Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-687: HUKUM KHATIB MENJAWAB PANGGILAN TELEFON KETIKA BERKHUTBAH

if_687.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, saya ingin bertanya baru-baru ini seorang khatib di tempat saya menjawab panggilan telefon ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Tidakkah perbuatan tersebut boleh membatalkan khutbah dan menyebabkan Jumaat kami menjadi tidak sah ? Mohon pencerahan dan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan khatib menjawab telefon ketika menyampaikan khutbah adalah makruh dan boleh mensia-siakan pahala Jumaat sekiranya tanpa keperluan dan hajat yang mendesak. Walaubagaimanapun perbuatan tersebut tidak membatalkan khutbah namun khatib perlu mengambil berat soal kesinambungan (al-muwalat) yang merupakan salah satu syarat sah khutbah. Ukuran kepada tempoh masa yang boleh menyebabkan al-muwalat terputus adalah anggaran dua rakaat solat yang ringkas. Oleh itu, jika khatib melakukan perkara yang bukan daripada khutbah sehingga melebihi kadar dua rakaat solat yang ringkas maka khutbah Jumaat itu terbatal. Oleh disebabkan itu, khatib perlu mengulangi semula khutbah yang pertama. Dari sudut akhlak dan adab, sebagai seorang khatib tidak sepatutnya menjawab telefon ketika khutbah disampaikan.

HURAIAN JAWAPAN

Khutbah Jumaat merupakan salah satu daripada syarat sah solat Jumaat. Oleh itu, khatib hendaklah menyampaikannya dengan sempurna dari segala rukun dan syaratnya. Antara adab mendengar khutbah, Nabi SAW melarang umatnya daripada melakukan perkara yang sia-sia. Terutamanya ketika khatib menyampaikan khutbah agar dapat memberi sepenuh perhatian kepada isi khutbah yang disampaikan. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ أَنْصِتْ‏.‏ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغِيتَ

Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabatmu ‘diam’, pada hari jumaat ketika imam sedang berkhutbah, maka pahala Jumaatmu menjadi sia-sia.

Riwayat Muslim (851)

Larangan bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah hukumnya adalah makruh berdasarkan hadis di atas.[1]  Bahkan ia juga boleh meluput dan membatalkan pahala Jumaat. Dalam hal ini Imam Ibnu hajar menukilkan pandangan al-Nadr bin Syumail, maksud “Laghaut” adalah hilang daripada kebaikan. Dikatakan ia juga bermaksud batal fadilat jumaat.[2]

Dalam hal yang lain, Nabi SAW pernah bercakap dan menegur kepada para hadirin ketika berkhutbah. Nabi SAW memerintahkan seseorang supaya mendirikan solat ketika masuk ke masjid walaupun Baginda SAW sedang berkhutbah. Hadis daripada Jabir bin Abdullah katanya:

جَاءَ رَجُلٌ وَالنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ ‏"‏ أَصَلَّيْتَ يَا فُلاَنُ ‏"‏‏.‏ قَالَ لاَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ قُمْ فَارْكَعْ ‏"

Maksudnya: Ketika seorang lelaki datang dan Nabi SAW sedang berkhutbah di hadapan manusia pada hari Jumaat. Lalu Baginda bersabda: “Adakah kamu sudah mengerjakan solat wahai si fulan” lalu dia menjawab, “tidak”. Kemudian Baginda bersabda “Bangun tunaikannya”

Riwayat al-Bukhari (930)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa dibenarkan untuk bercakap bagi khatib atau makmum ketika khutbah hanyalah atas tujuan yang penting sahaja seperti menegur untuk melakukan kebaikan dan memberi pertunjuk ke arah kebenaran.[3]

Menurut Imam Khatib al-Syirbini, pandangan baru (Jadid) Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa tidak sampai kepada tahap haram bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah. Bahkan sunat berdiam diri dan menumpu sepenuh perhatian terhadap khutbah. Hal ini kerana tidak terdapat dalil yang jelas menyatakan wajib berdiam diri ketika khatib menyampaikan khutbah.[4]

Imam al-Nawawi di dalam permasalahan ini menjelaskan lagi, Nabi SAW pernah berkata-kata ketika berkhutbah di luar isi khutbah atas tujuan dan hajat tertentu. Hal ini sebagaimana menegur orang buta yang hampir jatuh ke dalam perigi, mengajar manusia tentang perkara yang baik dan melarang daripada kemungkaran. Malah sunat dilakukan secara ringkas atau dengan isyarat sahaja sekiranya sudah memadai. Namun sekiranya tanpa tujuan atau sesuatu perkara yang penting maka tidak harus melakukannya.[5]

Sementara itu, khatib pula dibenarkan berbicara sesuatu perkara yang bukan daripada isi khutbah yang disampaikannya. Namun, perbuatan tersebut tidak selayaknya dilakukan, malah ia merupakan perkara yang boleh mensia-siakan pahala jumaat. Namun, sekiranya dengan berbicara itu boleh memberi manfaat kepada orang lain maka ia diharuskan. Sebaiknya ia disampaikan secara ringkas atau dengan isyarat sahaja. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan di dalam karyanya:

وَلَا يَحْرُمُ الْكَلَامُ عَلَى الْخَطِيبِ قَطْعًا وَالْخِلَافُ فِي كَلَامٍ لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ غَرَضٌ مُهِمٌّ نَاجِزٌ. فَأَمَّا إذَا رَأَى أَعْمَى يَقَعُ فِي بِئْرٍ أَوْ عَقْرَبًا تَدِبُّ عَلَى إنْسَانٍ فَأَنْذَرَهُ أَوْ عَلَّمَ إنْسَانًا شَيْئًا مِنْ الْخَيْرِ أَوْ نَهَاهُ عَنْ مُنْكَرٍ، فَهَذَا لَيْسَ بِحَرَامٍ قَطْعًا بَلْ قَدْ يَجِبُ عَلَيْهِ. لَكِنْ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَقْتَصِرَ عَلَى الْإِشَارَةِ إنْ أَغْنَتْ

Maksudnya: Tidak diharamkan ke atas khatib itu berbicara secara mutlak. Para ulama berbeza pandangan pada hukum berbicara tanpa tujuan yang penting dan mendesak. Namun, sekiranya melihat orang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi atau melihat kala jengking merayap atas badan manusia maka hendaklah tegur atau mengajar manusia sesuatu perkara yang baik serta melarang dari melakukan kemungkaran. Maka berbicara ketika itu tidak haram secara mutlak bahkan wajib ke atasnya. Akan tetapi sunat sekadar memberi isyarat sahaja jika sudah memadai.[6]

Walaupun berbicara perkara di luar khutbah bukanlah perkara yang membatalkan khutbah, namun muwalat (kesinambungan) merupakan salah satu daripada rukun-rukun khutbah. Menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan:

(‌وَالْأَظْهَرُ ‌اشْتِرَاطُ ‌الْمُوَالَاةِ) بَيْنَ أَرْكَانِهَا وَبَيْنَ الْخُطْبَتَيْنِ وَبَيْنَهُمَا وَبَيْنَ الصَّلَاةِ لِلِاتِّبَاعِ وَلِأَنَّ لَهَا أَثَرًا ظَاهِرًا فِي اسْتِمَالَةِ الْقُلُوبِ، وَالْخُطْبَةُ وَالصَّلَاةُ شَبِيهَتَانِ بِصَلَاةِ الْجَمْعِ.

Bermaksud: (Menurut pandangan yang kuat disyaratkan berturut-turut (al-muwalat)) antara rukun-rukunnya, antara dua khutbah dan antara keduanya serta di antara solat secara berturut-turut. Hal ini kerana muwalat (berturut-turut) memberi kesan kepada kecenderungan hati dan khutbah dengan solat itu sama seperti solat jamak.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj fi Makrifat Maani Alfaz al-Minhaj, 1/554)

Ukuran masa  yang tidak menjejaskan al-muwalat dalam khutbah Jumaat adalah anggaran tidak lebih daripada dua rakaat yang ringkas. Sekiranya terpisah antara dua khutbah dalam satu tempoh masa dengan anggaran dua rakaat yang ringkas maka terbatal kedua-duanya dan hendaklah imam mengulangi khutbah yang pertama.[7]

KESIMPULAN

Oleh itu, berdasarkan perbahasan ulama di atas dapat disimpulkan bahawa perbuatan khatib menjawab telefon ketika menyampaikan khutbah adalah makruh dan boleh mensia-siakan pahala Jumaat sekiranya tanpa keperluan dan hajat yang mendesak. Walaupun perbuatan tersebut tidak membatalkan khutbah namun khatib perlu mengambil berat soal al-muwalat (kesinambungan) yang merupakan salah satu syarat sah khutbah. Ukuran kepada tempoh masa yang boleh menyebabkan al-muwalat terputus adalah kadar dua rakaat solat yang ringkas. Oleh itu, jika khatib melakukan perkara yang bukan daripada khutbah sehingga melebihi kadar dua rakaat solat yang ringkas maka khutbah jumaat itu terbatal dan khatib perlu mengulangi semula khutbah yang pertama.

Wallahu’alam

 

[1] Muhammad bin Umar al-Nawawi al-Bantani al-Jawi, Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, (Beirut: Dar al-Fikr) hlm. 143

(و) سنّ لمن يسمع الْخطْبَتَيْنِ (إنصات) أَي سكُوت مَعَ الإصغاء (لخطبة) وَيكرهُ الْكَلَام من المستمعين حَال الْخطْبَة

[2] Ahmad bin Ali bin Hajar Abu al-Fadl al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma’rifah 1379H) 2/414

وَقَالَ النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ مَعْنَى لَغَوْتُ خِبْتُ مِنَ الْأَجْرِ وَقِيلَ بَطَلَتْ فَضِيلَةُ جُمُعَتِكَ

[3] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslimbin al-Hajaj, (Beirut : Dar Ihya’ al-Turath a’Arabi, 1392H) 6/164

جَوَازُ الْكَلَامِ فِي الْخُطْبَةِ لِحَاجَةٍ وَفِيهَا جَوَازُهُ لِلْخَطِيبِ وَغَيْرِهِ وَفِيهَا الْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالْإِرْشَادُ إِلَى الْمَصَالِحِ فِي كُلِّ حَالٍ وَمَوْطِنٍ

[4] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1415H)  1/553

(وَالْجَدِيدُ أَنَّهُ لَا يَحْرُمُ عَلَيْهِمْ الْكَلَامُ) فِيهَا لِلْأَخْبَارِ الدَّالَّةِ عَلَى جَوَازِهِ كَخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ عَنْ أَنَسٍ «بَيْنَمَا النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَامَ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَلَكَ الْمَالُ وَجَاعَ الْعِيَالُ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا، فَرَفَعَ يَدَيْهِ وَدَعَا» وَجْهُ الدَّلَالَةِ أَنَّهُ لَمْ يُنْكِرْ عَلَيْهِ الْكَلَامَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَهُ وُجُوبَ السُّكُوتِ وَلَا يَخْتَصُّ بِالْأَرْبَعِينَ بَلْ الْحَاضِرُونَ كُلُّهُمْ فِيهَا سَوَاءٌ

[5] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar al-Fikr) 4/523

بِأَنَّ كَلَامَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لِحَاجَةٍ قَالَ أَصْحَابُنَا وَهَذَا الْخِلَافُ فِي حَقِّ الْقَوْمِ وَالْإِمَامِ فِي كَلَامٍ لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ غَرَضٌ مُهِمٌّ نَاجِزٌ فَلَوْ رَأَى أَعَمًى يَقَعُ فِي بِئْرٍ أَوْ عَقْرَبًا وَنَحْوَهَا تَدِبُّ إلَى إنْسَانٍ غَافِلٍ وَنَحْوِهِ فَأَنْذَرَهُ أَوْ عَلَّمَ إنْسَانًا خَيْرًا أَوْ نَهَاهُ عَنْ مُنْكَرٍ فَهَذَا لَيْسَ بِحَرَامٍ بِلَا خِلَافٍ نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ عَلَى التَّصْرِيحِ بِهِ لَكِنْ قَالُوا يُسْتَحَبُّ أَنْ يَقْتَصِرَ عَلَى الْإِشَارَةِ إنْ حَصَلَ بِهَا الْمَقْصُودُ هَذَا كُلُّهُ فِي الْكَلَامِ فِي حَالِ الْخُطْبَةِ

[6] Ibid

[7] Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syatiri, Syarh al-Yaqut al-Nafis (Markaz Dar al-Minhaj li Dirasat, 1436H) hlm. 241 2/323

فان فصل بينهما بمد تزيد على قدر ركعتين خفيفتين.. بطلتا، وعليه إعادة الخطبة الأولى