Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-645: ADAKAH PENIAGA WAJIB BELAJAR HUKUM-HAKAM BERKAITAN JUAL BELI?

645

Soalan

Assalamualaikum ustaz, apakah hukum mempelajari hukum-hakam berkaitan jual beli bagi seorang peniaga? Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Wajib bagi orang yang ingin melibatkan diri dengan perniagaan untuk mempelajari hukum-hakam berkaitan jual beli seperti rukun dan syarat jual beli, akad jual beli dan apa yang merosakkan akad dan sebagainya. Ini adalah penting bagi memastikan seorang peniaga memperoleh keuntungan yang halal lagi berkat dan terhindar daripada dosa serta hasil yang haram.

 

Oleh itu, dinasihatkan untuk orang yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan hukum-hakam serta halal dan haram dalam jual beli bagi mengelakkan daripada melakukan perkara yang dilarang. Ilmu berkaitan boleh dicari dengan cara membaca, berguru dengan orang yang mahir berkaitan hukum-hakam dan bertanya. Moga-moga hasil usaha daripada perniagaan yang dijalankan adalah halal dan diberkati Allah.

 

Huraian Jawapan

Para ulama terdahulu melarang seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan sebelum dia mempelajari hukum-hakam berkaitan muamalat dalam perniagaan supaya dia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang sewaktu menjalankan aktiviti perniagaan. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 53/22[1])

 

Tambahan lagi, menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap orang Islam. Manakala orang Islam yang ingin menceburi bidang perniagaan pula perlulah melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan hukum-hakam dan halal haram dalam jual beli. Rasulullah SAW bersabda:

طَلَبُ العِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَىْ كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap Muslim.

Riwayat Ibn Majah (224)

 

Tuntutan untuk mempelajari hukum-hakam berkaitan jual beli bagi seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan adalah kerana aktiviti perniagaan tidak lekang dengan masalah-masalah seperti bersumpah, menipu, manipulasi dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW berikut:

‌يا ‌معشر ‌التجار، إن البيع يحضره الحلف واللغو، فشوبوه بالصدقة

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya dalam jual beli akan melibatkan sumpah palsu dan penipuan. Oleh itu, campurkanlah jual beli kamu dengan sedekah.

Riwayat Ibn Majah (2145)

 

Melihat kepada kepentingan untuk seorang peniaga melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan hukum-hakam jual beli, Khatib Syarbini dalam karyanya Mughni al-Muhtaj menukilkan kata-kata daripada Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA yang menuntut seorang peniaga untuk belajar tentang hukum-hakam berkaitan bagi mengelakkan dirinya daripada memperoleh keuntungan dengan cara yang haram. Saidina Umar RA berkata:

لا يبعْ في سوقِنا إلا من تفقَّه في الدينِ

Maksudnya: Tidak boleh seseorang berniaga di pasar kami ini kecuali mereka telah mempelajari hukum-hakam agama.

Riwayat al-Tirmizi (487)

 

Saidina Ali RA pula berkata:

من اتجر قبل أن يتفقه ارتطم في الربا ثم ارتطم ثم ارتطم.

Maksudnya: Sesiapa yang berniaga sebelum dia menguasai ilmu berkaitan hukum-hakam jual beli maka dia terjerumus dengan riba. Kemudian dia akan terjerumus lagi dan lagi

(Rujuk Warisah al-Anbiya’ Syarh Hadis Abi al-Darda’ hlm.23)

 

Sehubungan dengan itu, para ulama telah menyatakan bahawa setiap muslim yang ingin menceburi sesuatu perkara atau bidang perlu mempelajari hukum-hakam mengenainya serta melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan. Ini adalah kerana untuk mengelakkan mereka daripada melakukan perkara yang dilarang. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 292/30[2])

 

Oleh itu, dinasihatkan untuk orang yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan hukum-hakam serta halal dan haram dalam jual beli bagi mengelakkan daripada melakukan perkara yang dilarang. Ilmu berkaitan boleh dicari dengan cara membaca, berguru dengan orang yang mahir berkaitan hukum-hakam dan bertanya. Moga-moga hasil usaha daripada perniagaan yang dijalankan adalah halal dan diberkati oleh Allah.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukumnya adalah wajib bagi orang yang ingin melibatkan diri dengan perniagaan untuk mempelajari hukum-hakam berkaitan jual beli seperti rukun dan syarat jual beli, akad jual beli dan apa yang merosakkan akad dan sebagainya. Ini adalah penting bagi memastikan seorang peniaga memperoleh keuntungan yang halal lagi berkat dan terhindar daripada dosa serta hasil yang haram.

 

Wallahualam.

[1] وقد أثر عن السلف أنهم كانوا يحذرون من الاتجار قبل تعلم ما يصون المعاملات التجارية من التخبط في الربا،

[2] ‌وأما ‌البيع ‌والنكاح ‌وشبههما - ‌مما ‌لا ‌يجب ‌أصله - ‌فيحرم ‌الإقدام ‌عليه ‌إلا ‌بعد ‌معرفة ‌شرطه.