Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-654: HUKUM MEMAKAN SUSHI DAN SASHIMI

Irsyad Fatwa 654

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, bolehkah kita memakan sushi dan juga sashimi? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum memakan sushi dan sashimi adalah harus dan dibenarkan selagi mana ia tidak melanggar hukum syarak dan tidak memudaratkan tubuh badan mahupun akal fikiran. Di samping itu, perlu dipastikan juga hidangan sampingan yang dihidangkan bersama sushi dan sashimi seperti sos pencicah dan sebagainya hendaklah dalam kategori sesuatu yang halal, bukannya mengandungi sesuatu yang haram seperti sake (arak), hirisan daging khinzir dan lain-lain lagi.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak Langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.

Pada dasarnya, asal sesuatu makanan itu ialah halal melainkan adanya dalil yang menyatakan keharamannya atau adanya sebab yang membuatkan ia berubah menjadi haram.[1]

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ‎﴿١٦٨﴾

Al-Baqarah 2: 168

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Ayat ini jelas menunjukkan perintah dan arahan Allah SWT agar mencari makanan yang halal lagi suci. Ibn Kathir menyatakan bahawa menurut ayat ini Allah SWT menghalalkan untuk sekalian makhluk-Nya memakan apa sahaja di atas muka bumi ini dengan sesuatu yang halal lagi baik. Maksud baik di sini ialah makanan yang elok dan tidak memudaratkan tubuh badan dan akal fikiran.”[2]

Selain itu, Allah SWT berfirman di dalam ayat yang lain:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿١٤٥﴾

Al-An‘am 6: 145

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Berbalik kepada persoalan utama mengenai hukum memakan sushi dan juga sashimi, terlebih dahulu perlulah diteliti akan apakah yang dimaksudkan dengan kedua-duanya.

Sushi merupakan salah satu makanan tradisional yang paling popular di Jepun, dan kini turut digemari di seluruh dunia. Sushi diperbuat daripada nasi bercuka dan dibubuh inti campuran ikan, makanan laut, sayur-sayuran atau telur. Inti tersebut sama ada dihidangkan secara mentah, dimasak atau diperam. Asal-usul sushi tidak diketahui, tetapi teknik peraman ikan bersama nasi dipercayai berasal di Asia Tenggara pada abad ke-5 sebelum masihi. Dua aksara Cina untuk perkataan 'sushi', bererti 'ikan terperam' pertama digunakan di Jepun pada abad ke-8.

Bahan asas untuk pelbagai jenis sushi adalah nasi bercuka. Pelbagai jenis sushi diperbuat daripada inti dan topping yang berbeza, perasa, dan proses penyediaan mereka. Bahan-bahan yang sama namun proses penyediaan yang berbeza boleh mewujudkan keputusan yang sangat berbeza. Kebiasaannya, sushi Jepun tradisional sering dihidangkan dengan bahan mentah, tiada lemak masak diperkenalkan semasa penyediaan. Sesetengah bahan-bahan bukan tradisional seperti keju dan mayonis yang kadang-kadang dijumpai dalam hidangan sushi ala Barat boleh meningkatkan jumlah lemak yang ketara.[3]

Seterusnya, sashimi pula merupakan makanan Jepun yang terhasil daripada makanan laut yang dimakan dalam keadaan mentah bersama penyedap seperti kicap masin, parutan halia, dan wasabi. Makanan laut segar seperti ikan, kerang, dan udang kara dihidangkan dalam bentuk hirisan kecil yang mudah dimakan, sedangkan udang yang berukuran kecil ada yang hanya dikupas kulit dan dibuang kepalanya saja. Tsuma adalah sebutan untuk bahan makanan pendamping yang boleh juga berupa lobak yang dipotong panjang-panjang dengan ukuran sangat halus, daun berwarna hijau yang disebut Oba (Aojizo), atau rumput laut seperti Wakame dan Tosakanori.

Sashimi juga bermaksud menikmati sesuatu dalam keadaan mentah, bermula daripada potongan mentah daging kuda (Basashi), daging ayam (Torisashi), hati ayam atau hati lembu, hingga pada potongan Konnyaku (sejenis tumbuhan) dan tauhu yang disebut sebagaiYuba. Sebagaimana sushi, sashimi juga mempunyai jenis-jenisnya bergantung pada cara penyediaan hidangannya, antaranya ialah Tsugatazukuri, Ikezukuri dan Tataki.[4]

Hukum Memakan Daging atau Ikan Mentah 

Melihat kepada definisi dan pentakrifan kedua-dua jenis makanan ini, dapat kita simpulkan bahawa perkara yang menjadi persoalan utama di sini adalah berkenaan hukum memakan daging atau ikan yang dihidangkan secara mentah, tanpa dimasak. 

Secara umumnya, haiwan laut seperti ikan adalah halal dimakan meskipun sudah menjadi bangkai dan tanpa perlu disembelih, bersandarkan kepada sabda Nabi SAW:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”

Riwayat al-Tirmizi (68)

Namun, dalam hal memakan ikan secara hidup-hidup, kami telah membahaskannya dalam artikel kami yang bertajuk; IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-409: HUKUM MEMASAK ATAU MEMAKAN HAIWAN YANG MASIH HIDUP[5]. Berdasarkan pandangan yang paling sahih dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan atau menelan ikan yang masih hidup adalah makruh dan bukannya haram.[6] Berbeza pula halnya dengan haiwan daratan, ia mestilah disembelih mengikut sembelihan syarak[7] di samping terdiri hanya daripada haiwan-haiwan yang halal dimakan.[8]

Meskipun begitu, dalam hal memakan ikan mentah yang telah mati atau daging mentah yang telah disembelih secara syarak, tidak terdapat dalil khusus yang menyatakan akan pengharamannya.

Menurut Imam al-Nawawi, dalam satu permasalahan berkenaan hukum memakan daging mentah, beliau menyatakan hukumnya adalah harus.[9] Pandangan ini juga sama menurut mazhab Maliki[10] dan pandangan muktamad mazhab Hanbali.[11] Meskipun begitu, keharusan memakannya adalah selama mana ia tidak membawa kepada kerosakan ataupun kemudaratan ke atas tubuh badan ataupun akal. Adapun sekiranya ia berisiko mendatangkan mudarat pada diri, maka ia tidak dibenarkan dan hukumnya boleh berubah kepada haram.

Oleh yang demikian, dalam hal memakan sushi atau sashimi ini gambarannya sama seperti memakan ikan yang telah mati dan daging mentah yang telah disembelih dengan kaedah syarak, maka jelas di sini hukumnya adalah harus dan halal sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama. Tambahan pula, ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan pada tubuh dan akal.

Di samping itu, perlu diteliti juga hidangan sampingan yang sering dihidangkan bersama sushi dan sashimi seperti sos pencicah dan sebagainya hendaklah dalam kategori sesuatu yang halal, bukannya mengandungi sesuatu yang haram seperti sake (arak), hirisan daging khinzir dan lain-lain lagi.

Wallahua'lam

[1] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, 1404-1427H), 5/124-125.

وَيَتَبَيَّنُ لِمَنْ تَتَبَّعَ مَا فِي كُتُبِ الْفِقْهِ الْمُخْتَلِفَةِ فِي أَبْوَابِ الأَْطْعِمَةِ وَغَيْرِهَا أَنَّ الأَْصْل فِي الأَْطْعِمَةِ الْحِل، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

[2] Lihat: Abu al-Fida’ Isma‘il bin Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Tahqiq: Sami bin Muhammad Salamah, (Dar Tayyibah, cetakan ke-2, 1420H), 1/478.

فَذَكَرَ [ذَلِكَ] (1) فِي مَقَامِ الِامْتِنَانِ أَنَّهُ أَبَاحَ لَهُمْ أَنْ يَأْكُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ فِي حَالِ كَوْنِهِ حَلَالًا مِنَ اللَّهِ طَيِّبًا، أَيْ: مُسْتَطَابًا فِي نَفْسِهِ غَيْرَ ضَارٍّ لِلْأَبْدَانِ وَلَا لِلْعُقُولِ

[3] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Sushi,_Makanan_Jepun, laman web diakses pada 19/9/2021.

[4] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Sasyimi, laman web diakses pada 19/9/2021.

[5] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4149-irsyad-al-fatwa-siri-ke-409-hukum-memasak-atau-memakan-haiwan-yang-masih-hidup, laman web diakses pada 20/9/2021.

[6] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, 9/73.

وَلَوْ ابْتَلَعَ سَمَكَةً حَيَّةً أَوْ قَطَعَ فِلْقَةً مِنْهَا وَأَكَلَهَا أَوْ ابْتَلَعَ جَرَادَةً حَيَّةً أَوْ فِلْقَةً مِنْهَا فَوَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) يُكْرَهُ وَلَا يَحْرُمُ

[7] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 3/42; lihat juga: Surah al-An‘am, 6: 145.

جاءت الشرائع والمِلل كلها بتحريم الميتة من الحيوانات، والحكم بنجاستها، ولابدّ من تفريق بين الحيوان الميت الذي تنجس بالموت، وغيره، فكانت التذكية في حكم الشرع هي الفارق الأساسي بينهما

[8] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, 3/68.

الأنعام: وهي الإبل، والبقر، والغنم، والمعز، والخيل، وبقر وحُمُر الوحش، والظباء والأرانب، وغيرها مما استطابه العرب، وقد جاء الشرع بحلِّها

[9] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Fatawa al-Imam al-Nawawi, Tahqiq: Muhammad al-Hajjar, (Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, cetakan ke-6, 1417H), 1/104.

2 - مسألة: هل يجوز أكل اللحم نيئًا؟. الجواب: نعم، والله أعلم.

[10] Muhammad bin Abdullah al-Khurasyi, Syarh Mukhtasar Khalil li al-Khurasyi, (Beirut: Dar al-Fikr, t.t), 3/26.

(قَوْلُهُ حَتَّى اللَّحْمُ النِّيءُ) أَيْ لِقَوْلِهِ فِي تَوْضِيحِهِ أَيْ يَجُوزُ أَكْلُهُ وَالْمُرَادُ بِالْمُبَاحِ مَا لَيْسَ مُحَرَّمًا وَلَا مَكْرُوهًا.

[11] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127.

اللَّحْمُ النِّيءُ وَاللَّحْمُ الْمُنْتِنُ، قَال صَاحِبُ " الإِْقْنَاعِ " مِنَ الْحَنَابِلَةِ بِكَرَاهَتِهِمَا، لَكِنَّ الرَّاجِحَ عِنْدَ الْحَنَابِلَةِ عَدَمُ الْكَرَاهَةِ.