Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-625 : HUKUM MEMBERI TIP KEPADA PENGHANTAR MAKANAN

625 2

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, apakah hukum memberikan tips kepada penghantar makanan sedangkan pelanggan telah membayar kos penghantaran?

 

Jawapan Ringkas

Hukum memberikan tips kepada penghantar makanan adalah harus dan merupakan salah satu bentuk sedekah yang akan mendatangkan pahala buat pemberi serta akan memberi kebahagiaan kepada penghantar makanan tersebut. Dalam masa yang sama, pemberian tips adalah hak pelanggan. Oleh itu, penghantar makanan perlu mengelakkan sikap meminta-minta kerana sikap tersebut dilarang dan akan menghilangkan keikhlasan tersebut.

 

Huraian Jawapan

Pemberian tips adalah pemberian tambahan daripada seorang pelanggan kepada penghantar makanan selain daripada kos penghantaran yang telah dibayar dengan niat bersedekah atau hadiah kerana berpuas hati dengan perkhidmatannya. Bagi sesetengah keadaan, pelanggan membayar kos barang dan kos penghantaran kepada penghantar makanan dan bakinya diberikan kepada penghantar tersebut. Tambahan lagi, pada hari ini ada juga sistem penghantaran makanan yang menyediakan ruangan khas dalam aplikasinya untuk pelanggan memberikan tips kepada penghantar makanan.

 

Pemberian tips ini adalah sama seperti memberi sedekah atau hadiah kepada seseorang. Perbuatan memberi sedekah atau hadiah ini adalah perkara yang tidak dilarang dalam agama bahkan merupakan amalan yang digalakkan. Hal ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَالْيَدُ الْعُلْيَا الْمُنْفِقَةُ وَالسُّفْلَى السَّائِلَةُ

Maksudnya: Tangan yang di atas (orang yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah orang yang memberi manakala tangan yang di bawah adalah tangan orang yang menerima.

Riwayat Muslim (1033)

 

Di samping itu, amalan memberi hadiah dan menerima hadiah juga adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Hal ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah yang berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيبُ عَلَيْهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW menerima hadiah dan kemudian membalas hadiah tersebut.

Riwayat al-Bukhari (2585)

 

Selain itu, terdapat juga Riwayat hadis lain yang menunjukkan terdapat galakkan daripada Rasulullah SAW untuk saling memberikan hadiah. Rasulullah SAW bersabda:

تَهَادُوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: Berilah hadiah dan saling berkasih sayang antara kamu.

Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (343)

 

Namun begitu, dalam meraikan amalan saling memberi dan menerima hadiah, perlu diingatkan juga untuk menjauhi sikap meminta-minta atau mengharapkan hadiah atas kerja yang dilakukan. Ini adalah kerana sikap meminta-minta adalah sikap yang dilarang. Perkara ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar berikut:

سَمِعْتُ عُمَرَ، يَقُولُ:كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِينِي العَطَاءَ، فَأَقُولُ: ‌أَعْطِهِ ‌مَنْ ‌هُوَ ‌أَفْقَرُ ‌إِلَيْهِ ‌مِنِّي، فَقَالَ: خُذْهُ إِذَا جَاءَكَ مِنْ هَذَا المَالِ شَيْءٌ وَأَنْتَ غَيْرُ مُشْرِفٍ وَلَا سَائِلٍ، فَخُذْهُ وَمَا لَا فَلَا تُتْبِعْهُ نَفْسَكَ

Maksudnya: Aku dengar daripada ‘Umar berkata, “Rasulullah SAW memberiku pemberian (dari harta rampasan), kemudian aku berkata, berikanlah wang (gaji) tersebut kepada orang yang lebih memerlukan daripadaku.” Maka Rasulullah SAW berkata, “Ambillah, sekiranya harta ini datang kepadamu dan kamu tidak mengharapkannya atau memintanya, maka ambillah dan apa yang tidak diberikan kepadamu janganlah kamu memintanya.”

Riwayat al-Bukhari (1473)

 

Kesimpulan

Hukum memberikan tips kepada penghantar makanan adalah harus dan merupakan salah satu bentuk sedekah yang akan mendatangkan pahala buat pemberi serta akan memberi kebahagiaan kepada penghantar makanan tersebut. Dalam masa yang sama, pemberian tips adalah hak pelanggan. Oleh itu, penghantar makanan perlu mengelakkan sikap meminta-minta kerana sikap tersebut dilarang dan akan menghilangkan keikhlasan tersebut.

 

Wallahualam.