Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-643 : PANDANGAN ISLAM TERHADAP OBJECTOPHILIA (KECENDERUNGAN SEKSUAL KEPADA OBJEK)

 

IF643

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang pandangan Islam terhadap objectophilia (kecenderungan seksual kepada objek)?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Objectophilia atau objectum sexuality (OS) ialah satu penyakit mental yang mana pesakitnya perlu dirujuk dan dirawat oleh pakar-pakar psikiatri yang berkeahlian bagi memulihkannya kembali kepada keadaan yang normal. Hal ini kerana ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT terhadap manusia.

Selain itu, perbuatan melihat dan memandang sesuatu objek yang tidak bernyawa (al-jamadat) dengan bersyahwat hukumnya adalah haram. Begitu juga jika perasaan tersebut menjadikan seseorang melakukan persetubuhan atau ‘berkahwin’ dengan objek yang dicintainya tersebut dengan sengaja, maka hukum perbuatan tersebut juga adalah perbuatan yang haram dan berdosa.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara ringkas, objectophilia atau objectum sexuality (OS) ialah satu kecenderungan seksual atau hubungan romantis terhadap sesuatu objek. Individu yang mempunyai kecenderungan ini mempunyai perasaan cinta dan rasa tertarik yang kuat kepada objek-objek tertentu.[1]

Ia merupakan penyakit mental dimana pesakitnya mempunyai nafsu dan rasa ingin berhubungan dengan objek yang dicintainya tersebut. Sebagai contoh, Eija-Riitta Berliner-Mauer telah menyatakan bahawa dia mempunyai perasaan romantis terhadap Tembok Berlin. Julia Simner, James E.A Hughes dan Noam Sagiv dalam satu kajian yang dilakukan mereka menjelaskan bahawa keadaan tidak normal mempunyai kaitan yang rapat dengan penyakit autisme dan synaesthesia.[2] Selain itu, di laman sosial turut tular berkenaan seorang perempuan bernama Tabatha yang mengaku bahawa dia jatuh cinta kepada sebuah kolam renang yang dinamakannya sebagai Colin.[3]

Menurut pandangan Islam, Allah SWT telah menjadikan manusia secara fitrahnya berkahwin antara jantina lelaki dan perempuan daripada kalangan manusia sendiri. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.

(Surah al-Nisa’: 1)

Allah SWT juga berfirman:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ

Maksudnya: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?

(Surah al-Nahl: 72)

Imam Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini bahawa jika Allah SWT menjadikan pasangan manusia daripada jenis yang lain, maka tidak mungkin akan ada perasaan kasih dan sayang antara satu sama lain. Oleh itu, antara rahmat Allah SWT kepada manusia adalah Dia menjadikan pasangan mereka daripada kalangan manusia juga. Kata beliau:

وَلَوْ جَعَلَ الْأَزْوَاجَ مِنْ نَوْعٍ آخَرَ لَمَا حَصَلَ ائْتِلَافٌ وَمَوَدَّةٌ وَرَحْمَةٌ، وَلَكِنْ مِنْ رَحْمَتِهِ خَلَقَ مِنْ بَنِي آدَمَ ذُكُورًا وَإِنَاثًا، وَجَعَلَ الْإِنَاثَ أَزْوَاجًا لِلذُّكُورِ.

Maksudnya: Jika Allah SWT menjadikan pasangan manusia daripada jenis yang lain daripadanya, sudah tentu tidak akan tercapai perasaan mesra, cinta dan rahmah. Namun atas rahmat Allah SWT, Dia menciptakan anak-anak Adam daripada kalangan lelaki dan perempuan serta Dia menjadikan kaum perempuan sebagai pasangan kepada kaum lelaki.[4] (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 4:586)

Selain itu, golongan yang melanggar fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT ini akan dikeji dan dicela sepertimana contohnya golongan Nabi Luth AS yang kaum lelakinya mendatangi kaum lelaki dan bukannya perempuan. Antaranya firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ . وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!"

(Surah al-Syua’raa: 165-166)

Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT mencela ke atas kaum Nabi Luth AS dengan berkata hanya golongan mereka yang melakukan perkara terkutuk ini dalam kalangan manusia keseluruhannya dengan mereka melanggar fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT. Mereka mendatangi kaum lelaki dan meninggalkan kaum wanita yang Allah SWT telah halalkan bagi mereka untuk mereka saling bermesra antara satu sama lain.[5] (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 19:94)

Di samping itu juga, para ulama ada membahaskan tentang hukum melihat sesuatu objek yang tidak bernyawa dengan pandangan syahwat. Sebahagian ulama berpandangan bahawa memandang apa jua yang dipandang walaupun objek yang tidak bernyawa dengan bersyahwat, maka hukumnya adalah haram. Dalam hal ini, Syeikh Sulaiman al Bujayrimi ada menukilkan pandangan Syeikh al-Syabramallisi:

أَمَّا النَّظَرُ بِشَهْوَةٍ فَحَرَامٌ قَطْعًا لِكُلِّ مَنْظُورٍ إلَيْهِ مِنْ مَحْرَمٍ وَغَيْرِهِ غَيْرِ زَوْجَتِهِ وَأَمَتِهِ شَرْحُ م ر قَالَ ع ش عُمُومُهُ يَشْمَلُ الْجَمَادَاتِ فَيَحْرُمُ النَّظَرُ إلَيْهَا بِشَهْوَةٍ

Maksudnya: Adapun melihat sesuatu dengan bersyahwat adalah haram secara pasti. Ini termasuklah melihat kepada apa yang dilihatnya seperti kepada mahramnya dan orang lain selain daripada isteri atau hamba miliknya (Rujuk Syarah Syeikh Syamsuddin al-Ramli). Manakala Syeikh al-Syabramallisi mengatakan bahawa keumuman pengharaman ini meliputi benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamadat), maka diharamkan juga melihat benda-benda yang tidak bernyawa dengan bersyahwat.[6] (Rujuk Hasyiah Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, 3:326)

Berdasarkan pandangan di atas perbuatan melihat sesuatu objek yang tidak bernyawa dengan mempunyai kecenderungan seksual dan keinginan hubungan romantis terhadapnya adalah haram dan berdosa.

Secara kesimpulannya, kecenderungan seksual dan hubungan romantis ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT dan ia perlu dirawat dengan segera. Jika perasaan tersebut menjadikan pesakitnya melakukan persetubuhan atau ‘berkahwin’ dengan benda yang dicintai oleh mereka tersebut dengan sengaja dan sukarela, maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Oleh yang demikian, pesakit yang menghidap penyakit ini hendaklah dirujuk kepada pakar-pakar psikiatiri yang berkeahlian bagi merawat dan memulihkan mereka kepada keadaan yang normal.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Object_sexuality

[2] Julia Simner, James E.A Hughes, Noam Sagiv, 2019, Objectum sexuality: A sexual orientation linked with autism and synaesthesia, Scientific Reports, hlmn 1-2.

[3] Rujuk link: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3423335307942862&id=1786599751616434

[4] Ibn Kathir, Abu al-Fida Ismail Ibn Umar, 1999, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, Dar al-Tiybah li al-nasyr wa al-tawzi’, jld. 4, hlmn. 586.

[5] Al-Maraghi, Ahmad Ibn Mustafa, 1946, Tafsir al-Maraghi, Kaherah, Matba’ah Mustafa al-Bab al-Halabi, jld. 19, hlmn. 94.

(أَتَأْتُونَ الذُّكْرانَ مِنَ الْعالَمِينَ. وَتَذَرُونَ ما خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ أَزْواجِكُمْ) أي أأنتم دون الناس جميعا تفعلون هذه الفعلة الشنعاء، تعشون الذكور وتتركون النساء اللاتي جعلهن الله حلّا لكم تستمتعون بهن ويستمتعن بكم.

[6] Al-Bujairimi, Sulaiman, 1950, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, Kaherah, Matba’ah Halabi, jld. 3, hlmn. 326.