SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Apakah nafkah zahir dan batin itu termasuk sekali dengan keperluan emosi dan kesihatan mental yang baik bagi seorang isteri? Adakah emosi yang baik termasuk dalam nafkah batin? Membaca tragedi seorang suami menembak isteri, bukti pentingnya kefahaman pasangan berkenaan pengurusan emosi. Kata-kata makian daripada seorang suami yang ditonton oleh anak-anak akan menggangu psikologi anak-anak. Langkah menuntut fasakh bukan pilihan sesetengah isteri yang salah faham konsep sebenar. Saya juga ingin bertanya berkenaan hadis yang mengatakan Arasy bergegar apabila berlaku penceraian. Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Keperluan emosi, mental dan fizikal yang baik merupakan salah satu nafkah batin yang wajib suami tunaikan terhadap isteri. Islam melarang seorang suami melayan isteri dengan cara yang tidak baik. Antaranya mengeluarkan kata-kata kesat dan mempamerkan sikap kasar terhadap isteri di hadapan anak-anak. Dalam hal ini juga, suami bertanggungjawab membimbing isteri dan tunjuk ajar serta nasihat dari sudut pendidikan agama dan kefahaman berkenaan pengurusan emosi. Manakala, fasakh merupakan hak bagi isteri menuntut penceraian yang diberi ruang oleh Islam dengan syarat-syarat tertentu dalam menyelesaikan konflik rumahtangga.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam Islam terdapat hak-hak yang wajib ditunaikan oleh suami terhadap isterinya. Firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَةٞۗ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”
Surah al-Baqarah (228)
Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan daripada kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para-para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka wajib bagi suami berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin.
(Rujuk: Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531)[1]
Keperluan emosi dan kesihatan mental yang baik termasuk nafkah yang wajib ditunaikan. Suami dan isteri harus berlaku adil antara satu sama lain. Komunikasi dengan baik serta layanan secara lemah lembut terhadap isteri, bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental. Ini bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yang lembut dan mudah terguris hatinya. Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis Nabi SAW dari Abu Hurairah R.A. Sabda Rasulullah SAW:
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
Maksudnya: “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”.
Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)
Berdasarkan hadis ini, Imam Ibnu Hajar dalam menjelaskan hadis ini menyebut bahawa asal kejadian wanita ialah tulang rusuk lelaki (Nabi Adam AS) iaitu ia bersifat bengkok secara semula jadi. Ini bermakna wanita tidak mampu menerima pelurusan sepenuhnya kerana sifat asal kejadiannya yang bengkok. Oleh itu, jika si lelaki (suami atau bapa) cuba melurusnya pasti ia akan patah.
(Rujuk: Fath al-Bari, 6/368)[2]
Tambahan juga dari Abu al-Hasan Nuruddin dalam menghuraikan hadis di atas menyebut bahawa seorang suami tidak sepatutnya berlebih-lebihan dalam meluruskan kekurangan si isteri kerana ia akhirnya membawa kepada penceraian dan pengakhiran yang tidak baik. Oleh itu si suami perlu ada sikap toleransi dan pemaaf atas kekurangan yang ada pada isteri.
(Rujuk: Mirqah al-Mafatih, 5/2117)[3]
Hadis tersebut jelas menerangkan cara komunikasi yang berkesan terhadap wanita. Perlakuan kasar kepada isteri mencakupi ucapan yang menyakitkan atau tindakan yang menyakitkan fizikalnya. Bentuk tindakan yang menyakitkan perasaan isteri misalnya mencari-cari kesilapan isteri, mengkhianati isteri, menganggu ketenangan isteri, melenting, marah menganggu emosinya dan sebagainya. Islam mengajar agar suami sentiasa menggauli isteri dengan cara yang sangat baik. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Surah an-Nisa’ (19)
Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan bahawa ayat ini secara umumnya perintah Allah ke atas para suami agar berinteraksi dengan isteri-isterinya dengan pergaulan yang baik.
(Rujuk: al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/97)[4]
Menurut Syeikh al-Maraghi pula, ayat ini mengisyaratkan tentang kebersamaan dan kerjasama antara suami dan isteri dalam menghulurkan layanan yang baik antara kedua-duanya yang mana isteri sebagai sumber kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangga.
(Rujuk: Tafsir al-Maraghi, 2/213-214)[5]
Tambahan pula, suami dalam melayari bahtera rumahtangga perlu mengambil teladan akhlak terbaik yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda SAW dalam sebuah hadis:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.”
Riwayat Ibn Majah (2053)
Sehubungan itu, suami tidak mempunyai hak untuk memukul sehingga mencederakan isteri, apatalagi menganiayainya. Mendatangkan kecederaan dan menganiayai isteri memiliki implikasi dalam undang-undang persekutuan, dan undang-undang Syariah. Contohnya. Seksyen 52 Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. Seksyen itu memperuntukkan, antara lain;
(1) “Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:
- lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;”
Ini menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan dan menganiayai isteri adalah darar Syarie yang mengharuskan tuntutan fasakh. Dalam masa yang sama, Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan dalam Seksyen 319 ke atas berkenaan kesalahan mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mana-mana orang. Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada ibu bapa untuk membuat laporan polis atau memberikan keselamatan dan perlindungan kepada anaknya, sama ada lelaki atau perempuan, yang dipukul, dicederakan dan dianiaya oleh pasangan.
Berkenaan hadis yang mengatakan Arasy bergegar apabila berlaku penceraian, sila rujuk artikel kami di link: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2334-irsyad-al-hadith-siri-ke-256-talak-menggegarkan-arash-dan-dimurkai-allah
KESIMPULAN
Islam telah menetapkan tanggugjawab ke atas suami dalam kepimpinan rumahtangga, tanggungjawab memenuhi hak-hak isteri dan juga Islam memerintahkan agar bersikap santun dan berkelakuan baik terhadap mereka. Oleh itu, apabila hak-hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakan hak-hak tersebut, maka dia telah melampaui batas-batas Allah dan RasulNya. Dalam melayari bahtera kehidupan setiap pasangan perlu tahu tanggungjawab masing-masing agar setiap seorang di antara mereka tidak dinafikan hak-hak masing-masing sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
[1] إذا أطعن الله وأطعن أزواجهن، فعليه أن يُحسن صحبتها، ويكف عنها أذاه، ويُنفق عليها من سَعَته
[2] وَفَائِدَةُ هَذِهِ الْمُقَدِّمَةِ أَنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ أَعْوَجَ فَلَا يُنْكَرُ اعْوِجَاجُهَا أَوِ الْإِشَارَةُ إِلَى أَنَّهَا لَا تَقْبَلُ التَّقْوِيمَ كَمَا أَنَّ الضِّلَعَ لَا يَقْبَلُهُ قَوْلُهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ
[3] وَهُوَ الضِّلَعُ الْأَعْلَى، فَلَا يَسْتَطِيعُ أَحَدٌ أَنْ يُغَيِّرَهُنَّ مِمَّا جُبِلَتْ عَلَيْهِ أُمُّهُنَّ، فَلَا يَتَهَيَّأُ الِانْتِفَاعُ بِهِنَّ إِلَّا بِمُدَارَاتِهِنَّ وَالصَّبْرِ عَلَى اعْوِجَاجِهِنَّ فِيمَا لَا إِثْمَ فِي مُعَاشَرَتِهِنَّ
[4] أَيْ عَلَى مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ مِنْ حُسْنِ الْمُعَاشَرَةِ. وَالْخِطَابُ لِلْجَمِيعِ، إِذْ لِكُلِّ أَحَدٍ عِشْرَةٌ، زَوْجًا كَانَ أَوْ وَلِيًّا، وَلَكِنَّ الْمُرَادَ بِهَذَا الْأَمْرِ فِي الْأَغْلَبِ الْأَزْوَاجُ
[5] وفى كلمة (المعاشرة) معنى المشاركة والمساواة أي عاشروهن بالمعروف وليعاشرنكم كذلك، فيجب أن يكون كل من الزوجين مدعاة لسرور الآخر وسبب هناءته وسعادته فى معيشته