Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-614: HUKUM MELASTIK AYAM JIRAN YANG MENCEMARKAN KAWASAN KEDIAMAN

HUKUM_MELASTIK_AYAM_JIRAN_YANG_MENCEMARKAN_KAWASAN_KEDIAMAN.png

Soalan

Apakah hukum lastik ayam jiran yang kerap berak dalam kawasan kediaman kita dan ayam tersebut setelah di lastik jatuh ke dalam banjir kemudian mati?

Jawapan Ringkas

Perbuatan mengusir binatang daripada kawasan kediaman sehingga menzalimi binatang tersebut seperti melastik ayam adalah berdosa. Perkara ini mesti dihindari kerana telah disebutkan dalam suatu hadis orang yang menzalimi binatang akan mendapat balasan daripada Allah SWT.

Huraian Jawapan

Berpandukan kepada situasi yang berlaku, pemilik ayam tersebut seharusnya menjaga adab-adabnya dengan jiran sekeliling. Sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam seseorang yang hidup berjiran perlu menghormati jirannya dan berbuat kebaikan kepada jiran. Firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya: “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

Surah al-Nisa’ (36)

Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini mengatakan bahawa:

فأوصى ربنا جل جلاله بجميع هؤلاء عبادَه إحسانًا إليهم

Maksudnya: Allah SWT menjelaskan kepada semua hambanya bahawa berbuat baiklah sesama mereka (ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan lain-lain).

(Rujuk Jamiʻ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, 8/348)

Demikianlah yang disebutkan oleh ulama bahawa perlu berbuat baik kepada jiran tetangga. Jelaslah disini menunjukkan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran tetangga merupakan satu tuntutan yang besar. Bahkan, terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang berbuat baik kepada jiran tetangga, antaranya:

Syurayh al-Khuza’i RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” 

Riwayat Muslim (48)

Dalam hadis yang lain, Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ، وَخَيْرُ الجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Maksudnya: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” 

Riwayat al-Tirmidhi (1944)

Semua dalil-dalil ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Oleh itu, sepatutnya tuan ayam tersebut menjaga ayamnya dengan baik agar tidak berkeliaran sehingga mencemarkan halaman kediaman jirannya yang akhirnya akan menyebabkan jirannya berasa tidak selesa dan tersakiti. Dalam hidup berjiran ada beberapa hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Nabi SAW juga telah menegaskan bahawa:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya.

Riwayat Muslim (46)

Manakala, jiran yang rumahnya dicemari dengan tahi ayam dibolehkan untuk menghalau ayam tersebut daripada kediamannya kerana rumah dan kawasan halaman rumah tersebut adalah haknya. Tetapi, tidak boleh menghalau ayam tersebut secara zalim dan boleh memudaratkan ayam tersebut.

Perkara ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Seorang wanita dimaksukkan kedalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi.

Riwayat Muslim (2619)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang yang melakukan sesuatu kemudaratan dan kezaliman terhadap binatang akan mendapat balasan daripada Allah di akhirat kelak. Orang yang memelihara binatang dan membiarkan binatang tersebut kelaparan pun dikenakan balasan apatah orang yang memberi mudarat seperti melastik binatang kerana hendak mengusirnya daripada kawasan kediaman. Maka, sepatutnya perlu berhati-hati ketika hendak mengusir binatang yang mencemarkan kawasan kediaman supaya tidak menzalimi dan menyebabkan kecederaan pada binatang tersebut.

Jiran yang kawasan kediamannya dicemari oleh ayam jirannya boleh menasihati terlebih dahulu pemilik ayam tersebut supaya ayam-ayamnya dipelihara dengan baik dan tidak berkeliaran sehingga mengganggu jiran sekeliling.

Seterusnya, jika tidak berjaya nasihat tersebut maka dicadangkan agar perkara ini diadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Hal ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengenakan kompaun dan memberi notis amaran kepada pemilik binatang tersebut. Perkara ini juga supaya pemilik binatang tersebut lebih cakna dan lebih prihatin dalam menjaga binatang yang diternak olehnya.

Kesimpulan

Harus untuk mengusir binatang jiran yang mencemarkan kawasan kediaman. Namun, perbuatan mengusir binatang daripada kawasan kediaman sehingga menzalimi binatang tersebut seperti melastik ayam adalah berdosa. Perkara ini mesti dihindari kerana orang yang menzalimi binatang akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Sepatutnya, perlu ditegur pemilik ayam tersebut untuk memelihara ayam-ayamnya dengan baik dan tidak mengganggu jiran sekeliling. Wallahua’lam.