SOALAN
Assalamualaikum. Saya ada kerunsingan dan kemusykilan. Saya seorang yang muflis kerana menjadi penjamin hutang bank bagi syarikat yang telah bankrap dan tidak wujud lagi. Syarikat tersebut telah berhutang berjuta-juta kepada bank. Saya tidak mungkin boleh membayar hutang tersebut kepada bank. Saya kini di bawah pentadbiran jabatan insolvensi. Saya tidak bekerja. Setiap bulan saya perlu membayar RM450 kepada Jabatan Insolvensi. Mohon pandangan mufti, adakah roh saya akan tergantung selepas saya meninggal dunia? Terima kasih atas perhatian mufti kepada masalah yang saya hadapi sekarang.
JAWAPAN RINGKAS
Dalam hal hutang masih tidak dilangsaikan oleh peminjam asal atau penjamin sedangkan pemiutang menuntut haknya, terdapat pelbagai hadis yang memberi ancaman termasuklah ancaman roh dan amalan yang tergantung bagi golongan yang tidak membayar hutang khususnya mereka yang berkemampuan tetapi sengaja tidak mahu membayarnya.
Namun begitu, sekiranya penjamin betul-betul berada dalam keadaan muflis dan tidak berkemampuan untuk membayarnya sehinggalah ditakdirkan meninggal dunia, kami mencadangkan beberapa perkara:
1) Penjamin atau ahli warisnya boleh memohon zakat bagi kategori gharimin iaitu “orang yang berhutang” kerana di dalam mazhab Syafie, zakat boleh diberikan kepada individu yang menjadi penjamin bagi orang lain yang berhutang.
2) Para ulama membenarkan penjamin menuntut semula segala pembayaran yang dibuat sepanjang menjadi penjamin. Dalam erti kata lain, peminjam asal tetap perlu membayar semula duit yang telah dibayar oleh penjamin sekiranya dia menuntutnya. Seandainya penjamin meninggal dunia, ahli waris boleh menjadi wakil untuk menuntutnya setiap kali bayaran dibuat.
Semoga dengan segala usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan, Allah SWT memudahkan segala urusan lantas menjadi asbab terlepas daripada tergolong dalam kalangan mereka yang bermudah-mudah dalam urusan hutang.
HURAIAN JAWAPAN
Secara asalnya, apabila seseorang mahu secara sukarela menjadi penjamin dan memenuhi syarat-syaratnya, maka beban tanggungjawab hutang akan ditanggung secara bersama di antara peminjam asal dan penjamin. Beban hutang hanya terlepas apabila hutang tersebut dilangsaikan sama ada daripada pihak penjamin, peminjam asal, pembahagian bersama ataupun dihalalkan oleh pemiutang.
Perbahasan di atas dimasukkan oleh para ulama dalam bab al-Dhaman atau al-Kafalah. Al-Dhaman bermaksud suatu kontrak yang mengikat seseorang untuk membayar beban hutang yang asalnya ditanggung oleh peminjam, khususnya dalam keadaan peminjam gagal atau ingkar untuk membayarnya.
(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/483)
Hutang secara hakikatnya merupakan tanggungjawab peminjam untuk menyelesaikannya dalam setiap keadaan. Namun, dengan kewujudan kontrak jaminan, tanggungjawab tersebut dikongsi bersama di antara peminjam dan penjamin. Para ulama menyebut bahawa dibolehkan kepada pemiutang untuk menuntuk haknya kepada salah satu pihak yang dikehendakinya atau kedua-duanya dengan cara pembahagian sehinggalah segala hutang dilangsaikan.
(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/498)
Kenyataan ini disandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الزَّعيمُ غارِمٌ
Maksudnya: Penjamin merupakan penanggung hutang.
Riwayat Abu Daud (3565)
Oleh itu, dalam hal hutang masih tidak dilangsaikan oleh peminjam asal atau penjamin sedangkan pemiutang menuntut haknya, terdapat hadis-hadis yang memberi ancaman termasuklah ancaman roh dan amalan yang tergantung bagi golongan yang tidak membayar hutang khususnya mereka yang berkemampuan tetapi sengaja tidak mahu membayarnya.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
Riwayat al-Tirmizi (1079)
Imam al-Suyuthi ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa kedudukan mereka yang hutangnya masih tidak selesai di dunia akan tertahan daripada menduduki tempat yang mulia di akhirat. Al-Hafiz Al-Iraqi pula memberi penjelasan bahawa proses penghakiman akan terhenti seketika dari sudut tiada hukuman kebinasaan ataupun ganjaran keselamatan sehinggalah di akhir nanti dilihat sama ada terdapat orang yang menyelesaikan bagi pihak dirinya ataupun tidak.
(Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi, 4/164)
Selain itu, terdapat hadis yang menyebut bahawa pahala peminjam akan diberikan kepada pemiutang sebagai ganti hutang yang tidak dilangsaikan di atas muka bumi. Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَالسَيِّئَاتُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.
Riwayat Abu Daud (3597)
Saranan dan Cadangan
Walau bagaimanapun, sekiranya penjamin betul-betul berada dalam keadaan terdesak bahkan berstatus muflis dan tidak mampu untuk membayarnya sehinggalah ditakdirkan meninggal dunia, maka hutang tersebut perlu dibayar dengan harta peninggalan arwah.
Selain itu, penjamin atau ahli warisnya juga boleh memohon zakat bagi kategori asnaf gharimin iaitu “orang yang berhutang” kerana di dalam mazhab Syafie, zakat boleh diberikan kepada individu yang menjadi penjamin bagi orang lain yang berhutang dengan syarat penjamin berada dalam keadaan tidak mampu melangsaikan hutang.
Huraian lanjut berkenaan zakat gharimin boleh rujuk di laman web kami:
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1234-irsyad-al-fatwa-ke-131-al-gharimin-di-dalam-asnaf-zakat.
Tambahan pula, para ulama menyebut penjamin berhak menuntut kepada peminjam asal untuk menyelesaikan hutang yang dituntut oleh pemiutang bagi membebaskan dirinya daripada tuntutan hutang. Selain itu, penjamin juga berhak menuntut semula segala pembayaran yang dibuat sepanjang menjadi penjamin hutang peminjam asal. Seandainya penjamin meninggal dunia, ahli waris boleh menjadi wakil untuk menuntutnya setiap kali bayaran dibuat.
(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/499-501)
Dalam erti kata lain, peminjam asal tetap menjadi prioriti untuk menyelesaikan hutang-piutang yang dituntut oleh pemiutang. Dalam masa yang sama, peminjam asal juga perlu membayar semula duit yang telah dibayar oleh penjamin sekiranya dia menuntutnya. Contohnya, duit sebanyak RM450 yang dibayar penjamin kepada Jabatan Insolvensi tersebut. Lantaran itu, beban tanggungjawab hutang yang dipikul dapat dikurangkan apatah lagi sekiranya kontrak jaminan tersebut dibuat atas dasar memenuhi permintaan peminjam bagi membolehkan proses hutang dapat diluluskan semata-mata.
Kesemua alternatif yang dicadangkan di atas bertujuan mengurangkan beban penjamin di samping menunjukkan kesungguhannya melunaskan segala hutang yang dijamin. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Maksudnya: “Barang siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.”
Riwayat al-Bukhari (2387)
Akhirnya, semoga urusan saudara dipermudahkan Allah dan dibukakan jalan untuk melunaskan segala hutang-piutang lantas terselamat daripada tergolong dalam kalangan mereka yang diancam oleh Allah SWT kerana berniat untuk tidak melunaskan hutang yang ditanggungnya.
Wallahu a’lam.
Rujuk juga:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3568-al-kafi-1325-adakah-hutang-bank-menyebabkan-roh-dan-amalan-akan-tergantung