri sedang sakit dan boleh menyebabkan mudarat kepada isteri. Maka isteri ketika ini tidak wajib taat kepada suami, bahkan isteri tidak hilang haknya ke atas suami kerana dalam hal ini dia tidak dikira sebagai nusyuz. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya:

وَلَوْ كَانَتْ مَرِيضَةً، أَوْ كَانَ بِهَا قَرْحٌ يَضُرُّهَا الْوَطْءُ، فَهِيَ مَعْذُورَةٌ فِي الِامْتِنَاعِ عَنِ الْوَطْءِ وَعَلَيْهِ النَّفَقَةُ إِذَا كَانَتْ عِنْدَهُ.

Maksudnya: “Jikalau dia (si isteri) dalam keadaan sakit atau luka yang boleh memudaratkannya dengan jimak, maka dia diberi keuzuran untuk menahan diri dari berjimak. dia (isteri) juga berhak mendapatkan nafkah dari suaminya.”

(Rujuk: Raudah al-Tolibin, 9/59)

 

Selain itu juga, dalam beberapa keadaan isteri dibenarkan untuk keluar dari rumah tanpa izin dari suami, kerana bimbang tentang dirinya dan hartanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam karya beliau:

‌إذا ‌خافت ‌على ‌نفسها ‌أو ‌مالها من فاسق أو سارق

Maksudnya: “Apabila dia bimbang terhadap keselamatan diri atau hartanya daripada orang fasiq atau pencuri.”

(Rujuk:  Fath al-Mu’in, hlm 545)

 

Sehubungan itu juga, Islam diutuskan kepada umat manusia dengan lima objektif (maqasid) utama, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh yang demikian, sebagai Muslim perlu menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat menjaga kelangsungan hidup berpanjangan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan seorang ibu yang baru bersalin dan anak yang baru dilahirkan memerlukan pemerhatian serta penjagaan yang rapi. Dalam masa yang sama mereka sangat mengharapkan pertolongan dari orang yang paling terdekat. Justeru, seorang isteri yang sedang sakit diabaikan oleh suami sehingga mendatangkan mudarat yang lebih besar, maka isteri perlu mendapatkan rawatan walaupun tidak diizinkan oleh suami. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan bahawa:

الضرر يُزَال

Maksudnya: Kemudaratan itu disingkirkan.

(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazair, al-Subki, 1/41)

 

Berdasarkan kaedah fiqh ini, Syeikh Mustafa Al-Zarqa menyatakan bahawa sesuatu kemudaratan itu WAJIB dihilangkan atau disingkirkan. Kaedah ini berkaitan dengan kemudaratan dari sudut larangan melakukannya dan kewajipan mencegah menyingkirkannya setelah ia berlaku.[1]

(Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, 179)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, suami seharusnya mengambil berat dan menjaga kesihatan isteri yang baru melahirkan zuriatnya. Suami mengabaikan isteri dalam keadaan sakit merupakan perkara mungkar yang dilarang dalam Islam. Justeru, isteri tidak wajib mentaati perkara mungkar lebih-lebih lagi perkara itu boleh mendatangkan kemudaratan. Tambahan pula, suami tidak boleh memisahkan antara anak dan ibu kerana si anak masih memerlukan ibu untuk menyusu dan membesar.

 

[1] " ‌الضَّرَر ‌يزَال " أَي تجب إِزَالَته، وَهَذِه هِيَ الْقَاعِدَة الثَّانِيَة بشأن الضَّرَر، من حظر إِيقَاعه، وَوُجُوب إِزَالَته بعد الْوُقُوع